PMR aktifkan pekebun kecil getah, sawit - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

PMR aktifkan pekebun kecil getah, sawit

MOHD Shafie (dua dari kanan) menyampaikan cek sumbangan khairat kematian kepada Abdul Rahman Yahya (kiri) sambil diperhatikan Wan Mohamad Zuki (tengah); Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Hasan Md Amin (dua dari kiri) dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Zubir Abdul Ghani (kanan), pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemaju Masyarakat RISDA (PMR) di Institut Kemajuan Desa (INFRA), Bangi, baru-baru ini. - Foto Azhar Ramli

PMR belum dimansuhkan, malah terus dekat di hati masyarakat, khususnya pekebun kecil getah dan sawit. Walau bagaimanapun, PMR yang dimaksudkan bukan Penilaian Menengah Rendah yang digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), sejak tahun lalu, sebaliknya Pemaju Masyarakat RISDA (PMR).

PMR memainkan peranan menyampaikan setiap perancangan kerajaan berkaitan pembangunan pekebun kecil kepada pekebun getah dan sawit di bawah seliaan masing-masing.

Selain peranan utama sebagai pendorong dan pemudah cara membawa setiap permasalahan mereka kepada RISDA, seterusnya disalurkan kepada kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, PMR juga membantu menjelaskan setiap pendekatan baharu yang diperkenalkan kerajaan berkaitan perusahaan getah dan sawit kepada pekebun kecil dinaunginya yang mencecah 500,000 orang.

Ketika ini peranan mereka bertumpu kepada pekebun kecil mangsa banjir luar biasa pada Disember dan Januari lalu, khususnya dalam memastikan setiap pekebun kecil yang terjejas mendapat bantuan yang sepatutnya.

Dengan elaun sebanyak RM800 sebulan, setiap PMR akan membantu RISDA dalam menyediakan profil pekebun kecil serta kawasan, mengenal pasti masalah komuniti pekebun kecil terutamanya berkaitan program pembangunan RISDA dan memberikan maklum balas untuk tindakan susulan.

Tingkat produktiviti pekebun

PMR dipilih dalam kalangan pekebun kecil berusia antara 21 hingga 65 tahun, pengusaha kebun, bermastautin di kawasan jagaan serta tidak memegang jawatan lain yang dibayar gaji atau elaun.

Majlis penyerahan watikah pelantikan kepada 372 PMR seluruh Semenanjung disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Institut Kemajuan Desa (INFRA), Bangi, Selangor, baru-baru ini. Bersempena majlis itu, Mohd Shafie turut menyampaikan sumbangan RISDA berupa sebuah van jenazah kepada Masjid Jami'llhuda, Kampung Melayu, Ampang, Selangor.

Pada 23 Januari lalu, 30 PMR di Sabah turut menerima watikah pelantikan yang disempurnakan Mohd Shafie di Semporna. Setiap pemimpin terbabit dilantik untuk tempoh perkhidmatan dua tahun.

Untuk rekod, pada tahun 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan elaun 513 Pemaju Masyarakat RISDA daripada RM300 kepada RM500 sebulan. Ini disusuli pada tahun 2014, selepas mengkaji kadar elaun semasa dan mengambil kira bebanan tugas yang dilaksanakan mereka, Perdana Menteri sekali lagi mengumumkan kenaikan kepada RM800 sebulan.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berharap tahun 2015 membawa lebih banyak kejayaan kepada pekebun kecil serta kementeriannya akan bekerja keras melaksanakan amanah memperkasa transformasi luar bandar. Katanya, RISDA cemerlang mengadakan pelbagai program untuk membangunkan komuniti pekebun kecil di negara ini.


ANTARA penerima Watikah Pelantikan Pemaju Masyarakat yang hadir di INFRA, Bangi. - Foto Azhar Ramli

Selain itu, usaha juga ditumpukan kepada program meningkatkan produktiviti menerusi kempen seperti gerakan membaja, jihad produktiviti, kempen penggunaan bahan rangsangan getah, kempen menoreh, dan program kasihi pekebun.

Bagaimanapun katanya, usaha untuk meningkatkan pengurusan dan peningkatan produktiviti kebun masih perlu dilaksanakan berterusan secara terancang dan teratur.

"Ini bagi memastikan kebun getah dapat mengeluarkan hasil dalam tempoh empat tahun setengah dan mengeluarkan hasil tidak kurang daripada dua tan sehektar menjelang tahun 2020," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shafie berkata, mulai tahun ini, Skim Khairat Kematian Pekebun Kecil Berkelompok (SKPBR) yang diperkenalkan pada tahun 2013 akan diperluaskan kepada semua pekebun kecil yang berdaftar dengan RISDA.

Ringan beban keluarga

Katanya, ia tidak lagi tertakluk kepada pekebun masih menerima bantuan tanam semula agensi itu untuk memberi perlindungan kepada mereka terdedah pelbagai risiko seperti serangan binatang buas, kemalangan dalam perjalanan ke kebun dan malapetaka lain menyebabkan kematian.

Beliau berkata, kini SKPBR adalah skim khairat kematian untuk meringankan beban keluarga pekebun jika berlaku kematian akibat sebarang punca kemalangan dan sakit tanpa mengira lokasi.

"Ketika ini, skim itu melindungi pekebun kecil berumur 18 hingga 70 tahun masih menerima bantuan tanam semula RISDA dengan bayaran premium RM18 seorang setahun atau RM1.50 seorang sebulan dan kadar pampasan sebanyak RM2,000 jika berlaku kematian," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi yang juga Ketua Pengarah RISDA, Datuk Seri Wan Mohamad Zuki Mohamad, berkata pada tahun ini RISDA memikul amanah berat untuk menjayakan penanaman semula 41,500 hektar serta pelbagai program pembangunan lain.

Sehubungan itu katanya, semua PMR perlu membantu RISDA dalam menghadapi cabaran tahun ini demi kemajuan dan kemakmuran komuniti pekebun kecil.

"Saya berharap semua PMR berganding bahu bersama RISDA mensejahterakan komuniti pekebun kecil dan seterusnya meningkatkan pendapatan mereka," katanya.

0 Komentar untuk " PMR aktifkan pekebun kecil getah, sawit "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ