#KITAKANISLAM di Kuala Nal - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

#KITAKANISLAM di Kuala Nal

KERJA - kerja membersihkan masjid di Kelantan yang terjejas akibat banjir dijalankan dalam misi bantuan #KitakanIslam, baru-baru ini.

Antara yang turut berganding bahu membersihkan masjid ialah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) bekerjasama dengan Kumpulan Media Karangkraf, Astro Oasis dan THR Gegar.

Dibersihkan berkali-kali

Masjid Mukim Kuala Nal adalah masjid kedua dipilih dalam kempen #KitakanIslam selepas Masjid Kampung Laut, Tumpat. Mensasarkan 12 masjid di Kelantan, kempen #KitakanIslam akan terus bergerak untuk mencari masjid yang terjejas teruk akibat banjir melanda negeri Cik Siti Wan Kembang itu sejak akhir Disember tahun lalu.

Kunjungan kami ke Kuala Krai minggu lalu meninggalkan kesan mendalam kepada sukarelawan terlibat. Memilih lokasi Masjid Mukim Kuala Nal sebagai lokasi bagi kempen #KitakanIslam kali ini ternyata tidak sia-sia. Air mata kami gugur saat melihat kemusnahan yang berlaku di sepanjang perjalanan menuju ke kawasan masjid Kuala Nal.

Sememangnya, masjid ini menjadi tumpuan beberapa sukarelawan lain sebelum ini. Sudah dicuci dan dibersihkan beberapa kali, namun masih lagi tidak menghilangkan keseluruhan lumpur yang  tertinggal di sekitar kawasan masjid.

Permaidani yang selama ini menjadi alas sujud dan hamparan iktikaf bagi kariah masjid telah musnah keseluruhannya. Yang tinggal hanya lantai simen yang keras dan sejuk.

Kehadiran sukarelawan #KitakanIslam  yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan NGO seperti Muslim Volunteer Malaysia, M165, dan juga Cuci Masjid Community yang juga datang dari Johor memberi rahmat buat penduduk Kampung Kuala Nal, terutama sekali bagi kariah Masjid Mukim Kuala Nal.

Kami disambut baik oleh penduduk kampung yang ketika itu turut hadir untuk sama-sama dalam aktiviti membersihkan masjid dan kawasan sekelilingnya.

Setibanya sukarelawan di masjid, pembahagian tugas dan kumpulan dilakukan. Setiap sukarelawan bertanggungjawab untuk membersihkan kawasan masing-masing. Pembersihan dilakukan dari dalam masjid sehingga ke bahagian luar masjid termasuk kawasan pagar masjid.

Bukan sahaja dibersihkan, masjid tersebut juga dibekalkan dengan cat untuk dicat semula ruang dinding masjid agar kelihatan lebih baik dari sebelumnya.

Bantu orang kampung

Walaupun kerja membaik pulih masjid yang terlibat banjir ini mengambil masa yang lama untuk dipulihkan, tetapi kehadiran sukarelawan #KitakanIslam ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan masa dan tenaga penduduk kampung sendiri yang juga perlu membersihkan dan membaik pulih rumah mereka yang juga teruk dilanda banjir.

Sukarelawan yang terlibat memberikan komitmen luar biasa ketika sama-sama membersihkan kawasan masjid. Ibarat tiada kata penat dan lelah, mereka menumpahkan seluruh tenaga dan upaya bagi memberi sedikit sinar buat Masjid Mukim Kuala Nal.

Ada yang mengangkat permaidani rosak diselaputi lumpur, ada yang mencuci peralatan di dapur masjid, membersihkan kawasan pekarangan masjid dari lumpur tebal, tidak kurang bagi mereka yang mengecat, membersihkan kawasan pagar dan lain-lain tugas yang dibahagikan.

 Salah seorang sukarelawan, Siti Nur Syakirah berkata, program sebegini mampu memupuk rasa syukur dalam diri. Selain dari itu, ia juga memupuk sikap sabar, tabah dan reda, bukan sahaja kepada mangsa banjir tetapi juga kepada sukarelawan yang terlibat.

"Saya berasakan dengan musibah ini, kita sebagai hamba tidak mempunyai apa-apa kerana semua yang kita ada hanyalah pinjaman sementara daripada ALLAH.

"Tempoh masa satu hari yang diperuntukkan kepada kami sukarelawan bertugas digunakan dengan baik apabila hampir keseluruhan masjid dicuci dengan bersih.

Menjelang tengah hari, keadaan masjid yang sebelumnya kotor dan tidak tersusun, sudah mampu menampakkan ruang yang selesa," katanya ceria.

Sukarelawan berhenti rehat untuk menunaikan solat Zohor. Sesi pembersihan dan perincian untuk tampak lebih bersih dan kemas dilakukan usai solat Zohor berjemaah.

Pengisian bermanfaat

Hari kedua program diisi dengan majlis ilmu dan sesi silaturahim bersama penduduk kampung. Program IQRA’ yang disampaikan Fazrul Ismail menyentuh Surah Al-Dhuha memberi pengertian reda kepada sukarelawan dan penduduk kampung mengenai musibah yang melanda. Program ini disambut baik oleh penduduk kampung dengan kehadiran mereka walaupun dalam keadaan yang ditimpa ujian.

Sumbangan wang tunai diperlukan untuk terus membaik pulih masjid yang terpilih. Orang ramai boleh menyumbang ke akaun Maybank Islamic WARISAN UMMAH IKHLAS FOUNDATION di nombor akaun 564276-516031.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen #KitakanIslam, sila layari www.warisanummahikhlas.com.my atau laman sosial Warisan Ummah Ikhlas.

Orang ramai juga boleh terus menghubungi 03-5101 3789 atau 013 3124164. Semoga dengan usaha dalam kempen #KitakanIslam ini, kita semua mampu menjadikan masjid sebagai pusat penyatuan dan juga pusat sehenti bagi semua urusan.

0 Komentar untuk " #KITAKANISLAM di Kuala Nal "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ