Ikut orang Cina: Bijak membeli - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ikut orang Cina: Bijak membeli

APABILA ditanya oleh seorang kawan siapakah yang banyak membeli, tauke Lee secara bersahaja menjawab: “Melayu.”

Apa yang diperkatakan pada ketika itu ialah soal kelarisan jualan bahan-bahan dalam grocerynya dalam musim perayaan. Lee memiliki beberapa buah grocery di beberapa kompleks membeli-belah di sekitar Lembah Kelang. Apa yang membawa kami seramai 10 orang bersama-sama sehari dalam seminggu ialah permainan golf di sebuah kelab yang sudah wujud lebih 100 tahun.

Jawapan itu menyamai jawapan yang ada dalam kepala Wong. “Betullah!,” sampuk Wong.

“Dalam semua musim perayaan – raya, hari besar dan Deepavali – Melayulah yang banyak membeli. Apalagi musim raya,” tambah Lee, tersenyum. Beliau menyetujui apa yang dikatakan Wong.

Seperti biasa, perbualan begitu mencakup itu dan mencuit ini. Sering ada cuitan yang mengungkit hubungan suami isteri yang sensitif, umpamanya si isteri amat liat atau enggan mengeluarkan wang untuk membeli sesuatu bahan keperluan dapur, lebih-lebih lagi jika si isteri mempunyai sumber pendapatan sendiri, sehingga mengakibatkan kata-mengata yang tidak sedap didengar oleh si suami. Begitulah juga sebaliknya.

Dalam suasana perbualan di kafe kelab golf begitu, soal perkauman tidak menjadi relevan. Apa yang diluahkan secara spontan lebih berbentuk persoalan kemanusiaan umum.

Jika ia tertentu kepada orang Cina, umpamanya, maka seorang Cina mendapati sesuai menyentuhnya. Orang Melayu dan India hanya tumpang semangkuk.
Mengenali kehidupan hari-hari Melayu-Cina-India dan lain-lain, adalah satu pengalaman biasa di Malaysia.

Yang membezakan kebetapaan kehidupan begitu ialah tempatnya. Di Terengganu dan Kelantan, peratusan Melayu adalah antara 80 hingga 90 peratus, selebihnya ialah Cina dan India dan lain-lain.

Sebaliknya di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Pahang dan beberapa buah negeri lagi, majoritinya ialah Cina kecuali di kampung-kampung. Majoriti orang Cina adalah pekedai atau peniaga, dan  majoriti orang Melayu ialah pembeli yang terdiri daripada pemakan gaji dan mereka yang mendapat rezeki dari laut dan pertanian, juga berniaga.              

Untuk mengenali orang Cina kita perlu memahami Tamadun Cina. Untuk sekian lama, tiada bumi bernama China. Apabila timbul Qing Huang Tee yang kemudiannya mengasaskan dinasti Chin, barulah sebuah bumi besar terbentuk.

Ini berikutan daripada keranapan dan pembentukan semula beberapa buah negeri yang galak berperang, the warring states. Meskipun dinasti Chin berubah menjadi Han, namun orang Eropah lebih selesa dengan panggilan Chin, lalu menamakannya China – dan kekal hingga sekarang.

Hasil insiden sejarah, orang di utara banyak bertumpu kepada kraf pemerintahan sedangkan orang selatan bertumpu kepada ekonomi. Pertembungan dua unsur itu mengakibatkan revolusi yang kemuncaknya berlaku pada tahun 1949 apabila komunis merampas kuasa.

Seperti yang diketahui, ideologi komunis ialah menentang kerakusan menimbun harta. Rakyat harus sama rata, tiada miskin tiada kaya.      
 
Kebanyakan orang Cina yang berpindah ke serata dunia ialah dari selatan. Enam juta di AS; 10 juta di Malaysia; 12 juta di Indonesia; 3.5 juta di Singapura dan sebagainya, membawa bersama mereka budaya ekonomi: mencari rezeki. Itu semestinya.

Jika tidak, bagaimana mereka hendak hidup? Apabila terbukti pendidikan menjadi maha penting demi mencari rezeki, lihat saja statistik peratusan pencapaian mereka di semua tempat yang disebutkan itu.

Pengumpulan aset atau harta adalah penting untuk menjadi kaya. Pendapatan besar yang diterjemahkan kepada pembelian biasa tidak menjadikannya harta. Gaji dan pendapatan lain mengghairahkan Melayu membeli-belah bahan-bahan yang tidak semestinya diperlukan.

Sebaliknya orang Cina cenderung membeli sesuatu yang boleh membesarkan pemilikan harta: tanah, rumah, kereta, saham-saham malah kedai dan firma. Barang-barang keperluan harian dibeli secara optimum, atau secukup-cukupnya.

Sebagai peniaga, orang Cina bertindak menurut amalan perniagaan. Adam Smith, bapa ilmu ekonomi, mengatakan bahawa pembuat roti mencengkam mata kerana duit, dan bukan kerana kasihan belas.

Dia terus menghasilkan banyak roti demi duit, sehinggalah permintaan untuk rotinya berkurangan atau pembuat roti lain bersaing dengan menghasilkan roti yang lebih disukai dan lebih murah. Jika harga tidak terturun lagi, risikonya ialah: ia akan gulung tikar. Itu tentunya pengalaman Smith di England.

Berbalik kepada Lee dan Wong, mesejnya ialah, ikut orang Cina! Membelilah secara bijak. Kata-kata hikmat Adam Smith itu tetap betul. Peniaga sentiasa sedar dan takut risikonya.

* Tan Adam A. Kadir ialah mantan Presiden Senat

0 Komentar untuk " Ikut orang Cina: Bijak membeli "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ