Industri hotel berlandaskan syariah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Industri hotel berlandaskan syariah

SYARIKAT pengurusan perniagaan dan hotel serta resort, Biztel Sdn Bhd (Biztel) yakin industri hotel berlandaskan patuh syariah bakal berkembang pesat dalam dan luar negara.

Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Ilyas Zainol Abidin berkata, industri tersebut mempunyai masa hadapan yang cerah memandangkan terdapat perubahan dalam menyediakan hotel bagi golongan Muslim.

“Oleh itu, saya menggalakkan pengusaha hotel Muslim menerapkan konsep patuh syariah secepat mungkin dalam perniagaan mereka.

“Tetapi harus ingat, bukan hanya luaran saja patuh syariah seperti ada sejadah dan kiblat dalam hotel, tetapi penghayatannya juga perlu diterap sekali terutamanya di kalangan pekerja,” katanya ketika ditemui di Ampang, baru-baru ini.

Menurut Mohd Ilyas, kebanyakan pengusaha hotel bukan Muslim sudah mula berjinak dalam menyediakan perkhidmatan berlandaskan patuh syariah dalam menarik minat pelancong dalam mahupun luar negara.

“Saya sendiri didatangi mereka yang bukan Muslim untuk pelajari selok-belok perniagaan hotel menggunakan patuh syariah kerana mereka lihat ia mempunyai nilai komersial,” katanya.

Mohd Ilyas berkata, trend global masa kini juga semakin berubah memandangkan 1.8 bilion penduduk dunia beragama Islam dan mereka mencari hotel yang mematuhi syariah terutamanya menyediakan makanan halal.

"Saya baru balik dari Filipina dan mereka berminat menyediakan hotel berlandaskan patuh syariah bagi menarik dan memudahkan golongan Muslim berkunjung ke negara mereka.

"Ini sesuatu yang positif dan kerana itu, industri hotel patuh syariah mempunyai pasaran di luar negara dan negara-negara Eropah juga mula menyedarinya," katanya.

Cabaran ekonomi tidak beri kesan

Ditanya mengenai cabaran industri hotel akan datang dari segi ekonomi, memandangkan harga minyak tidak menentu, kejatuhan ringgit serta pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Mohd Ilyas berkata, ia tidak memberi kesan yang besar.

“Cabaran ekonomi bukanlah pertama kali berlaku di negara ini, sudah berkali-kali dan Alhamdulillah, kita dalam peringkat sederhana apabila ia terjadi memandangkan kita boleh menyasarkan pasaran besar,” katanya.

Dari segi GST, Mohd Ilyas berkata, tiada kesan besar akan berlaku terutamanya dalam industri memandangkan pengguna memang sudah membayar cukai perkhidmatan.

0 Komentar untuk " Industri hotel berlandaskan syariah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ