Sekularisme tak sejajar dengan Islam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sekularisme tak sejajar dengan Islam

ISTILAH sekular berasal daripada bahasa Latin saeculum yang membawa makna kekinian atau duniawi. Faktor agama tidak menjadi suatu faktor yang relevan. Sekularsime menjadi suatu fahaman yang menyebabkan agama terpinggir dan faktor duniawi semata-mata terserlah.

Ia terlihat dengan falsafah pasca-modernisme yang diperjuangkan di Barat dengan menjadikan kekuatan rasionaliti atau akal sebagai asas menemui kebenaran mutlak. Apa agama pun hatta Kristianiti dianggap sebagai dogma dan bukan jalan menemukan sains dan agama.

Melakukan refleksi terhadap sejarah tamadun Islam agama dan sains berjalan seiring. Tetapi pengalaman di Eropah meletakkan Kristiani bercanggah dengan sains lalu berlaku pertembungan yang tajam antara agama dan negara (church and state). Orang seperti Galileo-Galili terpenjara kerana mengambil pendirian saintifik.

Sebaliknya tamadun Islam melahirkan Ibn Sina, Abu Qasim Az Zahrawi, al Biruni, al Khuwarizmi dan ramai lagi yang menyantuni al-Quran serta memiliki kepakaran dalam ilmu perubatan, astronomi, pakar bedah dan matematik.

Kemajuan tamadun ini menjadi sumber pencerahan orang-orang Barat yang menyebabkan reformasi dan renaissance terjadi. Proses deIslamisasi atau pensekularan terjadi. Barat akhirnya menjadi kuasa penakluk terhadap negara umat Islam dan akhirnya sekularisasi dalam ilmu dan pendidikan terjadi di negara-negara yang berkenaan.

Sekularisme adalah suatu faham yang tidak sejajar dengan Islam kerana menolak faktor agama sebagai bahagian penting daripada faktor perubahan dan kemajuan serta menjadi inti penting dalam pembangunan ilmu dan pendidikan.
Ilmu dan pendidikan Islam adalah hasil integrasi ilmu akliah (pemikiran) dan juga nakliah (wahyu). Pada zaman puncak tamadun sekitar abad ke-7 hingga ke-13, faktor ini teradun dengan baik dan berlaku sinergi antara sains dan agama.

Proses pengilmuan dan pendidikan dalam tradisi Islam bertujuan membentuk tasawwur atau world-view yang sepadu dan seimbang. Kesepaduan akliah-nakliah adalah menjadi asas utama supaya pemahaman terhadap ilmu dan pendidikan mengambil pendekatan menegak dan merentas (hablumminal’lah dan wahablum minnannas) supaya faktor mengakui hakikat Pencipta dijadikan landasan pedoman dalam mengembangkan pemikiran dan kajian supaya umat Islam menjadi umat ulul albab (umat yang mengetahui).

Apa yang dipentingkan dalam proses pengilmuan dan pendidikan dalam Islam ialah kualiti diri manusia (rijal) yang bakal terhasil. Sistem yang berasaskan pemajuan akliah semata-mata bakal melahirkan insan duniawi yang tidak dipandu oleh faktor ukhrawi.

Ia menyebabkan faham kebendaan terbina, resam individualisme terbangun, amalan nafsu-nafsi tanpa pedoman berlaku dan memperjuangkan hak asasi tanpa batasan akan terjadi.

Tetapi sistem yang berasaskan akliah dan nakliah akan membina asas keseimbangan (taawun) supaya aspek etika dan nilai yang dipedoman oleh agama menjadikan manusia terbentuk akhlaknya dengan baik, tahu batasan boleh dan tidak boleh dalam hidup ini serta memiliki kualiti diri yang amanah, adil, ikhlas, telus dan tulus yang terkait dengan Pencipta iaitu ALLAH.

Justeru, sekularisme yang diperjuangkan tidak senafas dengan perjuangan Islam dan ia bahaya terhadap pembentukan tasawwur insan. Islam tidak menolak kemajuan tetapi kemajuan mestilah mampu mengangkat akal-budi insan.

Islam tidak menolak kekayaan kerana rahmat dan nikmat ALLAH yang banyak di muka bumi adalah bukan untuk monopoli dan eksploitasi sesuatu pihak, tetapi ia adalah untuk kesejahteraan hidup umat manusia.

Inilah matlamat kehidupan sebenarnya supaya nilai tauhidik dan etika (kerukunan) menjadikan manusia lebih beradab di samping berlaku adil terhadap yang lain. Sifat-sifat haiwani, hedonestik dan nafsu-nafsi dapat digantikan dengan sifat yang beretika dan lebih manusiawi supaya kehidupan ini terarah dan terpedoman.

*Prof Dr Sidek Baba ialah pensyarah di Insted, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

0 Komentar untuk " Sekularisme tak sejajar dengan Islam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ