Saya, Cikgu Non dan rotannya - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Saya, Cikgu Non dan rotannya

SAYA tidak ingat berapa kali dia pernah menyebat punggung saya ketika zaman sekolah, yang kalaulah dapat dikira, mungkin sama banyak dengan jumlah pulau di Indonesia.

Tetapi semalam, sebaik melihat dia melangkah masuk kedai Mee Abu di Alor Setar, saya terus bangun tinggalkan mi goreng kegemaran,  meluru ke arahnya seperti orang kerasukan.

Saya pegang tangannya yang banyak kali buat punggung saya bengkak dan paha saya berbirat itu. Saya cium tangan itu semahu-mahunya seperti gelagat suami yang baru terkantoi kes skandal, minta maaf daripada isterinya.

Itulah pertemuan kami yang pertama setelah 25 tahun saya tinggalkan sekolah.

Cikgu Md Zainon Shafei @ Cikgu Non, guru disiplin dan warden asrama paling tegas pada zaman persekolahan saya. Walaupun dia tidaklah setinggi mana tetapi hayunan rotannya dengan kederat tangan daripada tubuh yang tidak berapa tinggi itu cukup digeruni oleh pelajar seperti saya.

Pertemuan yang tidak disangka-sangka semalam, mendorong kami berkongsi berbagai cerita termasuk rahsia yang dipendam lama. Dahulu lain tetapi sekarang cerita-cerita seperti itu boleh jadi bahan ketawa.

Antaranya, apa yang berlaku selepas saya ‘bertaubat’ tetapi pengetua Cikgu Kassim tidak percaya taubat saya. Kisahnya, suatu hari selepas saya berazam untuk berubah setelah pihak sekolah hantar telegram kepada ayah saya berikutan satu kes ditangkap oleh Cikgu Non sendiri, saya tidak ke sekolah kerana sakit gigi.

Kebetulan hari itu, Cikgu Kassim panggil semua pelajar dan apabila dapati saya tidak ada, dia arahkan seorang cikgu cari saya di asrama. Saya yang berkurung di bilik tidak dengar suara cikgu itu memanggil kerana pintu utama asrama berkunci menyebabkan dia tidak dapat masuk untuk naik ke bilik saya di tingkat atas.

Tengah hari itu, rakan beritahu pengetua tunggu saya di pejabat. Sampai di sana, tanpa banyak soal, Cikgu Kassim menyebat saya kerana menyangka saya ponteng dan keluar merayau di bandar. Walaupun saya cuba beritahu perkara sebenar, dia tidak percaya. Katanya, kalau saya di asrama, bagaimana cikgu yang cari saya itu beritahu saya tidak ada. Mahu tak mahu, saya terima lima sebatan hari itu!

Malam itu, kebetulan pelajar-pelajar dibenarkan keluar ke bandar. Saya di asrama menonton TV ketika Cikgu Non datang meronda. Dia tanya mengapa saya tak keluar. Kata saya: “Cikgu bukan tak tahu Pekan Alor Setar ni dalam poket saya saja. Buat apa nak keluar ramai-ramai? Keluar curi-curi baru seronok.”

Kata-kata yang sebenarnya keluar dari lubuk hati yang sakit akibat lima sebatan siang tadi.

Kemudian kata Cikgu Non lagi, “tengah hari tadi dengar cerita Pak Kassim mengamuk sakan kat hang?”

Saya membalas: ‘Nak buat macam mana cikgu, tanggung sajalah… kita dah jahat, tobat (taubat) macam mana pun orang tak percaya dah!”

Mungkin kerana takut cuping telinganya semakin menipis, Cikgu Non hidupkan enjin motosikalnya sambil beritahu mahu meronda ke asrama lain.

Lagi cerita yang memecah tawa kami semalam, saya teringat tatkala kami bertemu dalam bilik pengawas ketika saya membetulkan tali leher pada hari pertama bertugas sebagai pengawas sekolah yang Cikgu Non sendiri adalah guru penasihatnya. Dia tanya saya, “macam mana buas serupa hang ni depa lantik jadi pengawas?”

Saya yang sememangnya tidak ada jawapan untuk soalan itu, membalas: “Mana saya tau, cikgu yang lantik saya.”

Baru beberapa tahun lepas – selepas 20 tahun tinggalkan sekolah – kawan baik saya, Amran yang juga ketua pengawas kami beritahu bahawa memang strategi dia untuk mengawal pelajar bermasalah seperti saya dengan melantik kami jadi pengawas.

Itulah. Berbicara mengenai cikgu-cikgu yang pernah mendidik kita, tidak kiralah sama ada dengan rotan atau sekadar kata-kata, memang akan menyentuh bahagian hati yang paling dalam.

Inilah keikhlasan yang hingga kini menzahir sebagai kasih sayang yang berkekalan walaupun setelah berpuluh tahun kita tinggalkan alam persekolahan.

Saya yakin Cikgu Kassim yang menyebat saya ketika saya sakit gigi bukan kerana benci. Esoknya ketika berselisih di sekolah, dia tanya saya sama ada gigi saya masih sakit dan hulur wang kepada saya untuk ke klinik. Tindakannya menyebat saya sebelum itu saya yakin kerana dia terlalu kecewa setelah menyangka saya masih tidak berubah sebagaimana saya janji kepadanya sebelum itu.

Walaupun cerita ini mungkin dianggap sesetengah orang sebagai cerita peribadi yang tidak wajar dikongsi, apa lagi dengan pendedahan diri saya sebagai alumni pelajar bermasalah, saya ada sebab tersendiri.

Satunya untuk kita masing-masing sedar bahawa selain doa ibu bapa, peranan guru dengan rotan dan ketegasannya adalah sangat bermakna dalam hidup kita.

Saya akui kata-kata Cikgu Non sebelum kami berpisah semalam, “kerana saya rotanlah, hang jadi orang, Mat!"

0 Komentar untuk " Saya, Cikgu Non dan rotannya "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ