“SUSAHLAH budak-budak sekarang ni, dahlah cakap bahasa bercelaru, kasar pulak tu, nak guna bahasa lembut dan manis didengar sikit pun payah. Nampak sangat tak pandai hormat orang, lebih-lebih lagi kita orang tua”.
Itulah antara cakap-cakap yang sering kita dengar di kedai-kedai kopi, pada majlis-majlis perkahwinan atau majlis-majlis santai lain. Gejala ini menimbulkan kegelisahan terutama kepada generasi lama. Soal sopan-santun dalam berbahasa semakin menipis.
Bayangkan jikalau gejala ini dibiarkan, bukan sahaja bahasa yang rosak, tetapi kesantunan hidup bermasyarakat juga akan terburai. Apabila kesantunan kian luntur, sedarlah, budi kepada bangsa itu lama-kelamaan akan semakin terkubur.
Jadi, tidak hairanlah jika rata-rata kini orang bercakap tentang gejala keruntuhan akhlak atau moral khususnya dalam kalangan generasi muda, ‘generasi Y’, kalau mengikut istilah terkini. Kemuliaan diri seseorang itu berkaitan sekali dengan pengamalan bahasanya.
Kalau bahasa yang digunakan sudah bercelaru, kasar dan tiada kemanisannya, tentu sahaja akhlak mereka sukar untuk dibanggakan. Ungkapan ‘berbudi bahasa’ memang jelas menggambarkan bahawa amalan berbahasa itu adalah manifestasi budi seseorang.
Orang yang tidak sopan berbahasa adalah rendah budinya. Amat tepatlah slogan Bahasa Jiwa Bangsa yang kita pahat dalam kehidupan bernegara di Malaysia.
Ketahuilah bahawa sememangnya bahasa adalah lambang penampilan budi pekerti seseorang. Kesantunan berbahasa dan kemuliaan pekerti ini seharusnya dimulakan di rumah. Keluarga memainkan peranan yang amat penting dalam menanam kesantunan berbahasa dan ketertiban pekerti mulia ini.
Bapa dan ibu hendaklah mendidik dan membimbing anak-anak dengan menggunakan bahasa yang lembut dan mulia semasa berbicara. Malahan ibu bapa sendiri hendaklah menggunakan bahasa yang santun dan beradab, tidak memaki hamun, mencarut dan mencerca tanpa kawalan dan batasan sehingga menjadi ikutan dan amalan kepada anak-anak.
Bayangkan jika semua keluarga mampu mengamalkan dan menerapkan amalan berbahasa dan berbudaya mulia, alangkah indahnya kehidupan berkeluarga yang seterusnya melebar kepada kehidupan bermasyarakat dan kehidupan bernegara seluruhnya.
Agenda inilah yang menjadi salah satu daripada empat nilai murni dalam Gagasan 1Malaysia yang dianjurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Berbudi bahasa dalam pergaulan dan kehidupan bermasyarakat.
Amalan bersantun dan berbudi bahasa dalam berbicara dan berkomunikasi tentu sahaja mampu menjadi elemen perpaduan di negara kita yang terdiri daripada masyarakat pelbagai bahasa dan budaya.
Tinggal lagi kita perlu menerima dan mendukung bersama dengan hati terbuka. Bukankah semua orang percaya bahawa kehebatan sesebuah tamadun itu lahirnya daripada kukuhnya perpaduan warga seluruhnya.
Sebagai contoh jelas untuk menampakkan pentingnya kemesraan dan kesantunan berbahasa warga Malaysia sekarang adalah bagaimana kita semua menghadapi musibah banjir besar yang melanda hampir seluruh negeri, khususnya negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung.
Banjir melanda cukup dahsyat, penderitaan rakyat cukup menyayat, dan sumbangan serta bantuan rakyat juga cukup hebat. Komitmen dan keprihatinan kerajaan, badan-badan berkanun, korporat, badan-badan bukan kerajaan, sukarelawan dan rakyat seluruh negara memang wajar diberi tabik hormat. Ini semua melambangkan kemuliaan jiwa warga Malaysia.
Namun, di sebalik kekalutan dan kesibukan kita menyumbang, perkara yang penting juga perlu dimainkan ialah cara kita berhubung dan berkomunikasi dengan mangsa-mangsa banjir tersebut.
Di sinilah peranan kesantunan berbahasa dan ketinggian mulia diri perlu ditonjolkan. Berdepanlah mereka dengan lemah-lembut, mesra dan santun bicara kerana jiwa mereka begitu terluka.
Sedikit kedengaran kata-kata kesat, kasar atau herdik hamun, hancurlah jiwa raga mereka seperti runtuhnya rumah-rumah mereka dibawa banjir entah ke mana. Pepatah telah berpesan, sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merana, bahasa yang mulia dan tidak ternoda, budi dikenang selama-lamanya.
* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur

0 Komentar untuk " Bahasa ternoda, budi binasa... "