Saya hilang seorang rakan semedan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Saya hilang seorang rakan semedan

*AL-FATIHAH. Daripada ALLAH dia datang, kepada ALLAH juga dia dikembalikan. Meski pun reda menerima ketentuan Yang Maha Pencipta lagi Maha Penyayang, semua terkedu dan pilu. Bahawa Tuan Guru telah pergi...

Kira-kira jam 9.40 malam Jumaat, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disahkan meninggal dunia, hanya kira-kira sejam selepas dibawa pulang ke kediamannya, setelah menjalani rawatan ulser di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Pada usia 84 tahun, Mursyidul Am Pas yang juga bekas Menteri Besar Kelantan itu tenang menghembuskan nafas terakhir di sisi seluruh kaum keluarga di Kampung Pulau Melaka.

Tentu sekali lain orang lain pandangannya terhadap Allahyarham. Bagi sesetengah orang beliau adalah seorang politikus, bagi yang lain beliau adalah ulama. Beliau juga adalah motivator, guru, imam solat waktu, imam solat jenazah, juru nikah, tukang membaca air penawar, tukang mencukur rambut bayi, macam-macam.

Dan bagi wartawan, Tuan Guru adalah sumber berita. Tidak kira di mana, tidak kira waktu, juga tidak kira apa keadaan, jarang sekali beliau mengelak daripada petugas media.

Tanyakan apa sahaja, beliau akan menjawab secara ikhlas dan tegas, semuanya boleh siar, tidak ada ‘off the record’. Sebab itu bagi kebanyakan wartawan – termasuk dari agensi berita asing – kalau ada Nik Aziz pasti ada berita.

Secara peribadi sebagai orang surat khabar saya kerap menemui beliau dalam banyak sidang media, ceramah dan kempen-kempen politik. Malah, beberapa kali saya diberi kesempatan untuk wawancara eksklusif dengan Mursyidul.

Ketika Sinar Harian mula diterbitkan, saya – bersama Zulkiflee Bakar (kini di Utusan) – mengadakan kunjungan hormat di pejabat rasmi Menteri Besar Kelantan di Kota Darul Naim.

Beliau sendiri menyambut kami di pintu pejabatnya. Dan beliau tetap dengan sikap merendah diri, lemah lembut, mesra. Itu ‘trade mark’ diri sejak saya mula-mula mengenali beliau lebih dua dekad dulu. Tanpa bahasa lapik, tanpa takut, beliau menjawab soalan, lengkap dengan nas dan hadis untuk menguatkan fakta.

Dan, sempat beliau memberi nasihat yang sampai sekarang saya pegang: “Orang surat khabar patut peranan macam ulama juga. Kena mengajar, kena beritahu. Tak kira surat khabar mana, kena lapor yang betul, jangan putar-belit fakta, kalau tidak betul kita kena jawab di hadapan ALLAH...”

Takziah dan simpati saya kepada keluarga dan sanak-saudara yang ditinggalkan. Tidak kira kawan atau lawan, kepergian Tok Guru adalah satu kehilangan. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Amin!

*SECARA peribadi saya juga kehilangan seorang teman setugas di bidang kewartawanan. Lebih tiga dekad kami semedan – saya di media cetak dia di media elektronik.

Setuju betul saya dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bahawa kepergian Allahyarham Datuk Hasbullah Awang adalah kehilangan legenda pengulas sukan yang sukar diganti.

Saya memulakan kerjaya di Utusan, sebagai pemberita sementara beliau ketika itu juruhebah di RTM. Kerap kami bertemu pada sidang media, atau pada majlis dan keramaian rasmi.

Walaupun terpisah kerana perbezaan bidang tugas – saya di meja umum, beliau di meja sukan – dari semasa ke semasa kami bertemu untuk borak-borak kosong di hadapan roti canai dan teh tarik.

Beliau mengulas secara langsung sukan, khasnya bola sepak, dengan cara dan gaya tersendiri. Tidak tergopoh-gopoh, walaupun kadang-kadang tersasul, ulasan beliau dibuat secara santai.

Bukan sahaja santai, tetapi kerap diselang-seli dengan pantun, seloka dan madah pujangga. Satu yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika dia mengulas satu perlawanan bola sepak di Jakarta, antara pasukan-pasukan Asean.

Malaysia sudah kalah dalam perlawanan awal, dan Hasbullah yang menjangka pasukan kita akan pulang awal, telah berpantun: Tuai padi antara masak, esok jangan layu-layuan; intai kami antara nampak, esok jangan rindu-rinduan.

Demikianlah perihal seorang rakan seperjuangan. Pada usia 63, beliau pergi untuk selamanya. Al-Fatihah.

TOK PERAK

0 Komentar untuk " Saya hilang seorang rakan semedan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ