Utamakan dakwah melalui teladan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Utamakan dakwah melalui teladan

BARU-baru ini, seorang rakan mengingatkan saya supaya ajak dua guru saya ketika zaman sekolah memeluk Islam. Kedua-duanya saya sifatkan sebagai cikgu yang sangat baik, yang banyak memberi inspirasi dan mempengaruhi peribadi saya.

Saya berkongsi cerita kebaikan mereka dengan kawan-kawan. Lalu seorang rakan mengingatkan, "hang kena ajak depa masuk Islam. Itu tanggungjawab hang, hang kena buat".

Ya, saya akui, berdakwah memang tanggungjawab setiap kita sebagai orang Islam.  Akan tetapi, yang jadi persoalan, apakah mengajak secara lisan itu hanya satu-satunya jalan?

Ya, mereka terlalu baik kepada saya. Apakah mereka akan terus begitu jika saya begitu sahaja menerjah kehidupan peribadi mereka dengan mengajak mereka tinggalkan agama mereka untuk memeluk Islam? Semudah itukah?

Bagi saya, apa yang dianjurkan oleh rakan saya lebih mudah untuk dicakap tetapi tidak mudah untuk dibuat. Namun ketika dia berkata begitu, saya diam sahaja dan tidak tergamak pula untuk bertanya, berapa ramai kawan-kawannya yang dia sudah Islamkan atau sekurang-kurangnya ajak masuk Islam?

Bagi saya, pada zaman ini, orang mudah mengajak orang lain melakukan kebaikan tetapi dengan cara yang memaksa atau separuh memaksa hingga apa  yang asalnya baik, terus dipandang tidak baik. Kita lupa akan konsep dakwah yang paling asas iaitu dakwah 'bil hal' atau dakwah melalui teladan, dengan menunjuk akhlak dan perbuatan yang baik hingga berupaya memikat hati orang lain untuk berasa lebih dekat dan akrab dengan kita hingga tertarik untuk bersama dengan kita dalam Islam apabila kita beritahu, apa yang baik pada diri kita, itulah yang diajar Rasulullah SAW.

Misalnya dalam hubungan dengan dua guru saya itu yang sudah saya ikat selama bertahun-tahun, apa yang akan jadi pada keakraban kami jika saya ikut cakap rakan yang mahu saya terus mengajak mereka tukar agama hanya kerana berasa "itu tanggungjawab hang, hang kena buat"?

Di sinilah perlunya kesabaran dan kebijaksanaan. Pada hemat saya, dakwah tidak boleh tergopoh-gapah.

Kita ambil iktibar daripada Nabi SAW sendiri yang selepas membantu seorang wanita tua Yahudi (yang buta) pulang ke rumahnya dari pasar, telah dipesan oleh wanita itu, "kamu orang baik. Aku nak berpesan, berhati-hatilah kamu dengan orang yang bernama Muhammad. Muhammad orangnya sangat jahat, kalau kamu jumpa dia, dia akan sihir kamu."

Nabi diam sahaja mendengar kata-kata orang tua itu. Esoknya, Nabi datang lagi. Kali ini baginda suapkan orang tua itu makanan pula dan itulah yang kemudian dilakukannya setiap hari. Dan pada setiap hari itu, baginda diulang pesan oleh wanita tua itu supaya menjauhkan diri daripada Muhammad yang menurutnya, sangat jahat!

Setelah Nabi wafat, Abu Bakr ambil alih 'tugas' baginda. Pada hari pertama lagi, wanita itu bertanya kepada Abu Bakr, "kamu ni siapa?"

Jawab Abu Bakr (untuk menguji): "Akulah orang yang menyuap makanan ke mulutmu setiap hari?"

Dibalas oleh wanita itu: "Kamu pembohong... dia menyuapku jauh lebih lembut berbanding kamu. Di mana dia? Mengapa dia tidak datang?"

Kata Abu Bakr, "sebenarnya dia sudah wafat. Aku datang untuk menggantikan tempatnya membantumu."

Wanita itu menangis sambil bertanya, "siapakah lelaki baik yang menyuapkan aku makanan setiap hari selama ini?

Dijawab oleh Abu Bakr, "dialah Muhammad bin Abdullah Rasulullah SAW".

Alangkah terkejutnya wanita itu kerana sama sekali tidak menyangka orang yang dicacinya selama ini itulah orang yang menyuapkan dia makanan setiap hari. Lalu dia pun mengucap dua kalimah syahadah disaksikan oleh Abu Bakr. Sehingga ke akhir hayatnya, tidak sekali pun Nabi secara lisan mengajak wanita itu memeluk Islam tetapi ajakan atau dakwah ditunjuk melalui akhlak yang sangat terpuji.

Dalam satu peristiwa di Jordan (saya kongsi daripada kuliah Ustaz Dusuki Abdul Rani), seorang kanak-kanak ketika mahu memasuki tandas awam, telah membaca dengan kuat doa masuk tandas. Selesai urusannya, dia keluar dan membaca doa keluar tandas pula. Tindak tanduknya menarik perhatian seorang lelaki Yahudi yang kemudian bertanya siapa yang mengajarnya doa-doa itu?

Dia menjawab, "Muhammad Rasulullah SAW"

Ikut ceritanya, lelaki Yahudi itu akhirnya memeluk Islam.

Marilah sahabat, kita ubah diri kita, keluarga kita, saudara mara kita, rakan-rakan kita dengan teladan, bukan dengan lisan semata-mata. Dahulukan dengan akhlak yang baik. Saya menangis mengenang serangan meragut nyawa 132 kanak-kanak di Peshawar kelmarin.

0 Komentar untuk " Utamakan dakwah melalui teladan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ