DEB 'rasis' - satu fitnah! - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

DEB 'rasis' - satu fitnah!

MINGGU lalu, beberapa media nasional membuat liputan khas mengenangi jasa dan khidmat bakti cemerlang Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia kedua, sempena ulang tahun kematian Tun Razak yang kembali ke rahmatullah pada 14 Januari 1976.

Salah satu liputan yang menarik perhatian saya ialah temu bual sebuah media bersama Tan Sri Michael Chen Wing Sum.

Temu bual Michael Chen wajar diberi perhatian terutama dalam konteks hubungan kaum Cina-Melayu kerana beliau antara pemimpin politik keturunan Cina paling rapat dengan Tun Razak, setelah berkhidmat sebagai Setiausaha Parlimen Tun Razak dan kemudiannya dilantik ke Kabinet sebagai timbalan menteri dan menteri.

Juga relevan kerana beliau dilantik selepas berlakunya peristiwa 13 Mei, 1969, iaitu konflik berdarah antara kaum paling serius dalam sejarah negara selepas merdeka.
DEB bukan rasis

Pada saya, sewajarnya media membuat liputan luar biasa mengenangi jasa dan khidmat bakti cemerlang Tun Razak, khasnya ketika suasana perhubungan antara kaum di Malaysia kini kelihatan semakin tegang dihangatkan sentimen politik perkauman yang tercetus kebelakangan ini.

Sesungguhnya sumbangan Tun Razak kepada pembangunan bangsa dan negara sangat banyak.

Antara paling hebat lagi berciri transformasi luar biasa ialah kebijaksanaan kepimpinan Tun Razak mengemudikan situasi mengembalikan perpaduan dan kestabilan negara selepas berlakunya konflik berdarah antara kaum pada 13 Mei 1969 yang hampir menghancurkan negara.

Kebijaksanaan Tun Razak terserlah apabila dapat melakukan semua ini di samping memenuhi aspirasi politik semua pihak tanpa mengkompromikan demokrasi, juga tanpa menjejaskan kepesatan pertumbuhan ekonomi negara.

 Salah satu perubahan politik luar biasa dan berimpak paling besar diperkenalkan Tun Razak ialah pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1970.

Malangnya hari ini banyak pihak lebih cenderung menghukum DEB sebagai pakej dasar melampau pro-Melayu dan Bumiputera, seolah-olah Tun Razak
memperkenalkannya dengan niat sengaja mendiskriminasikan atau menindas kaum Cina, India dan semua kaum lain bukan Bumiputera.

Dalam kata lain, DEB yang pada asasnya tidak rasis dihukum sebagai satu dasar rasis, sehingga landasan falsafah mulia yang menjadi asas kepada DEB tidak lagi dianggap relevan kepada pembangunan masa depan negara.

Apa sebenarnya berlaku yang menyebabkan DEB yang bermatlamat suci lagi mulia bertujuan menegakkan keadilan dan membela masa depan warga majoriti miskin dan daif Malaysia semudah itu difitnah dan diperkecil?

Siapa yang patut dipersalahkan jika DEB sumbangan hebat Tun Razak yang berperanan penting menyelamatkan negara, dirosakkan imejnya hingga hilang peranan masa depannya untuk membela nasib rakyat golongan bawahan yang tertekan?

Bumiputera yang merosakkan DEB!

Dalam hal ini, pandangan Michael Chen mengenai kepimpinan Tun Razak wajar mendapat perhatian. Pada beliau Tun Razak seorang pemimpin politik pragmatis dan berpandangan sangat jauh ke depan, terutama apabila beliau dengan berani dan tegas melancarkan DEB “untuk semua kaum, dan bukan sahaja Bumiputera”.

Michael menyatakan sebagai bukti: Tun Razak menegaskan program membasmi kemiskinan di bawah DEB adalah untuk semua golongan miskin tanpa kira kaum dan keturunan.

Demikian juga skim Felda dan Felcra. Kata Chen, ketika Felda dilancarkan Tun Razak menetapkan peruntukan kepada kaum Cina dan India, namun tidak ramai yang menyertainya “kerana skim ini jauh di pedalaman”.

Namun akhirnya teras DEB yang jelas bukan rasis dilupai, Felda turut dituduh tidak inklusif dan anti Cina. Semua ini hanya menambah-burukkan lagi persepsi negatif bukan Melayu terhadap DEB dan terhadap kerajaan.

Saya berpendapat sejak awal 1980an, kerajaan Malaysia pula melampau terpengaruh hasutan ideologi ekonomi kapitalis neo-liberal anjuran Barat, terutama Amerika Syarikat, yang jelas bertentangan aspirasi DEB.

Ideologi ini menyebabkan kerajaan Malaysia mengutamakan penswastaan dan membuka luas ekonomi memihak kepada golongan bisnes dan korporat swasta mengatasi semua golongan lain.

Ideologi ekonomi liberal ini membuatkan kerajaan semakin agresif dalam mengagihkan saham, lesen, permit, AP, insentif, geran, subsidi dan kemudahan serta keistimewaan lain kepada individu pilihan, sehingga dituduh menyalahgunakan kuasa, korupsi, dan mengamalkan nepotisme serta kronisme.

Apabila semua ini berlaku, sekali lagi DEB yang dipersalahkan dan difitnah, dijadikan punca segala kerosakan dan korupsi, penyelewengan dan keangkuhan kuasa.

Kerosakan ini ditambah-burukkan lagi oleh Dasar Penswastaan agresif membabitkan pemindahan hak milik aset dan bisnes GLC kepada swasta terpilih. GLC adalah institusi cetusan DEB yang menjadi benteng utama hak milik Melayu dan Bumiputera.

Oleh kerana penswastaan didukung kuat kuasa politik yang kerap kelihatan arbitrari dan menggunakan kuasa secara impuniti, semua ini menyebabkan tuduhan dan fitnah terhadap DEB semakin payah ditangkis hingga langsung tidak dapat dipertahankan.

Malangnya, apabila sampai ke tahap itu, rakyat Melayu dan Bumiputera sendiri turut bangkit menentang penyalahgunaan DEB oleh penguasa politik di bawah teraju pemerintahan Melayu, menjadikannya salah satu punca terbesar perpecahan politik Melayu.

Kesudahannya, semakin ramai Melayu dan Bumiputera sendiri menganggap DEB telah dirosakkan bukan oleh perbuatan orang lain, tetapi oleh tangan-tangan politik Melayu dan Bumiputera sendiri, terutama mereka yang rakus, tamak dan bersikap nafsu-nafsi.

Sebagai contoh, sentimen menyalahkan golongan elit Bumiputera tamak dan rakus terkandung dalam kenyataan 35 warga ternama Melayu yang diterbitkan akhbar The Star pada 12 Januari, 2015 di bawah tajuk: “Ethnic divide, not extremism”.

Antara lain mereka menyatakan: “Melayu rakus dan tamak ini merupakan minoriti kecil terdiri daripada golongan elit yang bersekongkol dengan kumpulan elit daripada kalangan komuniti lain, merampas (highjack) dasar tindakan penyeimbangan (affirmative action policies – DEB) lalu menghalang warga majoriti Melayu daripada menikmati hak mereka di bawah dasar terbabit.”

Balik ke pangkal jalan DEB

Setelah lebih dua dekad DEB tamat saya percaya hari ini DEB semakin mudah diukur dan dinilai kesan dan impaknya secara lebih objektif dan kritikal. Tujuannya ialah supaya ciri-ciri positifnya dapat dilangsungkan dalam bentuk dasar dan strategi baru untuk pembangunan masa depan.

Antara ciri positif yang saya maksudkan ialah falsafah DEB yang berteraskan aspirasi menegakkan keadilan tanpa mengira kaum dan keturunan.

Jika dahulu DEB berjaya menghapuskan kemiskinan, terutama di luar bandar, kali ini strategi berkesan seumpama DEB perlu dijayakan bertujuan menghapuskan pula kemiskinan bandar, juga kemiskinan relatif merapatkan jurang kaya-miskin dan membasmi kezaliman sistem kapitalis global.

Satu lagi pengajaran DEB yang relevan buat masa depan ialah kebijaksanaan Tun Razak menggunakan GLC sebagai institusi utama menegakkan keadilan dan mengimbangkan kuasa swasta supaya tidak melampau-lebarkan jurang ekonomi.

GLC strategi DEB paling berkesan merapatkan jurang kaya-miskin. Justeru peranan GLC sebagai institusi amanah pemegang kepentingan bisnes dan korporat mewakili golongan majoriti miskin wajar diperkukuhkan.

Sesungguhnya Malaysia tiada pilihan selain bertindak lebih berani dan agresif berbalik ke pangkal jalan memperjuangkan semula keadilan ekonomi yang diasaskan Tun Razak menerusi DEB. Peranan amanah GLC sangat penting diperhebat dan penswastaan diketepikan.

Malahan GLC wajar ditransformasikan menjadi institusi Waqaf Korporat supaya kekal berpanjangan menegakkan keadilan, melindungi kepentingan generasi depan, tidak kira kaum dan keturunan.

0 Komentar untuk " DEB 'rasis' - satu fitnah! "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ