Umat akhir zaman perlukan Islam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Umat akhir zaman perlukan Islam

KEKACAUAN dan kecelaruan umat manusia untuk mencari pegangan dan pedoman yang sahih ke arah hidup yang lebih bermakna merupakan fenomena biasa di mana-mana. Ada manusia berpendapat dengan kekuatan ilmu yang terbatas dan sains serta teknologi tanpa dipandu oleh etika dan agama sudah memadai untuk hidup.

Ada juga yang berpendapat dengan kekayaan yang dimiliki, harta yang banyak, kedudukan tertentu sudah memadai bergantung kepada kudrat sendiri bukannya kepada Yang Maha Mencipta.

Ramai lagi yang percaya bahawa hidup hanya sekali dan kehidupan perlu dipenuhi dengan riang-ria dan nafsu-nafsi supaya kehidupan itu terisi. Terdapat juga kumpulan yang tidak percaya kepada Pencipta lalu hidup lepas-bebas tanpa pedoman agama.

Sebenarnya agama dalam kehidupan adalah penting kerana beragama itu sendiri memberi makna kepada kehidupan. Islam agama ilmu dan rasional bukannya dogma yang bersifat khayali.

Kalau hujah yang diberi mengatakan Islam tidak rasional dan saintifik kerana bersandarkan kepada hal-hal ghaib yang tidak boleh diuji kaji, ia adalah sesuatu yang meleset. Terdapat ribuan ayat al-Quran yang memberikan pedoman saintifik dan teruji oleh zaman dan relevan sehingga kini dan mampu membangun tamadun.

Terdapat kisah-kisah yang dihadapi para Rasul berulang kembali pada hari ini. Al-Quran merakamkan kisah-kisah kedegilan manusia ini untuk menjadi ibrah (pengajaran) yang kemudian membimbing manusia merenung tentang peristiwa lalu supaya mampu mengambil teladan dan meletakkan sempadan sebagai sumber ikutan.

Kehidupan itu sendiri memerlukan asas moral, etika dan nilai supaya kerukunan sosial terjadi. Sistem dalam apa bentuk pun tidak boleh berjalan sekiranya kejujuran, amanah, keadilan, keikhlasan tidak ada. Islam mendidik manusia supaya memiliki kualiti itu kerana kualiti itu perlu dalam hidup dan kehidupan.

Tanpa agama, etika dan nilai tidak akan wujud. Etika dan nilai yang berasaskan faktor manusia semata-mata sifatnya berubah-ubah (relatif) sedangkan etika dan nilai yang terbina dalam resam agama memberi asas kemutlakan yang sifatnya memandu dan mempedoman.

Dalam membentuk watak anak-anak sudah tentu asas moral dan akhlak amat dituntut. Kalau tidak manusia akan menjadi makhluk yang bersifat haiwani tanpa dipedoman oleh etika dan nilai. Islam menawarkan asas kepada pembentukan watak manusia dengan keyakinan tauhidik kepada ALLAH dan menjadi Rasulullah SAW sebagai sumber teladan dan contoh ikutan dan pembinaan peribadi dan akhlak.

Etika Global (global ethics) yang diperkenalkan di Barat tidak mempunyai asas aqidah dan kepercayaan kepada Yang Maha Pencipta dan terputus dengan keyakinan kepada ALLAH atau Tuhan Yang Esa. Kerosakan yang sedang berlaku kerana pecah-amanah, pendekatan eksploitasi, jurang kehidupan yang tajam, kezaliman dan penindasan, keserakahan kuasa-kuasa besar terhadap kuasa-kuasa kecil adalah pertanda yang tidak baik bagi suatu tamadun yang terbina sekian lama.

Umat manusia dari suatu sisi memerlukan kehidupan yang fitrah. Keperluan zahir-batin sesuatu yang tidak boleh dinafikan. Oleh itu manusia perlu kembali kepada Islam. Islam menawarkan pembangunan hati dan diri supaya memiliki kualiti ihsan yang tinggi tetapi berperanan sebagai hamba dan khalifah supaya Islam dapat diterjemah dalam kehidupan yang lebih baik.

Pada akhir zaman terlalu banyak cabaran yang datang dan menggoda manusia. Bayangkan manusia tanpa pegangan agama apa-apa boleh terjadi. Pegangan kepada Islam umpamanya mempedoman manusia tidak saja hal-hal duniawi tapi kaitannya dengan ukhrawi.

Kaitan ukhrawi ini penting kerana hidup kita ini tidak tamat di dunia, di samping manusia menginsafi kehidupan dunia perlu diatur dengan baik supaya natijah akhirat nanti baik juga.


* Prof Dr Sidek Baba pensyarah di Insted, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

0 Komentar untuk " Umat akhir zaman perlukan Islam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ