Betulkan salah tanggap tentang BM - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Betulkan salah tanggap tentang BM

SEBAGAI guru Bahasa Melayu (BM) yang berpengalaman, penulis kerap diajukan soalan tentang bahasa Melayu. Selain soal tatabahasa, terdapat pengguna bahasa yang meminta pandangan penulis tentang sebab nama bahasa kebangsaan itu sering berubah-ubah.

Ada yang meminta penjelasan sama ada nama bahasa Melayu atau bahasa Malaysia yang betul. Terdapat juga individu yang membuat andaian bahawa tokoh bahasalah yang melakukan perubahan itu.

Sebenarnya, dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, tercatat bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Pada 1970an, khususnya selepas peristiwa 13 Mei, nama bahasa Malaysia digunakan. Barangkali pihak berkuasa ketika itu tidak mahu menampakkan bahawa bahasa Melayu milik orang Melayu semata-mata.

Pada1980an, nama bahasa Melayu digunakan semula selaras dengan yang tercatat dalam Perlembagaan. Namun begitu, akhir-akhir ini pihak kerajaan menggunakan nama bahasa Malaysia.

Sebagai akibat perubahan itu, nama mata pelajaran yang merujuk kepada bahasa kebangsaan itu berbeza antara sekolah rendah dengan sekolah menengah. Kini, sekolah menengah menggunakan mata pelajaran Bahasa Melayu, manakala sekolah rendah, Bahasa Malaysia. Untuk pengetahuan pembaca, perubahan nama sedemikian bukan dilakukan oleh ahli bahasa tetapi oleh pihak berkuasa. Untuk ruangan ini, penulis akan menggunakan nama bahasa Melayu.

Mengapakah ejaan bagi sesetengah perkataan dalam bahasa Melayu berubah-ubah? Demikianlah soalan kedua yang agak popular dalam kalangan pengguna bahasa Melayu. Sebenarnya, perubahan yang dimaksudkan itu tidaklah selalu seperti yang difahami oleh pihak yang berkenaan.

Perubahan ejaan berlaku pada tahun 1972 apabila Sistem Ejaan Rumi Baharu diperkenalkan. Selepas itu, tiada lagi apa-apa perubahan dalam sistem ejaan itu.

Walaupun perubahan tersebut sudah lebih daripada 40 tahun dilakukan, kesalahan ejaan tetap berleluasa. Kesalahan tersebut dilakukan oleh pelbagai pihak, tidak terkecuali golongan cendekiawan. Perkara ini dapat dilihat, terutama pada papan tanda, surat-menyurat, minit mesyuarat, dan akhbar.

Kecelaruan ejaan yang secara tidak langsung melambangkan sikap tidak bertanggungjawabnya masyarakat kita terhadap bahasa kebangsaan ini dapat dikurangkan sekiranya pengguna merujuk kepada buku Daftar Ejaan Bahasa Malaysia atau bertanya kepada pihak yang lebih arif tentang bahasa.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga telah menyediakan kemudahan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) untuk pengguna mengemukakan permasalahan bahasa tetapi masih kurang dimanfaatkan oleh pengguna.

Sesiapa sahaja yang mengambil tahu tentang bahasa tentu berasa kesal apabila televisyen tempatan tidak dapat mengeja tengah hari dengan betul. (Ada rangkaian televisyen yang mengeja 'tengahari'). Ada murid yang bertanya kepada gurunya sama ada ejaan 'bandaraya' atau bandar raya yang betul.

Penulis pernah diminta menjelaskan  tentang kewajaran pihak jabatan atau sekolah menulis ejaan 'ko-kurikulum' (sepatutnya kokurikulum) pada kebanyakan sijil murid. Tegasnya, selagi pengguna bahasa Melayu tidak menghormati peraturan bahasa yang disediakan, maka kecelaruan itu akan berterusan dan imej bahasa tidak meningkat.

Sesetengah pengguna bahasa pula menyatakan bahawa masalah bahasa berpunca daripada banyaknya mazhab bahasa di negara ini. Dalam satu seminar, seorang pembentang kertas kerja menyatakan bahawa kertas kerjanya itu mungkin terdapat kesalahan bahasa.

Tambahnya lagi, dia selalu keliru dengan bahasa Melayu kerana terdapat banyak mazhab. Beberapa peserta seminar terus mengiakan pandangan individu itu.

Bagi penulis, pandangan tersebut hanyalah bersifat pelarian, iaitu untuk menutup kelemahannya berbahasa Melayu. Ertinya, kesalahan bahasa yang dilakukannya bukanlah disebabkan kelemahan dirinya tetapi disebabkan oleh pihak lain.

Penulis berasa bahawa tahap keintelektualan pembentang tersebut tidak terjejas sekiranya kelemahannya itu diakui dan minta dibetulkan.

Lagipun masalah bahasa yang ditimbulkan hanyalah yang berkaitan dengan ejaan, penggunaan imbuhan, kata sendi nama, binaan ayat, dan lain-lain. Berdasarkan pengetahuan penulis, tiada pun mazhab yang berselisih pandangan tentang perkara yang seumpama itu.

Penjelasan ringkas ini diharapkan dapat membetulkan salah tanggapan pihak-pihak tertentu tentang bahasa. Semoga pihak yang berkenaan tidak lagi memperkatakan sesuatu yang tidak benar kerana tabiat sedemikian tidak menguntungkan sesiapa.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur

0 Komentar untuk " Betulkan salah tanggap tentang BM "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ