Keganasan bukan jalan ke syurga - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Keganasan bukan jalan ke syurga

PERISTIWA tahanan tebusan di sebuah kafe di Sydney, Australia Isnin lalu, yang dipercayai dilakukan seorang pelarian Iran, dan berakhir dengan dua kematian dan lima lain cedera, seharusnya menjadi amaran dan pengajaran kepada kita di Malaysia. Walaupun siasatan awal tidak menunjukkan kaitan dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) atau al-Qaeda, pihak berkuasa tidak boleh menolak sebarang kemungkinan.

 Seperti Malaysia, Australia adalah antara negara yang mana segelintir rakyatnya terbabit dengan perjuangan IS di Syria-Iraq. Kerajaan pimpinan Tony Abbott sedang
menguatkuasakan beberapa tindakan bagi memastikan keselamatan negara dan rakyatnya tidak dikompromi ekoran kepulangan warganegara Australia yang menganggotai IS. Di negara kita, satu akta baru berhubung anti-keganasan bakal dibentang di Parlimen sesi Mac 2015 nanti.

Semakin ramai menyertai gerakan militan IS, termasuk pemuda Islam yang menjadi rakyat beberapa negara Eropah yang pergi berperang di Syria-Iraq kerana kononnya ingin berjihad. Ini manifestasi gejolak anak muda yang ingin jadi seperti Saidina Hamzah, menjadi Ahl Badar, yang mati syahid kerana cara ini membawa ke syurga. Daripada 12,000 rakyat asing yang kononnya sudah bersama IS, dilaporkan lebih 40 adalah rakyat Malaysia, termasuk perempuan remaja yang sanggup menjadi isteri pejuang IS kerana percaya pengorbanan sebegitu akan bawa ke syurga.

Terbentuk dalam minda mereka satu persepsi atau pemikiran bahawa jalan terbaik masuk syurga ialah berjihad. Kekeliruan dan kurang kefahaman ini berpunca daripada salah tafsiran, yang kemudiannya boleh mencetus masalah berkaitan kestabilan dan keselamatan. Ada orang Islam yang bertindak ganas, menjadi jihadis atau pengebom berani mati, memerangi dan membunuh saudara seagama atas nama Islam, atau kerana ingin mati syahid untuk masuk syurga.

Tapi hakikatnya kena faham betul-betul. Jihad kalau dipupuk dengan cara yang betul akan menjadikan seseorang itu serius dan bersungguh-sungguh melaksanakan tuntutan Islam dalam segala aspek kehidupan. Tapi jika diselewengkan maknanya, ia boleh menjadi ancaman dan menyemarakkan lagi Islamophobia dalam kalangan Barat dan hanya akan meng’iya’kan label terroris pada umat Islam.

Kumpulan IS diketahui membunuh orang awam yang tidak berdosa, dan memenggal kepala tebusan. Perbuatan seperti ini atas nama Islam bukan sahaja kejam dan tidak bertamadun, malah merosakkan imej agama Islam di kaca mata dunia, lebih-lebih lagi ketika dunia Barat kian beranggapan Islam adalah agama yang menganjurkan keganasan.

Oleh kerana dalam kalangan pemuda Malaysia yang menyertai IS adalah profesional yang berpotensi menjadi aset penting negara, maka pihak berwajib perlu mengambil tindakan tegas. Ini untuk membendung mereka  daripada terjatuh dalam kancah kecelaruan yang timbul dengan takrifan dan prinsip jihad yang kini menjadi alat propaganda utama IS.

Golongan muda perlu diberi penjelasan dan pemahaman mengenai takrif jihad. Perjuangan dan pengorbanan yang diajarkan Islam tidak meliputi pengeboman berani mati dan memenggal kepala orang yang tidak berdosa atas alasan agama kerana ia dilarang keras di sisi Islam. Ini bukan jihad, dan tentunya bukan jalan masuk syurga. Sebenarnya, tidak ada jalan pintas atau special highway atau express lane ke syurga. Untuk masuk syurga tidaklah semudah itu.

Syurga dan neraka ialah destinasi terakhir kehidupan seorang manusia sebab itulah perbincangan tentang syurga dan neraka menarik perhatian ramai orang. Dulu pun, ramai yang masuk kumpulan sesat Al-Arqam kerana mahu cari jalan cepat masuk syurga. Pengikut ajaran sesat yang ramai pun begitu juga – mereka semua dijanjikan pengampunan atas dosa-dosa lama dan jalan pintas ke syurga. Sampai ada yang sanggup meratib berbogel dalam gelap sepanjang malam malah ada yang sanggup minum basuhan kaki ketua sesat mereka. Dalam politik, ada yang mengundi parti tertentu kerana dijanjikan pahala besar dan syurga.

Malaysia selaku sebuah negara majmuk perlu berwaspada terhadap sebarang ideologi berpaksikan fanatisme atau keganasan bersifat militan agar tidak menyusup ke dalam pemikiran anak muda. Malaysia menghargai dan menghormati identiti etnik setiap kaum di negara ini dan menganggapnya sebagai satu aset yang dibanggakan. Sebagai perintis ‘Gerakan Kesederhanaan Sedunia (GMM)’ yang berpaksikan pendekatan wasatiyyah, Malaysia mengutuk perjuangan melampau dan militan seperti IS yang langsung tidak mencermin atau menonjolkan kemurnian Islam yang sebenar. Berkaitan ini, Malaysia menyokong penuh Resolusi 2170 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menentang  sebarang bentuk sokongan dan bantuan kepada IS.

* Datuk Dr Mashitah Ibrahim ialah Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM)

0 Komentar untuk " Keganasan bukan jalan ke syurga "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ