#KitakanIslam aktifkan Rumah Ngaji - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

#KitakanIslam aktifkan Rumah Ngaji

RUMAH Ngaji menjadi fokus utama kempen #KitakanIslam untuk mengajak seluruh umat Islam mentadabur al-Quran. #KITAKANISLAM adalah sebuah harapan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) dalam membentuk sebuah penyatuan ummah di Malaysia, terutamanya umat Islam dengan meletakkan al-Quran dan as-Sunnah sebagai tunjang utama.

Fasa terakhir dalam kempen #KITAKANISLAM ini ialah fasa Iqra’- Aktifkan Rumah Ngaji - yang menjadi platform untuk lebih dekat dengan al-Quran, diharapkan dapat diaktifkan di setiap masjid yang dibersihkan.

Dalam fasa ini, #KITAKANISLAM membawa misi untuk membina legasi ummah supaya masyarakat mampu baca, faham dan amal al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

 Pelbagai program yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah diadakan untuk kembali mengimarahkan masjid dan mengisi ruang-ruang aktiviti dalam Rumah Ngaji yang akan diaktifkan nanti.

Pada awalnya, program Rumah Ngaji diasaskan di Kompleks WUI dengan menganjurkan banyak program seperti kelas talaqqi, kelas bahasa Arab, kelas bacaan al-Quran, kelas Ibrah dan bermacam-macam lagi. Dari situlah, idea itu disebarluaskan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff, setakat ini, tiga tempat di Kelantan aktif dengan program Rumah Ngaji dan terdapat 20 permintaan lagi di negeri Serambi Makkah itu, sama ada di masjid, surau, hospital atau mana-mana tempat yang dirasakan bersesuaian. Sebanyak 65 buah negeri dan daerah yang aktif dengan program Rumah Ngaji, termasuk di Perak dan Selangor.

Marhaini berkata, usaha Rumah Ngaji bukan hanya memberi naskhah al-Quran yang bernilai RM1 juta, sebaliknya mengaktifkan program Rumah Ngaji di kawasan atau tempat yang dicadangkan.

"Apabila kami menyediakan naskhah al-Quran, kami tidak akan meninggalkannya begitu sahaja, tetapi kami akan mencetuskan  kesedaran sehingga masyarakat setempat akan bersama membangunkannya. Daripada masyarakat untuk masyarakat. Rumah Ngaji diaktifkan di masjid dan surau sebagai meeting place dengan menjadikan al-Quran meeting point.

"Pihak WUI akan menyediakan al-Quran, berkongsi pengalaman, melatih tenaga pengajar dan membantu menguar-uarkan keperluan bagi memastikan Rumah Ngaji berjalan lancar," katanya.

Menurutnya, satu dari matlamat Rumah Ngaji adalah mahu masyarakat membaca al-Quran, memahaminya dan mengamalkan nilai mulia yang terkandung dalamnya bagi mendidik jiwa menjadi Muslim sejati.

Marhaini berkata, program Rumah Ngaji akan diteruskan pada masa akan datang dan dijangkakan dalam tempoh 10 tahun, 500 Rumah Ngaji di seluruh Kelantan dan 3,000 Rumah Ngaji akan dibangunkan di seluruh negara.

"Ini adalah program penyatuan hati dan apa yang kami lakukan adalah untuk membawa mesej al-Quran menjadi karakter ummah, insya-Allah. semua masyarakat Islam. Kenapa Rumah Ngaji? Kerana inilah komitmen WUI, kami mahu umat Islam di Malaysia membaca al-Quran dengan baik, fahami dengan jiwa dan amalkan nilai dalam al-Quran sehingga jadi Muslim sejati," katanya.

0 Komentar untuk " #KitakanIslam aktifkan Rumah Ngaji "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ