Alangkah bagus kalau Harum Manis ada di Dubai - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Alangkah bagus kalau Harum Manis ada di Dubai

PENULIS Bernama, Melati Mohd Ariff berkunjung ke Dubai baru-baru ini dan berasa kagum dengan pelbagai jenis buah-buahan dari merata dunia dijual di pasar raya di sana. Memandangkan tidak banyak buah-buahan Malaysia dijual di Emiriah itu, beliau mewawancara pegawai Malaysia di Dubai mengenai usaha mempromosi buah-buahan tempatan di pasaran Asia Barat.
    
KUALA LUMPUR - "Ini belimbing besi. Tengoklah buah ini dan itu pula mangga." Penulis memasang telinga perbualan seorang lelaki berjubah putih beriya-iya benar menunjukkan buah-buahan itu kepada seorang wanita berkebaya hitam.
    
Penulis yang merasa yakin sekurang-kurangnya buah belimbing besi itu dari Malaysia berasa kecewa kerana ia diimport dari Afrika Selatan.
    
Itu berlaku di sebuah pasar raya besar di Dubai, sebuah daripada tujuh Emiriah yang membentuk Emiriah Arab Bersatu (UAE).
    
Dubai adalah nadi utama kepada pembangunan UAE serta pusat kewangan dan perdagangan antarabangsa.
    
Ia juga menjadi pintu masuk dan destinasi utama pelancong dari seluruh pelosok dunia.
    
Penulis yang berkesempatan berkunjung ke kota raya serba gah itu baru-baru ini juga melihat buah-buahan lain yang bukan tidak ada di tanah air seperti manggis, rambutan, pisang, mangga dan malahan 'raja buah-buahan' durian.  
    
Bagaimanapun, label di bungkusan mencatat nama Thailand, Filipina, India dan Indonesia. Di sebuah pasar raya lain, penulis melihat buah belimbing besi dari Malaysia, itu pun berwarna hijau dan dijual dengan harga AED36.50 (kira-kira RM32.00) sekilo.
    
Bazar pertanian
    
Senario ini mungkin berubah sekiranya apa yang diuar-uarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika kunjungan beliau ke Dubai Oktober tahun lepas menjadi kenyataan.
    
"Perdana Menteri mahu kita wujudkan bazar pertanian (agrobazar) di Dubai dan pihak kami sedang berusaha untuk menjadikan hasrat Perdana Menteri ini satu kenyataan," kata Shahid Abu Bakar, Konsul (Pertanian), pejabat perwakilan pertanian, Kementerian Pertanian, Agro dan Asas Tani di Dubai kepada Bernama.
     
Jika dilaksanakan, agrobazar Dubai ini akan menjadi yang kedua selepas agrobazar pertama dibuka di Singapura.
    
Bezanya di Singapura, ia diuruskan Kementerian Pertanian sementara untuk Dubai, ia mungkin dikendalikan pihak usahawan sendiri.
    
"Banyak perkara perlu diselidiki termasuk kos. Di Singapura kita menyewa lot rumah kedai sementara di Dubai kita mungkin buka di kompeks membeli-belah.

"Agrobazar ini terdiri daripada tiga konsep iaitu runcit, buah-buahan dan restoran. Peluang memang baik tetapi perkara pokok ialah jenis produk yang hendak kita promosikan.

"Kita juga memang rancangkan Dubai sebagai pintu masuk untuk menembusi pasaran di Asia Barat. Segala-galanya akan bermula dari sini," kata Shahid.
    
Beliau menyandang jawatan itu berkuatkuasa 6 Disember 2014.
    
Di samping pejabat pertanian Dubai yang memulakan operasi pada 2008, Malaysia juga mempunyai pejabat pertanian di Tokyo, Bangkok, Washington, Sydney, Beijing, the Hague dan Rome.
    
Menurut Shahid, misi utama pihaknya adalah untuk mendapatkan akses perdagangan.

"Pihak Kementerian ingin lihat lebih banyak produk pertanian dan produk berasaskan pertanian dipasarkan di luar negara.
    
"Sebelum ini kita membuat promosi produk kita bila ada majlis atau program. Setakat ini kita belum ada tempat khas untuk menjual produk buah-buahan kita," jelas beliau lagi.

Sebelum ke Dubai, Shahid adalah pegawai kanan di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) yang juga pernah bertugas di peringkat negeri dan wilayah.

Beliau juga mengetuai Bahagian Pemasaran di Unit Agropreneur Muda semasa penubuhan awal unit itu di Kementerian Pertanian dan Industri asas Tani.

Kumpul maklumat
    
Sejak menjejakkan kaki di Dubai, Shahid memberitahu bahawa beliau telah meninjau banyak pasar raya dan pasar untuk melihat sendiri pelbagai jenis buah-buahan yang terdapat dalam pasaran di kota besar itu.

"Saya dapati buah-buahan kita tak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan buah-buah yang dijual di sini, dari segi kualiti, rupa bentuk, saiz dan rasa.

"Saya pernah beli mangga dari Australia. Harganya AED27 sekilo (RM23.00). Buahnya besar dan cantik tapi tidak sesedap Mangga Harum Manis kita yang harganya baru RM22 sekilo dan Chokanan pula RM8 sekilo," kata Shahid.

Beliau turut menyebut potensi buah-buahan lain untuk pasaran Dubai seperti belimbing besi di samping buah rambutan, tembikai dan jambu batu.

"Setakat ini nanas Malaysia sudah lama bertapak di Dubai. Nilai jualan nanas sekitar RM3.9 juta setahun.

"Untuk buah-buahan lain, kita ada kelebihan cuma yang mungkin menjadi kekangan untuk kita ialah dari segi harga. Untuk menjaga kesegaran, buah-buahan ini perlu dibawa dengan kargo udara dan ini melibatkan kos ‘air freight’ yang tinggi," jelas Shahid.

Dalam hal ini, beliau memberitahu bahawa pihaknya berbincang dengan pihak MAS Dubai serta pihak pengimport bagi mencari jalan bagaimana MAS dapat membantu melancarkan penghantaran buah-buahan Malaysia ke pasaran Dubai dan Timur Tengah.

"Pihak MAS Dubai menjelaskan kepada kami kadar ‘air freight’ MAS adalah kompetitif tetapi caj ‘ground handling’ yang masih perlu dibincangkan dengan lebih lanjut. Jelas MAS lagi, ruang kargo untuk sektor Kuala Lumpur ke Dubai masih tidak digunakn sepenuhnya," jelasnya.

Fiesta buah-buahan Malaysia
    
Shahid memberitahu Bernama, sebagai permulaan untuk mempromosi buah-buahan Malaysia di Dubai, pihaknya sedang menghalusi rancangan mengadakan program Fiesta Buah-buahan Malaysia.  
    
"Kita mahu bawa buah-buahan bermusim dan tidak bermusim. Cuma kita hendak pastikan satu masa yang sesuai pada tahun ini untuk mengadakan fiesta ini.

Untuk program ini, kita juga sedang berbincang dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (Fama).
    
"Ada kalanya berlaku lambakan buah-buahan di Malaysia, kita boleh bawa buah-buahan tersebut ke sini," katanya.
    
Menurut beliau lagi, pihaknya juga berbincang dengan agensi yang berkaitan seperti Jabatan Pertanian dan Fama untuk memastikan kualiti serta penghantaran berterusan buah-buahan yang mahu dipromosikan.
    
"Saya juga beritahu mereka untuk memastikan soal harga dan sama ada ianya kompetitif dengan buah-buahan yang sudah ada dalam pasaran di Dubai," katanya.
    
Untuk Fiesta Buah-buahan Malaysia ini, Shahid memberitahu bahawa pihaknya juga merancang memanggil chef rakyat Malaysia yang bekerja di Dubai untuk membantu membuat demonstrasi cara mempelbagaikan kegunaan buah-buahan serta produk usahawan.
    
"Kita mahu menjadikan Fiesta ini sebagai batu loncatan untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat di Dubai bahawa produk ini ada di Malaysia dan ia berkualiti dan sedap rasanya," katanya.
    
Dalam tinjauan Shahid ke pasar raya besar di Dubai, beliau perhatikan masyarakat tempatan khususnya berbelanja besar ketika membeli buah-buahan import.

Kuasa membeli mereka ini tinggi, cuma mereka belum didedahkan dengan buah-buahan keluaran dari Malaysia.

Kenalpasti potensi
    
Konsul pertanian itu juga berkata pihaknya mengenalpasti beberapa restoran milik rakyat Malaysia di Dubai dan Abu Dhabi untuk menggalakkan penggunaan buah-buahan serta produk Malaysia.
    
"Produk beku seperti samosa, pratha, karipap berpotensi untuk diketengahkan.

Kita juga boleh promosi mi segera," katanya sambil menambah antara jenama yang akan diketengahkan ialah produk berjenama Agromas.
    
"Agromas adalah produk premium. Hanya produk yang mencapai tahap kualiti yang ditetapkan akan diberi jenama Agromas," katanya.
    
Menurut beliau, setakat ini, pihaknya hanya membawa produk Agromas ke luar negara bila ada program promosi.
    
"Dalam hal ini kita sudah berbincang dengan rangkaian pasaraya LuLu di Dubai yang bertindak sebagai pembeli untuk produk Malaysia.
    
"Mereka memang melihat produk kita ada potensi tetapi meminta kita pastikan produk itu sentiasa ada," katanya.
    
Pada masa ini terdapat kira-kira 5,000 rakyat Malaysia di UAE dan Shahid berharap mereka akan menyokong usaha promosi buah-buahan serta produk keluaran Malaysia.
    
Usahawan Malaysia
    
Sememangnya sudah ada usahawan Malaysia yang dibawa ke Dubai menyertai pelbagai program dalam usaha mempromosi produk keluaran mereka.
    
Program terbesar ialah Gulfood yang diadakan secara tahunan dan berlangsung pada setiap bulan Februari.
    
Menurut Shahid, penglibatan usahawan Malaysia dalam Gulfood dibuat menerusi kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
    
"Matrade memperuntukkan beberapa gerai untuk Fama dan kita membawa usahawan yang berpotensi untuk menyertai Gulfood ini.

"Saya mohon agar usahawan-usahawan yang berpotensi dapat segera mendapat keterangan lanjut daripada pihak Matrade dan Fama.
    
"Produk yang dipamerkan selain buah-buahan segar ialah produk proses dan makanan sejuk beku," kata Shahid.
    
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani turut mengadakan acara tahunannya sendiri di Dubai iaitu Agriculture, Marketing and Investment Mission (AMIM).

Ia diadakan buat pertama kali pada tahun 2012.
    
Eksport produk makanan Malaysia ke UAE pada tahun 2013 bernilai RM390 juta.

Pencapaian setengah tahun 2014 sahaja mencecah hampir RM295 juta dan menurut Shahid, sekiranya usaha dari pelbagai pihak dapat dipertingkatkan maka tidak mustahil nilai ini akan bertambah lagi pada masa akan datang.
    
Di samping membawa usahawan mempamerkan produk masing-masing, Kementerian Pertanian turut mengatur pertemuan syarikat Malaysia yang berpotensi dengan syarikat tempatan.
    
Konsep 'business matching' ini, kata Shahid telah menunjukkan keberkesanan dan akan diteruskan. - Bernama

0 Komentar untuk " Alangkah bagus kalau Harum Manis ada di Dubai "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ