Proton meterai MOU dengan PT ACL - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Proton meterai MOU dengan PT ACL

PROTON Holdings Bhd hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan PT Adiperkasa Citra Lestari (PT ACL) dari Indonesia bagi membantu syarikat itu membangunkan dan mengeluarkan kereta nasional Indonesia.

Di bawah MoU itu, satu kajian kebolehlaksanaan selama enam bulan akan dijalankan bagi meneroka bidang kerjasama khusus antara kedua-dua syarikat termasuk kemungkinan membangun dan membuat kereta di Indonesia.

Tertakluk kepada selesainya kajian yang berjaya, Proton dan PT ACL juga akan menandatangani perjanjian usaha sama (JV) bagi projek yang dicadangkan itu.

Pengerusi Proton Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, MoU itu merupakan hasil perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).

"Kami perlu merangka perjanjian JV itu. Saya tidak boleh agak kandungannya, namun yang jelas Malaysia tidak akan mengalami kerugian. Kita juga mahu sesuatu daripadanya," kata beliau kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU tersebut, di sini.

Najib, Jokowi dan Dr Mahathir menyaksikan majlis itu. Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Duta Besar  Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno.

Mou itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif PT ACL, Abdullah Mahmud Hendropriyono, mewakili syarikat masing-masing.

Jokowi meluangkan masa hampir sejam melawat kilang Proton dan sempat menaiki Iriz, model terbaharu Proton, yang dipandu oleh Dr Mahathir.

"Saya  berpeluang berbual dengan Presiden Jokowi dan beliau nampak gembira dengan apa yang beliau lihat dan alami," kata Dr Mahathir.

Katanya, kajian turut meneliti sumbangan yang boleh diberi oleh Malaysia dan Indonesia bagi memaksimumkan manfaat untuk kedua-dua negara.

"Kita harus meneliti sama ada kereta Malaysia boleh diubah suai atau sesuai pasaran Indonesia.

"Pada peringkat awal kita mungkin eksport kereta buatan Malaysia. Selepas itu kita akan memasang kereta di Indonesia dan seterusnya mengeluarkan bahagian-bahagian di negara itu agar ia akan menjadi kereta Indonesia yang sebenar," katanya.

Dr Mahathir berkata Proton bermula dengan hanya 18 peratus kandungan tempatan dan kini pengeluar kereta itu terlibat dalam pembuatan, rekaan dan pengeluaran  protaip yang mematuhi piawaian automotif antarabangsa yang ketat.

Beliau juga berpandangan JV tersebut mungkin akan menjadi platform untuk kereta Asean.

"Akan tetapi untuk ini kita perlukan persetujuan semua negara Asean selain membuka peluang pelaburan kepada mereka bagi tujuan pemilikan kereta tersebut," katanya.

Ditanya sama ada JV itu boleh bersaing dengan gergasi automotif lain, Dr Mahathir berkata, bukan suatu yang luar biasa bagi Malaysia dan Indonesia untuk melindungi industri yang masih pada peringkat awal apabila ia jadi kenyataan kelak.

"Apabila anda masih bayi anda perlukan seseorang untuk menjaga anda," hujahnya.

Sementara itu, Abdul Harith berkata, kolaborasi tersebut baik untuk kedua-dua negara, terutama dalam bekerja bersama untuk membangunkan produk bagi pasaran yang lebih besar.

"Proton mempunyai fasiliti, keupayaan dan pengetahuan teknologi serta satu-satunya syarikat di Asean yang memiliki kemudahan penyelidikan dan pembangunan dalaman.

"Pada masa sama, tidak ada negara lain di rantau ini yang mempunyai projek kereta nasional selain daripada menyediakan perkhidmatan pembuatan dan pemasangan," katanya.  

Bagi PT ACL, Abdullah Mahmud berkata MoU itu merupakan perkembangan besar dalam industri automotif Indonesia.

"Jika kerjasama ini menjadi kenyataan, ia bukan sahaja memacu industri tetapi juga menawarkan peluang pekerjaan yang luas untuk rakyat," katanya. - Bernama

0 Komentar untuk " Proton meterai MOU dengan PT ACL "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ