Cintai Rasulullah SAW… - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Cintai Rasulullah SAW…

SAMBUTAN Maulidul Rasul masih lagi meriah diadakan di sana sini. Program yang dianjurkan sempena mengingati kelahiran Rasulullah SAW ada kebaikannya kepada masyarakat. Namun, adakah setakat itu sahaja hubungan dan tanggungjawab kita kepada Baginda SAW?

Keutamaan yang perlu diberi perhatian adalah Rasulullah SAW meninggalkan kepada kita sunnah Baginda SAW. Pelajari, fahami dan amalkan sunnah ini.

Dakwaan cinta kepada Rasulullah SAW bukanlah sekadar meniti di bibir sahaja, dilaungkan dalam perarakan atau pun dengan menghafal lirik qasidah. Tetapi lebih utama adalah menterjemahkan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian. Memahami dan mengamalkan sunnah, membasmi dan menjauhkan bidaah, memerangi khurafat dan syirik; inilah warisan perjuangan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dan diteruskan sahabat serta salafussoleh yang lain. Bagaimana untuk membuktikan cinta kepada Rasulullah SAW?

Taat dan ikuti  Rasulullah SAW

Inilah bukti paling nyata. Jika perkara ini tidak wujud, maka tiadalah mereka yang mendakwa cinta kepada Rasulullah SAW ini kecuali pendusta. Justeru, taat dan ikuti Rasulullah SAW menjadi syarat utama dalam membenarkan dakwaan ini.

ALLAH SWT berfirman: "Katakanlah (wahai Muhammad) sekiranya kamu mencintai ALLAH, maka ikutlah aku, nescaya kamu akan dikasihi ALLAH dan Dia akan mengampunkan dosa-dosa kamu".  (Surah Ali Imran: 31)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini menyatakan: "Ayat ini adalah kayu ukur kepada sesiapa yang mendakwa mencintai ALLAH tetapi tidak berada atas jalan Muhammad, sesungguhnya dia adalah dusta dalam dakwaannya, sehinggalah dia mengikuti syariat Muhammad dalam keseluruhan percakapan dan amalannya". (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim (Damsyiq: Dar al-Fiha’, Cet. 2, 1998 ), 1/477)

Menyeru Tegakkan Sunnah

Termasuk dalam tanda mencintai Rasulullah SAW ialah mencintai sunnah Baginda SAW dan mereka yang berusaha menyeru manusia ke arah mengamalkan sunnah. Golongan yang paling awal menjalankan tugas ini ialah salaf al-soleh (sahabat, tabiin, tabi’ al-tabii’n).

Mereka berjuang dan mencurahkan segala tenaga demi mempertahankan sunnah Rasulullah SAW; mengasihi ulama yang ikhlas dan menyambung perjuangan menegakkan sunnah ini atas manhaj yang ditunjukkan oleh salaf al-soleh.

Perasaan cinta kepada Rasulullah SAW dan sunnah Baginda SAW ini dijanjikan dengan ganjaran yang istimewa.

Anas bin Malik berkata: "Seorang lelaki bertanya kepada Nabi SAW: Bilakah akan berlaku kiamat, wahai Rasulullah SAW? Nabi SAW bertanya kembali: "Apakah persediaan yang telah kamu lakukan untuk itu?"  Lelaki itu menjawab: "Aku tidak mempunyai banyak persediaan selain daripada cintakan ALLAH dan Rasul-Nya".

Nabi SAW bersabda: "Engkau  bersama dengan yang engkau cintai". (Riwayat al-Bukhari, kitab al-Adab, bab ‘Alamat Hubbullah Azza wa jalla)

Memuliakan Rasulullah SAW

Memuliakan Rasulullah SAW bersesuaian dengan kedudukan kenabian dan kerasulan Baginda SAW. Tidak melampau sehingga menyamai sifat ketuhanan. Ia berlaku dalam tiga bentuk: hati, lisan dan anggota.

Memuliakan Rasulullah SAW dengan hati ialah dengan beri’tikad Baginda SAW adalah rasul yang dipilih ALLAH dan dimuliakan ALLAH berbanding dengan manusia lain.

Memuliakan Baginda SAW dengan lisan pula mengandungi pujian kepadanya sama ada pujian yang diberikan oleh Baginda SAW sendiri atau segala bentuk pujian yang diberikan ALLAH kepada Baginda SAW tanpa ada sebarang pengurangan atau penambahan yang melampau.

Termasuk dalam perkara ini adalah selawat dan salam ke atas Baginda SAW. Selawat yang terbaik ialah selawat yang diajar sendiri oleh Baginda SAW kepada sahabatnya. Bukan selawat yang direka cipta dan tidak diketahui daripada mana sumbernya.

Memuliakan Baginda SAW melalui anggota ialah dengan taat kepada perintahnya dan mengikuti sunnahnya. Maka apa yang disukai dan dianjurkan oleh Rasulullah SAW, kita turut menyukainya. Apa-apa yang dibenci dan tidak dianjurkan oleh Baginda SAW, maka kita turut membencinya dan meninggalkannya.

Antara adab dengan Rasulullah SAW disebut dalam al-Quran: "Wahai orang beriman, janganlah kamu mendahului ALLAH dan Rasul-Nya, dan bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". (Surah Al-Hujurat: 1)

Adab yang dianjurkan dalam ayat ini ialah tidak mendahului ALLAH dan Rasulullah SAW dalam perkataan mahupun perbuatan, sama ada semasa hayat Baginda SAW mahupun sesudah Baginda SAW wafat iaitu dengan tidak melanggari sunnahnya.

Mengasihi keluarga, isteri dan sahabat Rasulullah SAW

Antara tanda cinta kepada Rasulullah SAW ialah mencintai dan mengasihi kaum keluarga, isteri-isteri dan sahabat Baginda SAW. Ia diiringi dengan mengetahui kelebihan dan kemuliaan yang telah dikurniakan kepada mereka. Seterusnya membersihkan segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepada mereka.

Jika mulut mendakwa cintakan Rasulullah SAW, tetapi mulut yang sama juga memfitnah, mengutuk, menghina kaum keluarga, isteri dan sahabat Baginda SAW, percayalah dakwaan ini hanya dusta semata. Wahai Syiah! Pengakuan cinta kalian kepada Rasulullah SAW penuh dengan kepalsuan dan pendustaan.

Demikianlah antara beberapa bukti cinta kita kepada Rasulullah SAW. Kunci kepada semua itu ialah ilmu. Pelajari dan fahamilah sunnah yang ditinggalkan kepada kita. Jangan sampai kita lebih memahami lirik qasidah daripada memahami hadis Rasulullah SAW.

Jangan pula kita lebih menghayati dan menangis apabila menyanyikan qasidah, tetapi tidak berasa apa-apa apabila membaca hadis-hadis Rasulullah SAW?

Jika ratusan ribu ringgit sanggup dibelanjakan untuk menjemput penyanyi qasidah dari seberang, diharapkan jumlah yang banyak juga sanggup dibelanjakan untuk program pengajian bagi memahami sunnah Rasulullah SAW secara lebih mendalam.

Kita semua cinta dan sayangkan Rasulullah SAW. Namun, tidaklah cinta kita ini lebih tinggi jika hendak dibandingkan cinta sahabat kepada Baginda SAW. Mereka tunjukkan bagaimana perasaan cinta itu diterjemahkan. Jadi, siapa yang patut kita contohi?

0 Komentar untuk " Cintai Rasulullah SAW… "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ