Media gergasi gabung untuk #KITAKANISLAM - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Media gergasi gabung untuk #KITAKANISLAM

MUSIBAH banjir yang berlaku baru-baru ini di negara kita membinasakan negeri-negeri di Pantai Timur dan beberapa kawasan di Perak dan Johor. Kelantan adalah negeri yang paling teruk dilanda kemusnahan akibat banjir sejak 1967.

Hampir keseluruhan masjid yang menjadi tempat ibadah juga rosak dan musnah. Ini amat menyedihkan bagi kita umat Islam terutamanya.

Kerana itu, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) terpanggil untuk turut sama membantu dan mencetuskan sebuah kempen yang diberi nama #KITAKANISLAM.

#KITAKANISLAM adalah sebuah harapan WUI dalam membentuk sebuah penyatuan ummah di Malaysia terutamanya umat Islam dengan meletakkan al-Quran dan as-Sunnah sebagai tunjang utama.

Kita sering mendengar perbalahan antara kita yang membezakan akidah dan kebenaran Islam itu sendiri di mana si A tidak menyokong si B kerana Islamnya tidak selari dengan fahaman yang dipelajarinya.

Dalam masa sama, mereka dengan megah menidakkan keislaman seseorang yang tidak memiliki pemikiran yang sama. Akibatnya, perpecahan di antara kita semakin parah dan tidak dapat dibendung lagi.

Dengan melihat situasi inilah WUI cuba untuk menyediakan satu platform yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak supaya kita semua kembali kepada akar perpaduan ummah dan dalam masa yang sama menggembleng tenaga untuk membantu membangunkan semula institusi masjid yang terjejas teruk akibat banjir.

Melihat kepada besarnya peranan masjid sebagai sebuah institusi untuk pembangunan sosial sesebuah negara, kempen #KITAKANISLAM akan menumpukan sepenuhnya kepada masjid untuk dibangunkan semula dari segi infrastruktur dan juga pengisian untuk mengimarahkan kembali kesemua masjid.

Buat kerana ALLAH

Dalam merealisasikan matlamat ini, WUI dengan sokongan Kumpulan Media Karangkraf, Sinar Harian, Astro Oasis, Astro Awani dan stesen radio THR Gegar bersama-sama berganding bahu untuk membawa syiar keindahan Islam kepada masyarakat Malaysia dalam kempen #KITAKANISLAM – Buat Kerana ALLAH dengan program Aktifkan Rumah Ngaji yang akan menjalankan tiga aktiviti utama iaitu Cuci, Pulih dan Iqra’.

Kempen ini mengalu-alukan sumbangan berbentuk wang ringgit, sukarelawan, tenaga profesional, badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun sesiapa sahaja yang mempunyai kepakaran untuk turut sama dalam proses pemulihan kembali masjid yang terjejas dalam usaha menjadikan masjid sebagai pusat sehenti.

Tiga fasa utama – Cuci, Pulih & Iqrai’

Fasa pertama dalam kempen ini ialah fasa Cuci. Akibat daripada bencana banjir yang telah melanda, aktiviti cuci masjid ini akan dilakukan bersama sukarelawan untuk memberi nafas baru agar dapat digunakan kembali.

Dalam fasa ini, al-Quran yang telah rosak akan dikumpulkan untuk digantikan dengan al-Quran baharu.

Fasa seterusnya ialah fasa Pulih. Dalam fasa ini, kita perlu memastikan masjid berada dalam keadaan yang baik untuk keselesaan para jemaah. Peralatan seperti sistem pembesar suara (PA system), permaidani, sejadah, rak dan lain-lain keperluan masjid diperlukan dalam proses pemulihan masjid.

Aktiviti mengumpulkan al-Quran yang telah rosak juga berada di fasa ini. Kita sedia maklum, keadaan banjir yang melanda telah mengakibatkan kerosakan yang teruk bukan sahaja bangunan masjid, tetapi juga al-Quran yang ada di dalamnya.

Dalam usaha ini, Kumpulan Media Karangkraf menyumbang sebanyak RM500,000 dan ditambah lagi RM500,000 melalui sumbangan pemilik Kumpulan Media Karangkraf untuk membeli al-Quran bagi menggantikan al-Quran yang rosak.

Fasa terakhir dalam kempen #KITAKANISLAM ini ialah fasa Iqra’- Aktifkan Rumah Ngaji.

Rumah Ngaji yang menjadi platform untuk lebih dekat dengan al-Quran diharapkan dapat diaktifkan di setiap masjid yang telah dibersihkan.

Dalam fasa ini, #KITAKANISLAM membawa misi untuk membina legasi ummah supaya masyarakat mampu baca, faham dan amal al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

Pelbagai program yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah diadakan untuk kembali mengimarahkan masjid dan mengisi ruang-ruang aktiviti dalam Rumah Ngaji yang akan diaktifkan nanti.

#KITAKANISLAM bertepatan dengan misi penyatuan ummah dengan mendekati komuniti setempat. Dengan bermulanya fasa pertama pada minggu lalu, diharapkan penduduk setempat dapat menggunakan masjid dan surau dengan segera dan selesa.

INFO

#KITAKANISLAM memerlukan sumbangan wang tunai, barangan berbentuk fizikal (permaidani, PA sistem, cat, rak dan keperluan masjid yang lain) dan sukarelawan dalam pelbagai kemahiran seperti profesional, NGO, orang awam, kontraktor, tenaga pakar dalam membaiki sistem PA, dan sistem perpaipan masjid.

Sumbangan wang tunai boleh disalurkan ke akaun MAYBANK ISLAMIC : WARISAN UMMAH IKHLAS FOUNDATION (5642-7651-6031) Pendaftaran sukarelawan juga boleh didaftarkan di Facebook Warisan Ummah Ikhlas atau emel ke info@ warisanummahikhlas.com.my

Ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenainya sila hubungi: 013- 3593165 (Marhani) / 019-3887242 (Azam) / 03-5101 3789 (Hotline).

0 Komentar untuk " Media gergasi gabung untuk #KITAKANISLAM "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ