Ekonomi kukuh di sebalik kejatuhan harga minyak - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ekonomi kukuh di sebalik kejatuhan harga minyak

KELUARAN dalam negara kasar (KDNK) Malaysia masih berdaya tahan di sebalik kejatuhan harga minyak dan akaun semasa negara tidak mungkin mencatatkan defisit sekalipun harga minyak mentah Brent jatuh ke paras US$50 setong.

Ketua Pegawai Pelaburan Pacific Mutual Fund Bhd, Koh Huat Soon berkata, walaupun beberapa sumber mengekang pertumbuhan ekonomi menjelang 2015, syarikat percaya ekonomi negara mempunyai daya tahan untuk menghadapi tekanan tersebut.

"Memandangkan minyak meliputi 30 peratus pendapatan kerajaan, ada kebimbangan kerajaan tidak dapat mencapai sasaran defisit bajet tiga peratus pada 2015 yang akan memberi kesan terhadap penarafan hutang negara.

"Walaupun kebimbangan itu ada asas, Pacific Mutual berpandangan fleksibiliti dasar akan dilaksana bagi meminimumkan impak negatif terhadap pendapatan kerajaan," kata Huat Soon dalam kenyataan, di Kuala Lumpur hari ini.

Pacific Mutual merupakan syarikat pengurusan pelaburan di bawah OCBC Group.

Beliau berkata, syarikat percaya Petronas mempunyai keupayaan untuk meningkatkan pembayaran dividen dan mengurangkan perbelanjaan modal dengan keutamaan pemotongan terhadap projek di luar negara berbanding tempatan.

"Nasihat kami kepada pelabur sedia ada yang melabur dalam ekuiti Malaysia agar terus berpegang kepada pelaburan mereka, asalkan mereka melabur dalam syarikat terkurang nilai dengan lembaran imbangan yang kukuh dan pengurusan cekap," katanya.

Beliau berkata, saham-saham sedemikian sesuai untuk jangka panjang kerana ia berupaya mengatasi cabaran perniagaan jangka pendek, tanpa mengambil kira sektor.

"Malah, kami menasihatkan mereka akan membuat lebih banyak pelaburan ketika harga lembab dan sekarang adalah masa terbaik," kata Koh. - Bernama

0 Komentar untuk " Ekonomi kukuh di sebalik kejatuhan harga minyak "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ