Belajar bahasa Arab percuma - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Belajar bahasa Arab percuma

PADA suatu masa tidak berapa lama dahulu, timbul satu isu tentang penggunaan assalaamulaikum. Polemik yang disusuli  pertikaman lidah itu tercetus apabila seorang pemimpin tiba-tiba mengeluarkan kenyataan bahawa assalaamualaikum sama sahaja dengan selamat pagi @ selamat malam dan good morning @ good night.

Bezanya, kata pemimpin itu, assalaamualaikum adalah sebutan dalam bahasa Arab, selamat pagi @ selamat malam dalam bahasa Melayu dan good morning @ good night dalam bahasa Inggeris.

Mesejnya sama, tujuannya sama, dakwa pemimpin itu lagi. Kenyataan pemimpin itu disanggah dan dikritik hebat oleh seorang pemimpin lain.

Pemimpin ini menyifatkan mereka yang menganggap assalaamualaikum serupa sahaja dengan selamat pagi @ selamat malam dan good morning @ good night sebagai jahil. Banyaklah penjelasan dan penerangan yang diluahkan menerusi ceramah, bahkan diperjelaskan di masjid, tetapi tidaklah saya ingat kesemua yang diperkatakan.

Setakat yang saya ingat, pemimpin yang menyanggah itu menekankan, antara lain, assalaamualaikum itu sunnah Nabi Muhammad SAW yang dapat merapatkan ukhuwah umat Islam di seluruh dunia.

Memberi salam, katanya, adalah sunat, sedangkan menjawab salam wajib. Assalaamualaikum itu juga, katanya, ucapan seragam dalam kalangan penghuni syurga.

Disebabkan peristiwa itu berlaku lebih 30 tahun yang silam, dan memandangkan saya pun tidak ingat kesemua yang didebatkan masa itu, saya tidak mahu panjangkan cerita mengenainya. Saya juga tidak ingat penyelesaian kepada perselisihan pendapat itu.

Sebenarnya saya teringat perkara ini dan ingin berkongsi dengan pembaca budiman apabila ada inisiatif sekumpulan insan untuk mengajar asas bahasa Arab melalui WhatsApp baru-baru ini.

Mereka mewujudkan kumpulan-kumpulan pelajar tidak kira di mana pelajar-pelajar itu berada, dengan setiap kumpulan mempunyai 100 pelajar. Pengajian itu setiap pagi, petang dan malam. Ia percuma.

Idea mereka memang fantastik. Bayangkan kalau pun separuh daripada pelajar kumpulan-kumpulan itu berjaya menguasai bahasa Arab secara asas, berapa ramai yang akan faham, boleh bertutur, membaca dan menulis bahasa Arab? Berapa banyak kebajikan yang dibuat oleh kumpulan pengasas pengajian bahasa Arab itu?

Sebenarnya, apa yang dilakukan oleh pasukan pengasas bahasa Arab ini boleh menjadi garis panduan, modul dan contoh bagi mana-mana pasukan insan yang berkemampuan dan berinisiatif bagi mewujudkan kumpulan-kumpulan seperti itu untuk mata pelajaran matematik, sains dan bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan lain-lain.

Maknanya penggunaan kemudahan seperti WhatsApp dan laman sosial lain untuk perkara-perkara bermanfaat kepada masyarakat boleh dimaksimumkan. Saya pun sedang mengikuti pengajian bahasa Arab kaedah baru itu walaupun tidak jamin sampai mana boleh bertahan. Apakah berjaya hingga dapat ‘skrol’ atau gugur di tengah jalan? Wallahualam!

Pada suatu masa dahulu, saya bersama sekumpulan kira-kira 10 orang rakan, kebanyakan mereka bekerja atau berniaga, mendapatkan khidmat sukarela seorang ustaz untuk mengajar kami bahasa Arab.

Sempat dua bulan rasanya. Lepas itu murid semakin berkurangan. Akhirnya tutup buku. Sebabnya, kami tidak mampu memberi tumpuan yang sepatutnya kerana semua asyik sibuk dengan kerja atau perniagaan.

Saya tidak mahu ingat lagi pengalaman lama itu. Kali ini saya mahu lihat ke depan dengan positif, Kalau Malaysia Boleh, insya-ALLAH saya pun patut boleh! Sebenarnya, kita tahu belajar apa pun tiada ada yang susah. Semua kita tahu, di mana ada kemahuan di situ ada kejayaan.

Ada seorang yang saya kenal fasih bertutur bahasa Arab selepas menjelajah Timur Tengah selama dua tahun. Tapi ada seorang lagi saya difahamkan boleh fasih berbahasa Arab dalam tempoh dua tahun juga, walaupun dia tidak langsung ke luar negara untuk tujuan itu.

Dia di tanah air dan belajar bahasa Arab, melalui buku dan pita rakaman sepenuhnya, tapi dia bersungguh-sungguh. Pendek kata, selagi dia tidak lena, dia pasang fon telinga mengenai pengajian bahasa Arab dan bercakap bahasa itu seorang diri tidak kira di mana sahaja dia berada.

Pembaca budiman pun tahu hari ini  pengajian bahasa Arab dianjurkan di merata masjid dan surau di tanah air kita ini. Cuma perlu tepuk dada, tanya kemahuan!

0 Komentar untuk " Belajar bahasa Arab percuma "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ