STENOSIS iaitu penyempitan lumen berpunca daripada timbunan plak atherosklerosis merupakan teori utama yang diguna pakai oleh golongan perubatan moden dalam menerangkan punca serangan jantung.
Ia juga amat masyhur dan diguna pakai dalam bidang lain termasuk pemakanan (nutrisi) dan perubatan alternatif.
Namun begitu, penyebaran info berkaitan pandangan alternatif mengenai perkara sama di negara ini amatlah rendah.
Jadi, penulis mengambil peluang menggunakan ruangan yang biasa penulis berbincang berkaitan ilmu perubatan preventif ini secara tulus ikhlas dengan harapan bertambah lebih ramai golongan celik ilmu.
Pada bahagian akhir artikel minggu lepas, penulis membawakan contoh sebuah kajian yang dijalankan kumpulan doktor yang bertugas di sebuah hospital di Florida yang mendapati serangan jantung hanya berlaku 10 peratus pada arteri sempit.
Jika arteri koronari sempit sehingga hanya peratusan kecil sahaja yang boleh dilalui darah, maka seseorang yang mengalami stenosis akibat plak atherosklerosis sepatutnya mudah meninggal dunia.
Ia kerana lumen arteri yang sempit hanya membenarkan isi padu darah yang lebih rendah melaluinya pada satu-satu masa berbanding keadaan biasa. Itulah antara isi yang dapat dideduksi tulisan Dr Thomas S Cowan dalam artikel tulisannya berjudul What is the Real Cause of Heart Attacks?
Kumpulan subjek kajian yang dimaksudkan telah menjalani angioplasty, memasukkan stent atau menjalani pembedahan pintasan pada arteri yang dijangka menjadi punca serangan jantung dengan peratusan yang tinggi.
Namun peratusan serangan jantung yang rendah berpunca daripada arteri terbabit menunjukkan ketiga-tiga langkah tersebut (angioplasty, stent dan pintasan) tidak mendatangkan manfaat!
Intervensi tidak bermanfaat
Sebuah kajian berskala besar berjudul Indications for Coronary Artery Bypass Surgery and Percutaneous Coronary Intervention in Clinic Stable Angina yang dijalankan oleh Mayo Clinic yang terbit dalam jurnal Circulation pada 2003 sepatutnya diambil kira oleh pakar-pakar kardiovaskular secara khusus dan golongan perubatan moden secara umum. Kumpulan penyelidik kajian membuat kesimpulan bahawa pembedahan tidak mengurangkan simptom seperti sakit dada.
Pembedahan pintasan tidak berupaya mencegah kejadian serangan jantung dari berulang. Hanya pesakit berisiko tinggi yang mengalami manfaat pembedahan dari segi mereka memiliki peluang lebih cerah untuk hidup.
Menurut Dr Cowan, kesimpulan daripada kajian tersebut menunjukkan piawaian usaha merawat arteri tersumbat hanya sekadar menyumbang manfaat yang minima kepada penghidap.
Pembaca budiman dipersilakan untuk melawat laman sesawang milik Dr Knut Sroka berjudul Heart Attack New Approaches di www.heartattacknew.com. Bacalah keseluruhan isi laman sesawang tersebut.
Yang pasti setelah anda membaca secara rendah diri anda akan mengatakan, rupa-rupanya banyak perkara mengenai keajaiban kardiovaskular yang anda tidak ketahui telah diketahui oleh orang lain.
Antara perkara utama yang disampaikan dalam laman sesawang tersebut ialah bahagian arteri yang mengalami lebih daripada 90 peratus tersumbat, pada sebahagian besar kes pengaliran darah dikendalikan oleh saluran darah baru.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara ini bacalah artikel berjudul The Riddle’s Solution dalam ruangan FAQ di laman sesawang tersebut.
Kesimpulan yang dapat dipetik daripada artikel Dr Sroka tersebut menunjukkan pandangan golongan perubatan moden yang menyatakan semua bekalan darah hanya dibekalkan oleh empat arteri koronari adalah salah sama sekali dan tidak boleh diterima pakai.
Yang benar ialah sebaik-baik sahaja bayi dilahirkan, jantung norma membina jaringan saluran darah halus dikenali sebagai saluran kolateral (collateral vessels) di mana ia akan mengambil alih tugas pengaliran darah apabila berlaku gangguan pada satu (atau lebih) arteri-arteri utama.
Antara kenyataan menarik dalam artikel tersebut ialah Dr Sroka membawa beberapa kajian yang menunjukkan saluran kolateral membentuk jaringan baru dalam tempoh yang singkat.
Sebuah kajian mendapati saluran kolateral tumbuh dalam empat hari di mana jaringan tersebut didapati berupaya membekal darah ke jantung secukupnya. Sebuah kajian lain menunjukkan saluran kolateral tumbuh pada tahap optimum di mana arteri tersumbat secara penuh (100 peratus) tidak mengancam otot jantung secara serius!
Angiogram gagal?
Dr Sroka mendapati, angiogram koronari gagal untuk menunjukkan kewujudan aliran kolateral (aliran darah dalam saluran kolateral).
Prosedur tersebut dikatakan menyebabkan kekejangan berlaku pada arteri koronari akibat daripada suntikan pewarna bertekanan tinggi. Menurut Dr Cowan, kesimpulannya ialah angiogram koronari tidak jitu sebagai langkah untuk menguji tahap stenosis termasuk kadar aliran darah dalam arteri jantung!
Jika teori yang digunapakai oleh Dr Sroka dan Dr Cowan ini benar maka sebab itulah ramai penghidap arteri koronari tersumbat pada tahap serius iaitu stenosis berlaku pada tahap 90 peratus masih boleh hidup selama bertahun-tahun selepas didiagnosis.
Jadi, menurut Dr. Cowan, penilaian pakar bedah kardiovaskular yang biasa mencadangkan intervensi dalam bentuk angioplasty, memasang stent atau pembedahan pintasan atas alasan misalnya kenaikan tahap stenosis dari 93 ke 98 peratus menyumbang risiko serangan jantung sebagai alasan tidak masuk akal.
Ikuti artikel penulis minggu hadapan yang menerangkan kelemahan teori thrombosis yang dikatakan berpunca daripada plak atherosklerosis tidak stabil. Selain itu, penuis akan bincangkan penyebab serangan jantung yang tiada kena mengena dengan tahap stenosis mahu pun thrombosis.
Selanjutnya penulis akan bincangkan mengenai langkah-langkah alternatif yang difikirkan dapat membantu mencegah serangan jantung yang biasa dikaitkan dengan pembentukan plak atherosklerosis dan thrombosis akibat plak tidak stabil.
Perhatian: Golongan saintis, penyelidik mahupun pelajar yang ingin menambah ilmu dipersilakan membaca dua tulisan berikut: G. Baroldi, ‘The Etiopathologies of Coronary Heart Disease: A Heretical Theory Based on Morphology’ dan K. Sroka, ‘On the Genesis of Myocardial Ischemia’.
Dapatkan kedua-duanya di ruangan ‘print version’ dari laman sawang Dr Sroka, ‘Heart Attack New Approches’
0 Komentar untuk " Penyelamat nyawa penghidap stenosis "