Hayati makna perkahwinan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hayati makna perkahwinan

PERKAHWINAN atau pernikahan dalam Islam adalah sesuatu yang dituntut. Nikah menurut bahasa ialah berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah ijab dan qabul (akad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam.

Perkataan zawaj digunakan dalam al-Quran bermaksud pasangan; dalam penggunaannya perkataan ini bermaksud perkahwinan. ALLAH SWT menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina.

ALLAH berfirman yang bermaksud: "Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami) akan kebesaran ALLAH." (Surah Adz-Dzariyat: 49)

Keinginan untuk berkahwin adalah fitrah manusia, yang bererti sifat pembawaan manusia sebagai makhluk ALLAH. Setiap manusia yang sudah dewasa dan sihat fizikal dan rohaninya, pasti memerlukan teman hidup yang berlainan jenis. Teman hidup yang dapat memenuhi keperluan biologi yang boleh dicintai dan mencintai, yang dapat mengasihi dan dikasihi, yang boleh diajak bekerja sama untuk mewujudkan ketenteraman, ketenangan dan kesejahteraan hidup berumah tangga.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Wahai pemuda sekalian! Sesiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin) dan sesiapa tidak sanggup, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat membendung syahwat." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Ajaran dan pendidikan Islam begitu teliti dalam menyediakan persekitaran yang sihat dalam membina keluarga dan membesarkan anak-anak. Kanak-kanak yang dibesarkan tanpa perhubungan ibu bapa akan memudahkan si anak terjerumus dalam kegiatan negatif dan perkara yang tidak bermoral. Oleh itu, perkahwinan dan institusi kekeluargaan yang disyorkan Islam, dilihat medium yang sesuai sebagai petunjuk dan pedoman mewujudkan keluarga sakinah, mawadah dan warahmah.

Sejajar dengan ini, buat julung kalinya "Marriage QA" bakal menganjurkan Konvensyen Perkahwinan terbesar pada 14 Februari 2015. Dengan sasaran kira-kira 5,000 peserta yang terdiri daripada pelbagai golongan muda, remaja, wanita, lelaki, serta kanak-kanak, konvensyen ini bukan sahaja terbuka kepada penganut yang beragama Islam, bahkan terbuka kepada golongan bukan Islam.

Konvensyen yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ini adalah program kali pertama yang diadakan di Malaysia bakal mengupas isu dan hal berkaitan hubungan perkahwinan dan kekeluargaan secara menyeluruh.

Pengerusi Konvensyen Perkahwinan 2015, Sajid Hussain berkata, idea untuk mengadakan konvensyen perkahwinan ini diadakan juga sejajar dengan peningkatan beberapa kelemahan dalam institusi kekeluargaan dan perkahwinan antaranya adalah; peningkatan kadar perceraian dalam kalangan masyarakat (satu perceraian dalam setiap jangka masa 10 minit), peningkatan kelahiran anak luar nikah, dan banyak lagi yang sememangnya mengkhuatirkan seluruh rakyat Malaysia.

"Konvensyen Perkahwinan 2015 juga bakal mengumpulkan ribuan golongan Muslim dan Muslimat untuk membincangkan isu-isu dan hal-hal perkahwinan dalam bentuk pembelajaran, sokongan , kaunseling, latihan, dan juga hiburan.

"Ini semua akan dijalankan berlandaskan syariat dan pegangan al-Quran dan suruhan ALLAH," jelasnya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Ulasnya, konvensyen selama satu hari itu turut disuntik beberapa program menarik antaranya Sudut Perkahwinan (untuk peserta yang sudah bersedia untuk bernikah dan ingin mencari pasangan untuk bernikah), pertandingan, kaunseling, bazar, dan juga program kanak-kanak, Happy Kidz Zone  bagi kanak-kanak berusia 5 ke 12 tahun.

Barisan penceramah Konvensyen Perkahwinan ini terdiri daripada Sheikh Yahya Ibrahim (Australia), Sheikh Tariq Appleby (South Africa), Sheikh Omar Suleiman (Amerika) dan ramai lagi yang berasal dari seluruh dunia.

Turut serta dalam barisan penceramah Konvensyen Perkahwinan ini adalah beberapa penceramah tempatan seperti Prof Muhaya Mohamad dan Jamilah Samian yang turut sama berkongsi ilmu di Konvensyen Perkahwinan 2015 kali ini.

Lebih mengujakan, pendakwah antarabangsa terkenal, Yasmin Mogahed juga akan diterbangkan khas untuk turut menyertai barisan penceramah di Konvensyen Perkahwinan ini nanti.

Beliau dikenali kerana kebolehannya untuk mendapat perhatian seluruh penonton dengan fikiran dan renungannya yang mendalam serta keupayaan beliau untuk mengaitkan semua dalam hidup ini dengan Maha Pencipta. Beliau juga adalah penulis buku terkenal Reclaim Your Heart.

Sehubungan dengan itu, Konvensyen Perkahwinan 2015 ingin menjemput semua golongan masyarakat yang berminat untuk menyertai dan mendapatkan tiket pada harga RM149 bermula 1 Januari 2015.  Bagi mendapatkan sebarang maklumat lanjut boleh layari www.marriageconference.org atau hubungi talian 017 613 6300.

0 Komentar untuk " Hayati makna perkahwinan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ