Ilmu usahawan bantu siswa cipta kejayaan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ilmu usahawan bantu siswa cipta kejayaan

MEREKA yang bergelar penuntut perlu menceburkan diri dalam bidang usahawan pada masa sekarang, kata pakar pemasaran terkenal, Dr Azizan Osman.

Menurut beliau, bukan niatnya untuk membantutkan prestasi akademik pengajian mereka, tetapi beliau lebih optimis bahawa dunia keusahawanan adalah dunia yang perlukan seseorang itu berfikir dengan lebih pantas dan tahap tindakan mereka lebih bagus berbanding dengan mereka yang hanya berteori sahaja.

"Kebetulan pula pada zaman sekarang, semua benda perlukan kepada duit. Saya percaya bukan semua siswa berasal dari keluarga yang kaya raya. Bagi yang kurang mampu, tapi masih mempunyai daya belajar yang sangat tinggi, terpaksalah membuat mana-mana pinjaman untuk merealisasikan impian tersebut.

"Sedih sangat hari ini, siswa yang baru sehari graduasi, kerja pun belum tentu, tetapi hutang dah mencecah puluhan ribu. Dengan berniaga, paling tidak, ia dapat mengurangkan bebanan diri sendiri dan juga keluarga. Namun mereka harus meletakkan bahawa akademik di tempat yang utama dan diikuti pula dengan perniagaan. Apabila siswa menyibukkan diri dalam dunia pengajian dan juga perniagaan, saya percaya mereka kurang terdedah kepada gejala sosial," ujarnya.

Untuk melibatkan diri dalam keusahawanan, Dr Azizan berkata, tiada usia khusus kerana usia bukan penentu kejayaan dan semua orang boleh dan layak untuk berjaya.

"Sebab itu di mana-mana program yang saya anjurkan, saya selalu mengingatkan bahawa, orang yang berjaya adalah mereka yang design kan hidup mereka. Bagaimana mereka mahu tanpa menolak qada dan qadar ALLAH. Tapi orang yang gagal, mereka hanyalah menyerahkan hidup mereka bulat-bulat kepada takdir tanpa sebarang usaha atau tindakan untuk berubah.

"Kalau anda tanya saya di usia berapa, jawapan saya sewaktu dalam perut ibu lagi sudah perlu dipupuk sikap suka berniaga. Setiap hari ibu dan ayah mesti programkan dan selalu sebut kepada bayi yang berada di dalam kandungan akan perkara yang baik-baik. Ada satu pepatah menarik daripada orang-orang tua, “Lompat tinggi-tinggi sampai cucur atap, belum tumbuh gigi dah pandai baca kitab”.

Saya suka menambah ianya kepada “Lompat tinggi-tinggi jangan sampai jatuh tangga, belum tumbuh gigi dan pandai berniaga”. Jadi, usia bukanlah menjadi halangan untuk seseorang itu boleh ceburi perniagaan atau tidak," katanya penuh bersemangat.

Mengenai pemilihan perniagaan pula, perniagaan yang terbaik adalah perniagaan tanpa modal ataupun yang tidak perlu kepada modal yang banyak seperti membuka kedai ataupun memborong barangan.

Nasihat saya adalah mulakan perniagaan dengan menjual barangan orang lain terlebih dahulu. Tidak kira sama ada produk tersebut adalah makanan ataupun barangan, ia pastinya akan dibeli oleh siswa lain, kata beliau.

Dr Azizan menaruh harapan tinggi, terutamanya kepada siswa agar meneruskan usaha murni itu. Jangan berhenti untuk bergerak dan selalu tanamkan dalam diri bahawa anda berniaga bukannya untuk kaya semata-mata.

Selami diri anda dan cari kenapa sebab terbesar anda perlu berniaga. Kemudian, berniagalah dengan niat untuk membantu menyelesaikan masalah insan lain. Insya-Allah, kekayaan itu akan datang sendiri.

0 Komentar untuk " Ilmu usahawan bantu siswa cipta kejayaan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ