2015 dan sikap buruk orang kita - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

2015 dan sikap buruk orang kita

*KETIKA beratus ribu mangsa banjir di seluruh negara, khasnya di negeri-negeri Pantai Timur, dalam keadaan duka nestapa dan seribu kebimbangan di pusat-pusat pemindahan, ada sesetengah orang langsung tidak prihatin.

Orang yang tidak berhati perut @ berjiwa haiwan ini telah menyebarkan pelbagai berita palsu menerusi media sosial – WhatsApp, Twitter, Facebook, SMS – untuk mencemaskan lagi keadaan.

Antara berita palsu itu ialah: kematian 10 sekeluarga di Kampung Guchil, Kuala Krai; kematian 40 pesakit di Hospital Kuala Krai akibat ketiadaan oksigen; Empangan Kemubu akan dibuka memungkinkan banjir lebih besar di Kok Lanas, Kelantan.

Lagi maklumat palsu yang disebarkan melalui media sosial: Empangan Batu di Selangor berada di paras bahaya dan mengalami rekahan serta akan dibuka untuk melepaskan air; pelepasan air dari Empangan Tasik Kenyir di Hulu Terengganu akan menenggelamkan bandar Kuala Berang; tiga petugas Petronas meninggal dunia dalam kemalangan ketika misi menghantar bantuan ke Kelantan... dan banyak lagi.

Ketika mangsa banjir menderita dalam kegelapan, sesetengahnya kebuluran menunggu bantuan makanan, orang tidak bertanggungjawab tergamak mempermainkan perasaan dengan berita-berita palsu itu. Mereka sudah melampau, dan patut diajar!


*SETAKAT rencana ini ditulis – Selasa – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengesan empat individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu mengenai banjir di Pantai Timur.

Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi meminta empat individu, nama-nama telah disiarkan media – tiga dari Kelantan, seorang dari Pulau Pinang – supaya tampil untuk membantu siasatan.

Mereka diminta menghubungi pegawai-pegawai penyiasat SKMM, Mai Zairani Zainal Abidin (019-3385009) atau Mohamad Syukri Jamaluddin (019-2869515) dengan kadar segera. Berani buat berani tanggung.

Tidak sahaja empat individu, pasti ramai lagi penyebar maklumat palsu boleh dikesan oleh SKMM dalam masa terdekat ini. Tunjukkan ketegasan kita untuk memerangi pihak tidak bertanggungjawab ini.

Mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mereka yang didapati bersalah boleh dihukum denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.


*PERLU juga disebut satu lagi sikap buruk sesetengah orang kita, iaitu menjadikan pusat pengumpulan barangan bantuan banjir sebagai tempat untuk ‘membuang’ pakaian-pakaian lama mereka.

Contoh: pusat pengumpulan NGO Muslim Care Malaysia menerima antara lain sumbangan seluar dalam dan baju dalam lusuh untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang melanda dengan teruk di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.

Menurut setiausahanya, Abdul Razak Mohamed, sejak pusat itu dibuka 25 Disember lalu sejumlah 5 tan pakaian terpakai telah disumbangkan kepada mereka, tetapi kira-kira 20 peratus terpaksa dibuang. “Siapa nak memakai pakaian dalam terpakai atau baju dan seluar yang telah koyak?”

Secara keseluruhan orang kita amat penyayang dan prihatin. Mereka menderma RM berjuta, menyumbang makanan, memberi pakaian yang kebanyakannya masih baharu dan selesa diguna.

Memang ada seorang dua yang menjadikan pusat pengumpulan barang sebagai tong sampah, sebab orang-orang jenis ini memang ‘sampah’. Orang seperti ini sama sahaja tarafnya dengan ‘seluar dalam koyak’, haprak!


*AKHIR kalam, takziah dan simpati saya kepada waris dan keluarga mangsa-mangsa tragedi pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang ditemui di Laut Jawa setelah dua hari hilang dari radar dalam penerbangan Surabaya-Singapura.

Setakat rencana ini ditulis serpihan-serpihan pesawat telah dikesan, dan beberapa mayat mangsa telah diambil dari permukaan laut. Pesawat malang telah dikesan, mayat-mayat telah ditemui; yang tinggal kini adalah air mata dan seribu kedukaan orang-orang yang ditinggalkan.

Lain pula halnya dengan sebuah lagi pesawat malang MAS, MH370 yang hilang dari radar dalam penerbangan dari KLIA ke Beijing, 8 Mac lalu. Pesawat dengan 239 penumpang dan anak kapal itu sampai kini masih misteri. Setelah gerakan bersepadu beberapa negara, menggembleng sekian banyak aset tercanggih, dan belanja RM ratusan juta, sampai hari ini – setelah sembilan bulan – masih tidak diketahui di mana MH370 berada, dan apakah nasib penumpang di dalamnya?

Penutup tahun 2014 memang penuh kepiluan. Mudah-mudahan tirai 2015 dibuka dengan kesejahteraan dan seribu harapan. Selamat tahun baharu!

- TOK PERAK

0 Komentar untuk " 2015 dan sikap buruk orang kita "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ