Asas ekonomi kita semakin kukuh - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Asas ekonomi kita semakin kukuh



Harga minyak dunia menjunam lebih 50 peratus daripada paras tertinggi AS$115 pada Jun 2014. Nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat pula merosot daripada RM3.15 pada 28 Ogos tahun lalu kepada RM3.61 kelmarin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Perutusan Khas Mengenai Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara kelmarin menjelaskan bagaimana kerajaan akan menanganinya.

Di luar negara pula, insiden di Paris, Perancis, pada 7 Januari lalu, walaupun tidak berkaitan dengan  Malaysia menimbulkan persoalan sama ada bolehkah sesuatu yang sebegitu terjadi di negara ini. Berikut adalah sedutan temu bual Pengarah Eksekutif Khazanah Nasional Bhd, Datuk Charon Wardini Mokhzani dengan Perdana Menteri dalam program Soal Jawab di TV3 bagi mengupas secara lebih terperinci isu berkenaan.

PERDANA Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak menjawab soalan hos rancangan Soal Jawab, Datuk Charon Mokhzani (kanan) pada sesi temu bual dalam terbitan TV3 itu di Sri Pentas Bandar Utama kelmarin. Rancangan itu disiarkan selama sejam pada 9 malam. - Foto BERNAMA

S: Bolehkah Datuk Seri huraikan sedikit mengenai pencapaian dan prestasi ekonomi Malaysia?

J: Untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun 2014 pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah yang tertinggi dalam kalangan negara-negara Asia.  Kita telah melaksanakan dasar yang  membawa keyakinan kepada pelabur dari dalam dan luar negara. Pada tahun 2013 umpamanya kita mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) yang tertinggi dalam sejarah sebanyak RM38.2 bilion. Kita lihat bahawa nilai pasaran bursa, tertinggi dalam sejarah dicapai pada 2014.

Jadi kita tengok petunjuknya memberi kita kesimpulan bahawa sebenarnya kita berada di landasan yang betul. Fundamental kita semakin kukuh. Namun sesuatu yang kita tidak duga sama sekali ialah kejatuhan harga minyak secara begitu drastik. Inilah cabaran, inilah dugaan yang sedang kita hadapi.

S: Datuk Seri ramai yang tidak sangka harga minyak akan jatuh dengan begitu cepat serta begitu besar kejatuhannya, dan sekarang selepas harga minyak jatuh ramai yang tertanya-tanya kemampuan kerajaan memandangkan hasil daripada minyak dan gas lebih kurang 30 peratus daripada pendapatan kerajaan. Apakah yang boleh kerajaan buat untuk menangani kejatuhan harga minyak?

J: Sebab itu saya telah mengambil keputusan untuk membuat perutusan khas pagi semalam, di mana saya telah menggariskan keadaan sebenarnya yang perlu kita fahami bahawa ini bukan satu krisis. Malah ini bukan boleh disifatkan sebagai kegawatan seperti mana yang pernah kita alami dahulu.

Ini adalah satu keadaan yang mana kita perlu membuat penyesuaian kepada bajet negara, langkah fiskal dan mikro supaya kesan daripada kejatuhan harga minyak yang begitu mendadak dapat kita tangani, supaya kita akan dapat kadar pertumbuhan yang masih boleh dikatakan baik atau menggalakkan. Paling penting ialah usaha kita untuk membela rakyat. Meningkatkan kesejahteraan rakyat akan terus kita dapat dilaksanakan.

Saya telah terangkan bahawa selepas kita mengkaji segala-galanya kesan daripada kejatuhan harga minyak ini, kesimpulannya yang saya nak sebutkan selain daripada ini bukan krisis ekonomi ialah bahawa peruntukan untuk pembangunan negara kira-kira RM48.5 bilion itu akan kita pertahankan. Maknanya kita tidak akan kurangkan sama sekali.  Apa yang kita akan buat ialah penyesuaian dari segi perbelanjaan operasi atau pun perbelanjaan mengurus dan ini akan kita kurangkan sebanyak RM5.5 bilion supaya kita dapat menampung pengurangan hasil.

Kita akan menerima kesan dari segi pengurangan hasil tetapi kita jimat dari segi tak perlu lagi mengeluarkan subsidi untuk minyak dan diesel. Tetapi kalau kita campur kedua-duanya kita masih ada defisit lebih kurang RM8.3 bilion. Ini kita akan tampung melalui tindakan seperti yang saya sebutkan tadi, iaitu mengurangkan perbelanjaan operasi dan menambahkan hasil negara melalui usaha tertentu yang saya umumkan semalam.

S: Maknanya harga minyak sudah turun, pendapatan kerajaan sudah turun. Walaupun pendapatan sudah turun, ada usaha yang diambil kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan dan juga mendapat hasil. Dalam soal harga minyak ini tidak bolehkah kerajaan melakukan sesuatu?

J : Kalau boleh kita akan buat. Kalau negara lebih besar daripada kita seperti Russia yang pengeluaran minyaknya adalah antara sembilan ke 10 juta tong sehari tidak boleh buat apa-apa, malah negara OPEC pun mengambil keputusan untuk tidak buat apa-apa, tentu sekali ia di luar kemampuan Malaysia yang merupakan pengeluar minyak yang kecil.

S: Maknanya harga minyak ini adalah harga pasaran dunia?

J: Ini harga pasaran dunia yang di luar kawalan kita.

S: Ada juga yang menyatakan mereka risau mengenai ekonomi Malaysia kerana apabila harga minyak turun, maka bukan sahaja pendapatan kerajaan, malah pendapatan Malaysia akan berkurangan. Tetapi mengikut taklimat yang Datuk Seri berikan kelmarin, ia adalah tidak benar.

J: Pendapatan kita akan berkurangan, tetapi kita boleh tampung melalui pengurangan perbelanjaan yang saya sebutkan tadi - tambahan hasil kerajaan dan keputusan yang kita ambil untuk membuat satu reality check dari segi sasaran defisit fiskal tiga peratus yang kita unjurkan untuk tahun 2015 ini, berkurangan daripada 3.5 peratus yang sudah kita capai pada tahun 2014. Kita terpaksa menerima hakikat bahawa tidak mungkin kita dapat mencapai tiga peratus, dan sebab itu saya umumkan sasaran baharu yakni 3.2 peratus.

Namun, apa yang mustahak ialah trend itu adalah ke arah pengurangan daripada 3.5 peratus kepada 3.2 peratus. Meskipun tidak dapat mencapai unjuran asal kita, kalau kita lihat pada jangka panjang sasaran kita ialah untuk mencapai balance budget (bajet berimbang) menjelang tahun 2020.

S: Sasaran bajet berimbang pada 2020 itu masih menjadi sasaran?

J : Masih menjadi sasaran, dan kita akan cuba sedaya-upaya untuk mencapai sasaran tersebut.

S: Dari segi imbangan perdagangan, Malaysia ialah sebuah negara yang mengeksport dan juga mengimport minyak. Jadi secara bersihnya Malaysia bukan negara yang mengimport minyak?

J: Ini kita mesti lihat secara keseluruhannya. Kalau kita ambil kira minyak mentah yang dikeluarkan oleh Malaysia dan minyak mentah yang kita import, kita masih mempunyai lebihan (eksport) walaupun kecil. Namun, kalau kita ambil kira produk petroleum bertapis dan kita campur kedua-duanya, kita merupakan negara pengimport bersih.

Jadi sangkaan atau persepsi rakyat bahawa Malaysia adalah negara pengeluar minyak yang ada lebihan adalah tidak tepat. Keadaan sudah berubah, namun kita masih pengeksport bersih kalau kita ambil kira harga LNG.

S: Jadi harga gas tidak akan turun sebanyak harga minyak mentah?

J: Tidak, tetapi trendnya adalah menjadi lebih rendah lagi.

S: Dalam soal persepsi ini, memang persepsi orang ramai dan boleh dikatakan pelabur asing juga bahawa Malaysia bergantung kepada harga minyak. Tetapi nampaknya ia tidak sebegitu.

J: Tidak, sebab kita telah mengambil langkah mempelbagaikan ekonomi kita sebagai sesuatu yang dilakukan secara terancang. Pada tahun 2009, bila kita perkenalkan dasar transformasi negara - ETP (Program Transformasi Ekonomi ) dan GTP (Program Transformasi Kerajaan), kita telah tetapkan misalnya Bidang Keberhasilan Utama Negara yang mana melalui tumpuan dalam bidang itu kita telah dapat melihat bahawa ekonomi negara kita hari ini adalah lebih pelbagai.

Kepelbagaian ini adalah satu kekuatan kepada kita. Kekuatan dalam erti kata - kalau sesuatu yang di luar dugaan berlaku, misalnya kepada sektor minyak, kita dapat tampung dengan pertumbuhan dalam sektor lain.

Dari segi hasil umpamanya, kalau kita lihat misalnya pada tahun 2009 sumbangan sumber minyak kepada hasil negara adalah dalam lingkungan 40 peratus. Tetapi untuk tahun 2014 ia telah menurun kepada 26 peratus. Jadi maknanya bukan sahaja dari segi aktiviti ekonomi, tetapi dari segi kebergantungan kepada hasil negara juga telah dapat kita pelbagaikan, dan sekarang ini kita terima pendapatan daripada banyak sumber lain.

S: Maknanya ekonomi kita tidak lagi bergantung kepada minyak, dan sumber pendapatan kerajaan juga tidak bergantung semuanya kepada harga minyak dunia.

J: Tidak, tetapi sektor minyak ini masih merupakan satu sektor yang strategik kepada negara. Itu tidak dapat saya nafikan, tetapi tahap kebergantungan telah dapat kita kurangkan.

S: Dari segi nilai mata wang, kita mendengar tadi bahawa nilai ringgit Malaysia berbanding dolar Amerika Syarikat telah turun, tetapi negara lain juga telah turun. Russia teruk sekali kejatuhan nilai mata wangnya. Apa kaitannya nilai mata wang Malaysia dengan harga minyak.

J: Ini adalah reaksi pasaran kepada kejatuhan harga minyak dan sentimen. Bila mereka berasakan bahawa hasil negara akan berkurangan dan mungkin kadar pertumbuhan kita akan menurun sedikit serta akaun perdagangan kita juga akan menerima tekanan, maka akan berlaku juga penyusutan pada nilai mata wang kita.

Kita mesti sedar bahawa penyusutan ini tidak bererti bahawa ia menolak hakikat bahawa kita mempunyai asas atau fundamental (ekonomi) yang kukuh. Yang penting, jangan bertindak balas kepada keadaan jangka pendek tetapi terus memberi tumpuan kepada fundamental kita yang kukuh itu. Lambat laun, kalau fundamental kita ini dapat dimantapkan lagi, misalnya kita dapat kurangkan defisit fiskal dan kita dapat terus menarik pelaburan dari luar, kita akan melihat nilai mata wang kita akan melalui proses pelarasan yang berdasarkan kepada fundamental yang saya percaya akan menjadi lebih positif.

S: Dari segi fundemental, ekonomi Malaysia masih kukuh biarpun harga minyak turun dan nilai mata wang turun begitu banyak. Pada pendapat Datuk Seri apakah nilai sepatutnya (bagi ringgit)?

J: Itu tidak boleh saya katakan, sebab ini ditentukan oleh pasaran. Kita tidak boleh melihat dari segi spekulatif. Ini bukan tugas kerajaan. Tugas kerajaan ialah untuk memberi tumpuan kepada asas atau pun fundemental (ekonomi) dan fundemental inilah yang insya-Allah kita akan terus perkukuhkan.

S: Jika nilai mata wang ringgit turun apakah ini bermakna kos sara hidup akan meningkat?

J: Kita telah mengkaji perkara ini dengan mendalam dan kita membuat unjuran untuk tahun ini inflasi akan menurun dalam lingkungan 2.5 hingga 3.5 peratus termasuk juga ketika kita melaksanakan GST. Salah satu sebabnya ialah pengurangan harga minyak, yakni Ron97, RON95 dan diesel. Apabila kita ambil kira pengurangan ini bererti bahawa pengguna di Malaysia akan dapat pendapatan boleh belanja yang lebih. Ini akan membantu mereka dari segi kemampuan untuk membeli dengan nilai yang lebih besar.

Jadinya bila kita sebut GST kita laksanakan pada 1 April ini, maka inilah masa yang terbaik sekali sebenarnya, iaitu apabila kadar inflasi agak rendah dan apabila negara memerlukan hasil tambahan. Maknanya bila kita lihat dalam keadaan harga minyak menjunam kita perlu tampung daripada sumber-sumber yang lain. Satu daripada sumber itu ialah GST kerana GST akan beri kita pendapatan yang lebih. Jadi pada hemat saya ini membuktikan bahawa keputusan yang dibuat oleh kerajaan adalah kena pada tempat dan kena pada masanya.

S: Dari segi GST, ada yang menyatakan bahawa ia  patut ditunda ke tahun lain?

J: Sebaliknya saya dan kerajaan berpendapat inilah masa terbaik untuk memperkenalkan GST. Tentu sekali seperti mana kita selalu sebut, lebih 160 buah negara telah pun melaksanakan GST. Yang keduanya, dalam sistem cukai kita sekarang, pihak yang membayar cukai cuma 1 (seorang) daripada 12 yang membayar cukai pendapatan. Ini bererti bahawa asas cukai kita terlalu sempit. Bila asas cukai kita tidak menyeluruh sifatnya bererti hasil negara akan terancam dan terjejas, dan bila hasil negara terjejas kita akan mengalami keadaan yang mana mungkin defisit negara akan bertambah.

Mungkin kita terpaksa menambah hutang untuk perbelanjaan dan sebagainya, tetapi kalau hasil kita terus bertambah ekonomi kita akan lebih kukuh. Bila ekonomi kita lebih kukuh dan berlaku perkara yang di luar daripada dugaan, kita akan lebih bersedia untuk menanganinya.

S: Dari segi penurunan harga adakah kerajaan akan membuat sesuatu supaya harga akan turun sebab kadang-kadang bila harga minyak naik 10 sen barang akan naik 10 sen tetapi bila harga minyak turun 10 sen harga barang tetap tidak turun?

J: Betul, soal ini soal pihak yang terbabit dalam supply chain (rantaian bekalan) sebenarnya. Mereka ini tidak mengambil keputusan untuk mengurangkan harga sekiranya kos mereka berkurangan seperti harga minyak yang menurun. Tetapi kalau harga minyak naik, cepat mereka menaikkan harga. Ini menjadi satu hambatan kepada ekonomi negara terutama dari segi kesannya kepada pengguna.

Sebab itulah apa yang kita perlukan ialah penguatkuasaan yang lebih berkesan dan juga pengguna yang lebih berhemah - yang tahu membuat penilaian, yang tidak akan membeli misalnya daripada kedai yang tidak mengurangkan harga ataupun mengenakan harga yang terlalu tinggi kepada pengguna. Sebaliknya mereka pilih tempat di mana mereka akan dapat orang kata harga yang adil.

S: Dalam soal eksport, satu perkara yang disebut Datuk Seri dalam perutusan khas kelmarin ialah Malaysia patut mengeksport lebih dan kali ini Malaysia menjadi Pengerusi AEC atau ASEAN Economic Community dan juga ada perjanjian perdagangan lain yang Malaysia sedang dihadapi misalannya TPP (Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik), apakah kaitannya AEC dengan eksport?    

J: ASEAN Economic Community ini adalah satu model regional intergration (integrasi serantau) di mana kita akan melihat pada satu pasaran di mana tarif kita kurangkan kebanyakannya kepada sifar ataupun hampir sifar, dan kita boleh melihat kepada satu pasaran tunggal dengan asas pengeluaran tunggal. Ini bererti bahawa kita mesti sekarang ini melihat bukan sahaja pasaran domestik tetapi juga ASEAN sebagai pasaran kita.

Sebab itulah dalam perutusan saya semalam saya katakan bahawa kita mesti melihat dan berani mengambil langkah secara positif untuk mengeksport barangan kita ke negara ASEAN sebab inilah peluang bagi kita untuk mendapat pasaran yang lebih besar hampir 600 juta manusia dan ini adalah satu peluang keemasan bagi kita. Saya harap semua enterpris besar termasuk PKS juga lebih agresif lagi untuk menjadi pengeksport dalam kalangan ASEAN sebagai sebuah komuniti ekonomi.

Kalau sebut tentang TPP, ia adalah satu bentuk integrasi serantau yang melihat kepada akses pasaran. Tetapi TPP ini ada lagi peruntukan-peruntukan tertentu yang mana kita belum lagi boleh menerima sebab itulah pendirian kita. Kita nak TPP, tapi TPP yang berdasarkan kepada terma kita.

S: Mengenai KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar), Datuk Seri ada menyebut bahawa kalau dahulu dianggarkan antara lima dan enam peratus tetapi sekarang ditukar kepada antara 4.5 dan 5.5 peratus. Apakah sebabnya?

J: Antara sebabnya ialah kesan daripada kejatuhan harga minyak dan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu. Bila pertumbuhan ekonomi global telah dikaji semula oleh Bank Dunia dan IMF (Tabung Mata Wang Antarabangsa) yang menetapkan kadar yang lebih rendah, kita lihat ekonomi dunia terbesar seperti China pun dijangka pertumbuhannya mencapai antara 7.4 peratus.

Walaupun tinggi kepada kebanyakan negara, kepada China dianggap sebagai slow down (kelembapan) walaupun mencapai 7.4 peratus. Jadi dengan senario seperti ini, maka kita terpaksa mengkaji semula (kadar pertumbuhan kita). Kalau China yang menjadi rakan dagangan kita yang terbesar mengalami economic slow down  (kelembapan ekonomi), kemampuan mereka untuk membeli eksport kita akan berkurangan.

S: Slow down (kelembapan) itu di China pertumbuhannya sekarang 7.4 peratus dan bukan lapan peratus, tetapi kepada rakyat Malaysia dari segi pekerja bergaji, apakah slow down ini bermakna mereka akan mendapat pendapatan lebih rendah kerana ekonomi tidak berkembang?

J : Tidak, saya tidak fikir akan berlaku retrenchment (pemberhentian), pengurangan pekerja atau pun pendapatan mereka akan berkurangan. Tetapi ini mungkin bererti bahawa kegiatan ekonomi perlahan sedikit. Kalau dari segi perniagaan ataupun dari segi jumlah pekerjaan baharu yang ditawarkan mungkin ada sedikit pengurangan, tetapi bukan bererti kita mengalami krisis ataupun kegawatan. Bilangan pekerjaan tetap bertambah cuma kadar pertumbuhannya itu nanti mungkin sedikit kesan daripada pengurangan pertumbuhan ekonomi global.




PERDANA Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak menjawab soalan hos rancangan Soal Jawab, Datuk Charon Mokhzani (kanan) pada sesi temu bual dalam terbitan TV3 itu di Sri Pentas Bandar Utama kelmarin. - Foto Khairull Azry Bidin

S: Banyak cerita mengenai 1MDB keluar dalam media massa. Bolehkan Datuk Seri memberi sedikit ulasan mengenai 1MDB?

J: 1MDB adalah sebuah syarikat pelaburan kerajaan untuk menambahkan lagi pelaburan strategik untuk Malaysia termasuk juga dengan rakan-rakan dari luar negara. Ramai yang tak sedar bahawa kerajaan hanya menyumbang RM1 juta sahaja dari segi saham. Modalnya cuma RM1 juta, tetapi hari ini 1MDB mempunyai aset melebihi RM50 bilion. Di samping itu, memang mereka (1MDB) mempunyai hutang yang agak besar, tetapi hutang itu kalau kita kira aset dengan liabiliti - asetnya adalah melebihi liabiliti. Itu perlu kita sedar.

Yang kedua ialah, kita memang ada perancangan untuk memantapkan lagi 1MDB misalnya perancangan untuk menerbitkan IPO (tawaran awam permulaan) dan sebagainya. Bila IPO diterbitkan nanti dalam keadaan pasaran yang mudah-mudahan positif, sudah tentu kita akan dapat menarik pelaburan yang besar dari dalam dan luar negara untuk melabur dalam syarikat tenaga yang dimiliki 1MDB.

Di samping itu, 1MDB ada tanah yang besar yakni Bandar Malaysia seluas 550 ekar di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Nilainya besar, begitu juga TRX yang kita nak buat pusat kewangan yang baru. Itu pun nilainya besar. Kalau kita dapat merealisasikan aset ini sudah tentu ia akan memberi nilai pulangan yang besar.

Saya masih yakin dengan lembaga pengarah. Dengan kepimpinan yang ada, lebih lagi yang baru, dalam jangka panjang 1MDB akan memberi banyak manfaat kepada negara kita.

S: Boleh saya bertanya sedikit keadaan banjir di Pantai Timur dan apa yang boleh dibuat oleh kerajaan?

J: Keadaan banjir yang menimpa negeri-negeri pantai timur kali ini memang begitu serius dan amat membebankan rakyat. Saya berasa sedih bila saya turun melawat kawasan-kawasan yang dilanda musibah banjir pada kali ini lebih dahsyat daripada yang pernah saya lihat sebelum ini.  Justeru, kerajaan akan mengambil langkah bagi membantu mangsa banjir sama ada dari segi wang tunai yang kita sudah umumkan kadarnya. Kalau rumah mereka sudah musnah sama sekali, kita akan bina rumah baharu untuk mereka.

Kita sedang merumuskan bentuk rumah baru ini dan insya-Allah pada 29 Januari ini, saya dijadual melancarkan program pembinaan rumah di Kuala Krai, Kelantan sebagai contoh rumah pertama dalam bentuk baharu yang kita akan laksanakan nanti.

Di samping itu macam-macam bantuan disalurkan oleh kerajaan, sektor swasta, GLC, orang perseorangan dan sebagainya. Kita lihat memang ramai yang mahu membantu mangsa banjir ini, tetapi satu yang tidak dapat dinafikan bahawa kos dari segi kerosakan infrastruktur termasuk sekolah, hospital, masjid, balai raya, jalan, jambatan dan sebagainya, kalau kita hitungkan semuanya, setakat ini taksiran kita ialah sebanyak RM2.9 bilion. Itu adalah kerugian yang besar.

S: Boleh kita berbincang sedikit mengenai apa yang terjadi di Paris, bolehkah perkara sebegitu terjadi di tanah air? Apa yang boleh kita pelajari daripada insiden itu?

J: Tidak mustahil, sebab kita telah dapat kesan pada masa ini mengikut pada apa yang kita ketahui, terdapat 39 orang rakyat Malaysia yang telah memasuki IS, ISIS ataupun ISIL di Syria dan Iraq. Di Malaysia pun kita sudah tangkap beberapa orang kerana disyaki terbabit dalam kegiatan militan. Sudah pun disahkan dua orang rakyat Malaysia yang menjadi pengebom mati dan mereka mengakibatkan ramai yang lain terkorban.

Dalam keadaan sedemikian. kerajaan pada akhir tahun lalu sudah mengambil keputusan untuk membentangkan satu kertas putih di Parlimen memaklumkan kepada Parlimen dan rakyat bahawa ini adalah satu ancaman yang serius. Sebab itulah bila kita sudah katakan kita sudah tentukan bahawa ini satu ancaman yang serius, maka kita kena lihat apa yang boleh dan patut kita lakukan. Antaranya kita mesti ada undang-undang baharu dan undang-undang sedia ada diperkukuhkan.

Undang-undang baru antikeganasan akan kita bentangkan Mac akan datang di Parlimen untuk memberi kita kuasa yang lebih untuk menangani ancaman seperti ini. Yang pokok pada saya ialah untuk buat sesuatu sebelum sesuatu kejadian itu berlaku. Misalnya di Sydney dan Paris, ia sudah berlaku, baru mereka boleh bertindak tetapi apa yang kita hendak ialah kuasa untuk melakukan sesuatu, menghalang sesuatu bentuk tindakan keganasan berlaku. Inilah yang kita perlu lakukan.

Perkara lain yang patut kita lakukan ialah untuk memberi kefahaman yang lebih mendalam mengenai Islam yang sebenarnya, konsep Islam umpamanya, pengertian jihad yang sebenarnya untuk difahami, dihayati oleh rakyat Malaysia dan aspek lain yang boleh memberi panduan kepada kehidupan mereka supaya mereka tidak terpengaruh dengan propaganda IS ini.

Kita juga mesti ambil tindakan supaya ada rasa saling menghormati antara kaum dan antara agama dalam negara kita. Antaranya kita mesti memahami sensitiviti antara agama supaya kita tidak buat sesuatu yang boleh menghina atau boleh menimbulkan kemarahan penganut agama.

Sebab itulah dalam konsep kebebasan, saya mengajukan kebebasan yang tidak ada had atau mutlak tidak sesuai. Kita mesti ada kebebasan tetapi kebebasan yang ada batasnya supaya kita tidak membuat sesuatu sama ada dari segi perbuatan atau dari segi percakapan yang menghina agama lain. Bukan sahaja agama Islam, tetapi agama lain juga. Bila kita faham perkara ini, saya percaya kita boleh mengelak daripada mereka yang akan melakukan sesuatu tindakan yang tidak sepatutnya mereka lakukan.

S: Di negara Barat, mereka kata orang ramai patut ada kebebasan untuk bersuara tanpa batas seperti di Perancis. Mereka kata kebebasan untuk menghina agama lain dan menghina orang lain. Tetapi itu yang dipercayai di Barat, tetapi di Malaysia, kebebasan apakah yang patut kita ada? Sememangnya kita tidak patut menghina agama lain tetapi dalam soal lain daripada menghina agama, adakah kebebasan itu perlu diberi kepada rakyat Malaysia?

J: Ini timbul satu persoalan yang besar apakah semua yang difahami, dianuti di negara Barat itu baik sekali ataupun wajar dijadikan contoh ikutan bagi kita ataupun sebaliknya. Kita harus memikirkan apa bentuk cara pemerintahan dan apa bentuk undang-undang serta nilai yang paling sesuai untuk kita. Sebab matlamatnya pada saya ialah untuk menjaga keamanan dan keharmonian serta kestabilan negara kita. Kalau berlaku sesuatu dalam negara kita, maka ia adalah serius.

Bagi sesetengah negara itu mereka tidak ada perbezaan kaum. Sesuatu yang berlaku tidak jadi satu bentuk konflik perkauman, tidak berbentuk racial in nature tetapi Malaysia, kalau sesuatu berlaku dia cepat jadi berbaur racial dan ini boleh mencetuskan konflik antara kaum. Sebab itu kerajaan mengambil keputusan untuk mengekalkan Akta Hasutan umpamanya, sebab Akta Hasutan ini bukan untuk orang Islam, orang Melayu sahaja, (tetapi) untuk semua dan saya yakin kemungkinan besar Akta Hasutan ini melindungi mereka yang bukan beragama Islam juga sebab kalau berlaku konflik antara kaum biasanya kumpulan minoriti yang jadi mangsa.

Jadi kita mesti pastikan tak berlaku apa-apa perbalahan secara serius antara kaum dalam negara kita. Ini komitmen kerajaan dan saya nak tegaskan sebagai Perdana Menteri, saya bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia. Itu yang sentiasa menjadi perhatian saya, bukan pada mana-mana pihak di luar negara. Untuk rakyat Malaysia saya akan melakukan yang terbaik untuk melindungi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

S: Kalau mengikut akhbar di Barat yang menceritakan tentang apa yang terjadi di Perancis dan Sydney, dan soalannya berbalik semula kepada hak bersuara dan seperti yang Datuk Seri terangkan tadi. Di sini hak bersuara mesti ada batasannya kalau tidak boleh jadi berbahaya tetapi bolehkah rakyat Malaysia berbahas mengenai perkara lain atau adakah rakyat Malaysia boleh bersuara mengenai perkara lain yang tidak kena mengena dengan agama?

J: Ya boleh. Banyak perkara. Mereka bebas mengkritik kerajaan umpamanya. Kalau kita tengok dalam media sosial banyak yang membuat komen yang negatif terhadap kerajaan. Bererti bahawa kebebasan di Malaysia ini masih berlaku secara terbuka. Demokrasi masih berjalan secara sihat. Nak membuat ucapan mana tempat pun asalkan dapat kebenaran dan sebagainya, tidak jadi masalah. Jadi siapa kata tidak ada demokrasi di Malaysia? Jadi Malaysia ini adalah satu negara yang mengamalkan demokrasi, tetapi jangan sampai kebebasan mutlak itu menjadikan kita melakukan sesuatu yang akhirnya menimbulkan konflik dalam negara kita.

S: Datuk Seri menyebut tadi mengenai IS, lebih kurang 40 orang Malaysia telah masuk IS. Adakah ini satu minoriti orang Malaysia yang sanggup pergi ke Syria masuk IS atau adakah ini satu masalah yang lebih besar dari itu?

J: Ia masih kumpulan kecil dalam negara kita, tetapi walaupun kecil kita jangan biarkan ia menjadi macam api dalam sekam. Dan dalam keadaan yang kita lihat walaupun kumpulan kecil tetapi boleh melakukan tindakan dalam bentuk keganasan yang boleh menyebabkan ramai orang terbunuh dan harta benda musnah seperti kita lihat di Paris baru-baru ini.

Walaupun yang bertindak itu cuma tiga orang, kesan daripadanya adalah besar, jadi kita pernah dengar istilah lone wolf misalnya, itu pun kalau seorang melakukan sesuatu dalam bentuk keganasan kesannya buruk sekali kepada negara kita, pada rasa keyakinan, mungkin rakyat akan merasai kebimbangan, sentimen terhadap Malaysia berubah dari luar umpamanya. Ini kesan yang cukup buruk pada negara kita, jadi macam mana pun kita selalu sebut Malaysia ini adalah negara aman, sebuah negara yang harmoni. Inilah imej yang kita mesti pelihara, kita mesti pertahankan.

S: Anggapan dunia luar terhadap Malaysia dari segi ekonomi pun memang ada kesannya. Datuk Seri, kita telah berbincang mengenai masalah ekonomi, telah berbincang mengenai masalah ISIS dan kebebasan bersuara. Adakah ada perkara lain yang Datuk Seri ingin mengutarakan?

J : Saya lihat bahawa kita jangan hilang arah dan fokus. Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti bersama-sama sebab bila kita sebut kita bercita-cita hendak Malaysia sebagai sebuah negara advance economy, negara maju menjelang tahun 2020, ini merupakan satu shared vision (perkongsian visi) bukan sahaja visi kerajaan tetapi mesti dikongsi bersama oleh segenap lapisan malah semua individu. Semua rakyat Malaysia perlu berkongsi bersama untuk merealisasikan visi ataupun impian tersebut.

Dan inilah apa yang saya kata, apa yang berlaku dalam jangka pendek, short term adjustment ini tidak bererti kita lari daripada objektif jangka panjang. Kita telah tentukan landasan dan landasannya saya yakin adalah landasan yang benar cuma dalam perjalanan ini kadang-kadang kita kena buat perubahan sedikit dalam perjalanan kita.

Seperti kita pandu kereta, kalau ada sesuatu yang terjatuh depan kereta, sebagai pemandu kita buat adjustment tetapi kita mesti sedar bahawa destinasi kita itu kita jangan hilang dari segi panduan. Macam mana sekalipun destinasi, matlamat, objektif itu mesti kita capai.

S: Untuk mengulas kembali, pada mulanya Datuk Seri kata walaupun harga minyak jatuh, nilai ringgit turun tetapi ini bukan satu krisis, ini bukan gawat, tetapi pada saya, saya harap Datuk Seri bersetuju bahawa rakyat Malaysia mestilah berjaga-jaga pasal keadaan ekonomi global bukan sesuatu yang boleh di jangka atau senang diketahui. Harga minyak tidak tahu ke mana akan pergi. Apakah nasihat atau pesanan kepada rakyat Malaysia dalam tahun 2015 ini dan dalam keadaan ekonomi global yang tidak boleh dijangkakan.

J: Sebagai rakyat Malaysia kita kena bertindak secara berhemah. Kalau kita ini sebagai pengguna umpamanya buatlah keputusan sebagai pengguna yang bijak. Umpamanya, kalau kita boleh jimat belanja, jimatlah perbelanjaan kita dan kalau kita boleh beli daripada sumber yang beri nilai yang lebih kepada kita, buatlah keputusan yang sedemikian supaya kita akan dapat menentukan apa juga pendapatan yang ada pada hari ini ia akan dapat kita gunakan dengan manfaat yang besar dan semaksimum yang mungkin.

Dan saya juga berharap rakyat Malaysia berpegang pada pendirian moderation, wasatiyyah, kesederhanaan; balance, berimbang dan kecemerlangan. Ketiga-tiga unsur ini maknanya bila kita sebut moderation, sederhana bukan bererti sederhana dari segi pencapaian. Tidak. Sederhana bererti bahawa kita ini seimbang, balance dan juga di samping itu kita tetap seorang insan yang inginkan kecemerlangan dunia dan akhirat.

0 Komentar untuk " Asas ekonomi kita semakin kukuh "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ