Baik, buruk selfie dalam kehidupan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Baik, buruk selfie dalam kehidupan

Apa itu selfie? Selfie adalah menangkap gambar sendiri mengunakan telefon bimbit atau apa jua alat elektronik yang mempunyai kamera dan kemudian dimuat naik dalam laman-laman sosial individu seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, Twitter, Wechat, dan sebagainya.

Pada mulanya selfie dikenali sebagai self-potrait dalam bahasa Inggeris dan kemudian disingkatkan kepada selfie.

Sejarah selfie ini bermula pada tahun 1909 oleh Joe Byron yang menjadi pemilik syarikat Byron, merakam gambar bersama empat rakannya, iaitu Pirie MacDonald, Kolonel Marceau, Pop Teras dan Ben Falk. Mereka berempat adalah pasukan jurugambar di Manhattan dan gambar selfie mereka ditayangkan di Muzium Bandaraya New York.

Budaya baharu

Pada tahun 2013, selfie diumumkan sebagai Word Of The Year oleh Oxford English Dictionary. Terdapat pelbagai jenis gambar selfie dimuat turun dalam laman sosial. Antaranya adalah melihat gambar selfie yang merakam gambar sendiri di tempat tidak sepatutnya. Bergaya dan menangkap gambar di depan cermin adalah budaya baharu dan ibarat lokasi wajib untuk selfie.

Paling banyak dilihat adalah selfie di depan cermin tandas awam berbanding rumah sendiri. Kenapa perlu tandas awam? Faktor cermin yang besar hingga menampakkan keseluruhan tubuh membuatkan ia jadi pilihan ramai. Jangan menuding jari kepada satu golongan saja, si jejaka juga tidak kurang hebatnya. Antara lokasi lain yang menjadi pilihan termasuklah dalam kereta, di tempat kerja, atas katil sebelum tidur atau di kedai makan.

Seterusnya, Duckface merujuk kepada pose memuncungkan mulut seperti itik. Dengan bibir yang dimuncungkan, ada pihak beranggapan ia boleh menampakkan tulang pipi sekali gus membuatkan wajah si selfie kelihatan berbentuk bujur dan tidak terlalu bulat. Mungkin faktor itulah membuatkan gaya ini menjadi trademark si gadis apatah lagi apabila bibir diwarnakan dengan gincu warna terang. Jangan terkejut apabila ada juga lelaki sukakan gaya ini apatah lagi apabila selfie beramai-ramai dengan rakan wanita.

Selain posisi biasa, gaya rakam gambar daripada sisi atas kepala juga antara pilihan. Dipercayai, ia boleh buatkan wajah seseorang khususnya berbentuk bulat kelihatan muncung tirus selain boleh sembunyikan lemak di bawah dagu. Gaya ini bukanlah bertujuan untuk memburukkan sesiapa terutama mereka berbadan besar, tetapi pandangan ini dikongsi melalui forum dan blog yang menceritakan mengenai isu ini.

Persoalannya adakah perbuatan selfie ini mendatangkan kebaikan atau membawa keburukan. Contohnya kes sekumpulan remaja berdepan risiko dipenjara selepas menceroboh kawasan loji nuklear dan berselfie.

Salah seorang remaja itu, Nikita Agapov, berkata mereka memanjat pagar berkawat di loji berkenaan selepas mendapati tiada pengawal. Mereka mengambil beberapa gambar selfie di puncak menara berkenaan sebelum memuat naik dalam laman sosial. Pegawai polis berkata, tindakan remaja itu sangat bahaya dan boleh dihukum penjara sekiranya ditahan.


MEMUNCUNGKAN mulut seperti itik menjadi pilihan gadis yang ingin muka nampak bujur. - Foto Reuters

Bunuh diri akibat selfie

Terdapat juga isu bunuh diri disebabkan selfie di London. Seorang remaja yang taksub untuk mendapatkan gambar potret dirinya selfie dengan sempurna cuba bunuh diri apabila gagal berbuat demikian. Danny Bowman, 19, menghabiskan masa 10 jam sehari untuk mengambil hampir 200 keping gambar dirinya menggunakan telefon pintar.

Menurut kajian Jabatan Kesihatan Mental Thailand, trend popular selfie boleh menyebabkan seseorang individu hilang keyakinan selain menyebabkan ketagihan yang boleh membawa kepada impak negatif terhadap kehidupan dan pekerjaan mereka. Sikap ini boleh menyebabkan masalah mental pada masa hadapan terutama berkaitan keyakinan diri yang mana ini boleh menyebabkan kesan negatif terhadap kehidupan seharian seseorang, karier dan juga pembangunan negara.

Memberi terlalu banyak perhatian kepada selfie sendiri dengan terus memeriksa komen diberikan kepada mereka dengan harapan mendapat jumlah like paling banyak adalah petanda bahawa selfie boleh menyebabkan pelbagai masalah buat mereka, termasuk kemungkinan hilang keyakinan. Selfie boleh menyebabkan masalah emosi atau mempengaruhi tingkah laku. Penyelidikan menunjukkan, orang yang berselfie ada hubungan emosi dengan laman sosial, dan tingkah laku serta keputusan mereka dipengaruhi oleh bagaimana rakan laman sosial berinteraksi.

Kes dua gadis remaja yang terkorban baru-baru ini di Kelantan gara-gara berselfie juga harus menjadi iktibar kepada semua agar jangan melakukan sesuatu secara keterlaluan. Difahamkan kedua-dua gadis malang itu mati lemas selepas tergelincir ke sungai ketika mencari posisi terbaik bagi merakam gambar selfie mereka.

Ada juga kes seorang wanita di Amerika Syarikat yang sanggup membelanjakan wang puluhan ribu ringgit untuk membuat pembedahan plastik ke atas wajahnya gara-gara mahukan gambar selfie yang cantik. Memang gambar selfienya selepas pembedahan nampak jauh lebih cantik daripada wajah asalnya, tetapi adakah orang lain akan mengikut langkahnya ini semata-mata untuk kelihatan cantik untuk berselfie?


LAU memanjat puncak bangunan pencakar langit untuk mengambil gambar secara selfie. - Foto hiasan
Sanggup memanjat bangunan tertinggi rakam gambar

Terdapat juga video seorang remaja yang bernama Daniel Lau serta rakan-rakannya yang disiarkan menerusi YouTube menunjukkan ketiga-tiga remaja belasan tahun itu berada di atas menara terkenal setinggi 346 meter itu dengan panorama bandar raya Hong Kong di belakang mereka. Lau menggunakan tongkat selfie dan lensa kamera sut luas bagi merakam gambarnya di atas puncak menara The Centre. Mereka sanggup memanjat puncak bangunan pencakar langit untuk mengambil gambar selfie. Trend ini menjadi amat popular terutama di Russia yang mana mereka berani mengambil risiko memanjat bangunan-bangunan ikonik untuk mengambil gambar selfie dan melakukan aksi ekstrem.

Selain itu, terdapat juga segelintir masyarakat yang bergambar selfie tidak kena tempatnya. Isu seorang gadis yang sempat berselfie di samping mayat ayahnya, menimbulkan perasaan kurang senang pengguna laman sosial Instagram.

Kebaikan yang terdapat dengan mengambil selfie, terdapat lagu khas atau mencipta pelbagai jenis muzik untuk selfie. Lagu yang dicipta dalam pelbagai bangsa diterbitkan dan mendapat sambutan yang baik. Pencipta lirik, penyanyi dan pelakon mudah menjadi popular dengan lagu bersifat selfie.

Kelebihan golongan selfie ini secara psikologinya adalah mereka memiliki sifat keyakinan yang tinggi dan pada masa sama menunjukkan sifat individualistik bagi penggemarnya. Personaliti golongan selfie ini lebih mementingkan diri namun tidak semua begitu. Kita juga memahami bahawa selfie ini wujud kerana tidak ada pembantu yang boleh menangkap gambar untuk mereka, maka terjadilah selfie.

Selfie ini menunjukkan keyakinan dan kebanyakan artis juga menggunakan kaedah ini dan ia melambangkan keyakinan artis di dalam Instagram terutama dalam laman web sosial yang lain. Maka ia sesuatu yang positif bagi golongan selfie yang meningkatkan keyakinan dalam diri individu itu. Tetapi jangan lupa menilai bahawa golongan ini memang rupawan. Disebabkan oleh rupa seseorang maka suasana, layanan dan pergaulan sosial sekitarnya juga berbeza. Selfie baik bagi mereka dari segi psikologi.

Misalnya, pasangan pengantin Andrew Robinson dan Sally Rose merakam sekeping gambar selfie mereka ketika memeterai perkahwinan di sebuah gereja di Treales, Lancashire. Gambar tersebut menang hadiah utama Anugerah Selfie Dunia.


GAMBAR perkahwinan Andrew Robinson dan Sally Rose yang menang hadiah utama Anugerah Selfie Dunia.

Rakam pelbagai gaya

Kebaikan seterusnya, perniagaan juga mendapat keuntungan dengan trend selfie ini. Kini ramai yang menggunakan batang monopod untuk berselfie. Monopod memudahkan lagi pengguna untuk merakam dengan pelbagai gaya. Kecanggihan media kini tertumpu pada selfie melalui Instagram yang sememangnya dikhaskan untuk memuat naik gambar.

Manusia mudah dipengaruhi atau diikuti sesuatu yang baharu yang dilihat gaya orang lain seperti fenomena selfie.

Namun, kita perlu bijak berfikir apabila ingin mengikuti trend terbaharu yang diperkenalkan sama ada mendatangkan kebaikan atau keburukan. Kebaikan selfie adalah ia meningkatkan keyakinan diri. Keburukannya, ia boleh memalukan diri sendiri disebabkan gaya yang jelik. Jadi, guna medium teknologi terkini dengan bijak supaya kita tidak hanyut dengan perkara sia-sia.

Penulis ialah penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM)

0 Komentar untuk " Baik, buruk selfie dalam kehidupan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ