Bina resort berasaskan seni kraf tradisional - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bina resort berasaskan seni kraf tradisional

DEK kerana cintakan seni kraf tradisional Melayu Terengganu, bekas peniaga restoran membelanjakan lebih RM2.6 juta membina lapan rumah tradisional, untuk dijadikan resort dikenali sebagai Warisan Pahlawan Resort di Kuala Berang, Terengganu.
 
Tuan Ahmad Tuan Abdullah, 56, berkata, minatnya yang mendalam terhadap seni tradisional rumah Melayu Terengganu, mendorongnya untuk membeli beberapa rumah peninggalan lama yang berusia lebih 150 tahun di negeri itu, kemudian diubah suai menjadi tempat penginapan di resortnya sejak 10 tahun lepas.
 
"Minat pak cik untuk membina resort ini timbul setelah melihat rumah-rumah tradisional yang cantik ukirannya terbiar usang hingga rosak, jadi pak cik dan isteri, Zaimah Osman, 56, ambil keputusan untuk buat resort menggunakan rumah lama yang dibeli dengan harga RM5,000 hingga RM10,000 untuk sebuah rumah.
 
"Ada antara rumah peninggalan yang asalnya dah nak runtuh, jadi kita cantumkan dengan rumah-rumah lain hingga terbentuk sebuah rumah dan kita namakan rumah di resort ini dengan nama tokoh-tokoh agama serta pahlawan Melayu antaranya Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Ku Paloh, Tok Ku Pulau Manis serta Tok Kenali," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
 
Istimewanya rumah di resort itu, kata Tuan Ahmad, rumah tradisional yang diberi nama Mat Kilau pernah menjadi persinggahan Mat Kilau semasa hayatnya dan dibeli daripada penduduk di Kampung Pasir Nering di sini.
 
Resort yang berkeluasan satu hektar di Kampung Pauh tersebut terletak hanya lima kilometer dan hanya memakan masa lima minit dari Bandar Kuala Berang yang juga terkenal dengan ikon pelancongan yang memiliki tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara iaitu Tasik Kenyir.
 
Tuan Ahmad berkata resort itu menawarkan lapan rumah tradisional untuk disewa iaitu keseluruhan mempunyai 50 bilik yang dilengkapi dengan perabot bermotifkan ukiran tradisional Melayu, bukan hanya mendapat kunjungan pelancong tempatan, malah turut menarik pengunjung warga Belanda, Singapura, Jepun serta Amerika Syarikat.

"Penginapan di sini hanya RM40 hingga RM100 semalam untuk sebuah bilik, untuk sebuah rumah pula kami menawarkan harga RM250 hingga RM300 semalam yang mempunyai antara empat dan enam bilik. Kami juga mempunyai satu dewan seminar.
 
"Di sini, kami turut menyediakan makanan berasaskan tradisional iaitu pengunjung berpeluang merasai makanan tradisional Terengganu seperti ketupat, tapai, ubi serta masakan ikan baung yang terkenal di daerah ini," katanya.
 
Bagi membangkitkan nostalgia kepada pengunjung, bapa kepada tiga anak dan memiliki tiga cucu itu berkata beliau turut menempatkan kukur kelapa, tempayan dan kuali lama di situ.
 
Tuan Ahmad berkata selain mengusahakan resort, beliau kini mengorak langkah melebarkan perniagaannya, menyediakan perkhidmatan membuat rumah tradisional pasang siap.
 
"Sekarang ni, bila ramai tahu pak cik buat resort ni, ada antara pengunjung yang minta pak cik buatkan rumah untuk mereka dan alhamdulillah, sambutannya menggalakkan dan menjadi kerjaya baharu buat pak cik.
 
"Pak cik menggunakan empat tenaga mahir untuk menyiapkan tempahan rumah yang sebuah rumah boleh siap dalam masa tiga bulan dan dijual dengan harga RM150,000 hingga RM300,000 bergantung kepada pelan rumah dan kami hanya menggunakan kayu cengal dan rumah yang dibuat berasaskan kraf kayu usang," katanya.
 
Menurutnya, selain tempahan di negeri itu, beliau turut menerima tempahan dari Johor, Wilayah Persekutuan serta Melaka.
 
"Pak cik harap sangat dengan adanya resort dan rumah ini, warisan Melayu tak kan hilang begitu je, kesianlah generasi akan datang kalau tak berkesempatan merasai dan melihat keindahan seni kraf Melayu," katanya. - Bernama

0 Komentar untuk " Bina resort berasaskan seni kraf tradisional "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ