Budaya K-Pop kikis sifat malu, akhlak remaja Islam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Budaya K-Pop kikis sifat malu, akhlak remaja Islam

HARI ini ramai dalam kalangan kita yang terkejut, malu dan sedih dengan perbuatan tidak senonoh anak gadis di sebuah konsert k-pop.

Meskipun kita bukan malaikat namun mata yang melihat dengan bingkai keimanan dan Islam akan berasa jelak dan mual melihat kelakuan Muslimah tersebut.

Pakaian Muslimah yang dipakai langsung tidak dapat menjadi benteng menjaga mereka daripada kelakuan luar batasan syariat itu. Apabila mata hati sudah terlalu silau dengan ketampanan dan kelincahan artis Korea maka sedikit demi sedikit iman terkikis hingga habis.

Menghadapi realiti ini, memang sangat mudah rasanya hendak menyalahkan individu ini kerana mencalarkan imej Muslimah. Namun sangat perlu untuk kita menilai sebentar hal dan suasana bagaimanakah negara kita melahirkan generasi muda yang sebegini.

ALLAH SWT berfirman: "Wahai nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) ALLAH adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Al- Ahzab: 59)


1. Kepincangan dalam meletakkan nilai

Jika kiri kanan kita melihat dalam masyarakat, hiburan yang dihidangkan adalah drama, video klip artis Korea serta rancangan realiti Korea, ini yang menjadi zikir dan igauan setiap hari generasi muda. Sanjungan diberikan kepada kepada artis hiburan dengan setinggi-tinggi sanjungan.

Malah halaman akhbar juga penuh dengan cerita sensasi artis. Rupa luaran lebih bernilai daripada akhlak atau sifat terpuji. Dalam kepincangan meletakkan nilai ini sahaja kita sudah dapat melihat bagaimana corak generasi muda kita.


2. Kamu akan menyerupai orang kamu cintai

Pemuda-pemudi perlu muhasabah dalam diri mereka. Pemakaian, percakapan, sudut pandang mereka adalah mengikut acuan siapa? Adakah sama seperti apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW?

Atau lebih menyerupai kepada bintang-bintang filem/artis/tv? Kisah hidup siapa yang lebih kita ikuti? Ikon media yang mempromosi kehidupan liberal dan hedonistik?

Ataupun kehidupan nabi dan rasul serta golongan sahabat yang seluruh kehidupannya adalah
untuk menyampaikan ajaran sekali gus menjadi cahaya kehidupan manusia.

Melihat kepada  pemuda yang lebih ramai meniru gaya artis Korea dan pemudi yang tergila-gilakan artis Korea, sangat perlu untuk kita melihat dan membetulkan di mana silapnya kita dalam membentuk generasi muda hari ini. Merekalah harapan dan masa hadapan kita.

Sudah tiba masanya untuk kita berubah dan menolak segala bentuk kemungkaran yang menjadi perosak dalam kehidupan di muka bumi ini. Atau kita hanya boleh menongkat dagu sehingga datang kepada kita kehancuran?


AFIQAH HAMZAH

Ketua Beliawanis Pembina Melaka

0 Komentar untuk " Budaya K-Pop kikis sifat malu, akhlak remaja Islam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ