Terengganu tutup kedai waktu solat Jumaat tidak adil pada perniagaan, pelancongan, kata peruncit - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Terengganu tutup kedai waktu solat Jumaat tidak adil pada perniagaan, pelancongan, kata peruncit

Semua pasaraya dan pusat beli-belah di Terengganu akan ditutup 2 jam pada waktu solat Jumaat bermula Januari depan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 Disember, 2014.Tindakan kerajaan negeri Terengganu menutup pasaraya dan pusat beli-belah selama dua jam pada waktu solat Jumaat bagi mengelakkan remaja ponteng daripada menunaikan ibadat itu di masjid tidak meyakinkan ahli perniagaan dan politik.

Mereka sebaliknya berharap kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri akan mengambil contoh daripada pimpinan PAS di Kelantan yang lebih fleksibel terhadap peruncit.

Kelantan membolehkan perniagaan terus beroperasi semasa solat Jumaat selagi kakitangan beragama Islam berpeluang melaksanakan tuntutan agama mereka, tetapi Terengganu mahu menguatkuasakan penutupan semua pasaraya dan pusat beli-belah pada waktu solat Jumaat bermula 1 Januari.

Walaupun Kelantan mempunyai arahan yang sama, pihak berkuasa di sana (Kelantan) lebih kompromi, kata Richard Chan, bekas presiden Persatuan Pusat Membeli-belah dan Pengurusan Kompleks Malaysia.
Ia dibolehkan selagi pemilik perniagaan tidak menghalang kakitangan mereka daripada menunaikan solat Jumaat, katanya kepada The Malaysian Insider.

Pusat beli-belah di Kelantan juga tidak perlu ditutup sepenuhnya kerana mereka mengambil kira pengunjung bukan Islam yang masih memerlukan makan dan minum serta perkhidmatan lain, katanya.

Oleh itu, banyak perniagaan masih dibenarkan beroperasi pada waktu solat.

Chan berkata, beliau berharap Terengganu boleh menggunakan pendekatan lebih fleksibel sebagaimana yang diamalkan Kelantan, terutama apabila Terengganu dikenali dengan pantai dan pulau peranginan popular dan mempunyai ramai pelancong datang ke negeri itu.

"Malaysia adalah negara berbilang budaya, jadi mungkin terdapat keperluan untuk mengkaji keperluan bukan Islam yang masih mahu beli-belah dan makan pada tengahari Jumaat," katanya.

Beliau berkata, tidak betul menyekat pekerja Islam daripada menunaikan solat Jumaat semata-mata untuk memastikan perniagaan mereka terus dibuka.

"Itu tidak adil kepada pekerja Islam, tetapi selain daripada itu, perlu ada fleksibiliti,"katanya.

Chan berkata pengusaha pusat beli-belah tidak boleh menutup pusat begitu saja kecuali mendapat arahan terus daripada pihak berkuasa, kerana mereka menandatangani perjanjian dengan penyewa mereka.

Seorang peruncit yang berniaga di Kota Baru sejak sedekad lalu herkata beliau dan peniaga lain bertemu bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila kerajaan negeri mengeluarkan peraturan yang sama agar perniagaan ditutup semasa solat Jumaat.

"MB berkata jika pusat membeli ditutup, belia tidak akan berada di sana.

"Tetapi apabila kita bertanya kepadanya, adakah ia bermakna mereka akan pergi solat, dia berkata tidak, tidak semestinya.

"Oleh itu, kami berkompromi dan berkata kami akan tutup separuh dalam sejam dan dia bersetuju, dengan sangat rela, terutamanya apabila kita beritahu orang bukan Islam masih mahu membeli-belah dan makan," kata ahli perniagaan yang enggan namanya disiarkan.

Kelantan, bagaimanapun, pada Oktober lalu mengumumkan akan mula menguatkuasakan undang-undang kecil yang menjadikan satu kesalahan bagi lelaki Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat selama tiga minggu berturut-turut. Hukumannya penjara sehingga setahun atau denda RM1,000.

Pada 9 Disember, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abd Rahman mengumumkan di Dewan Undangan Negeri exco kerajaan negeri meluluskan penutupan premis pusat beli-belah di negeri ini selama dua jam dari 12.30 tengah hari pada hari Jumaat.

Peraturan itu akan mula berkuatkuasa pada 1 Januari dan pihak berkuasa tempatan di negeri itu akan meminda undang-undang kecil mengenainya, katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan MCA Terengganu Datuk Toh Chin Yaw, bagaimanapun terkejut dengan rancangan itu dan berkata ia tidak adil untuk perniaga.

Beliau berkata, aktiviti perniagaan perlu diasingkan daripada keperluan agama, sambil menambah lebih baik pihak berkuasa menasihat peniaga bekerjasama bagi memastikan orang Islam melaksanakan arahan agamanya daripada memaksa penutupan.

"Akhirnya, terserah kepada pengendali pusat beli-belah untuk membuat keputusan sama ada untuk tutup atau tidak.

"Selagi operasi perniagaan itu tidak mengganggu ibadah di masjid, ia seharusnya bergantung kepada pengendali perniagaan sama ada untuk membuka atau sebaliknya," kata Toh kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata pendekatan yang lebih baik untuk menangani isu belia melepak adalah mewujudkan kesedaran melalui pendidikan agama.

Beliau berkata walaupun pasar raya ditutup, belia ini boleh pergi ke kawasan lain untuk melepak, termasuk pantai.

"Malaysia mempunyai banyak kaedah dan peraturan, tetapi kekurangan penguatkuasaan.

"Oleh itu, apabila mereka menutup pasar raya dan tidak mencapai apa yang mereka ingini, apa yang mereka akan tutup seterusnya?" katanya.

Ahli Parlimen PAS itu berkata peraturan ini fleksibel di Kelantan, di mana peniaga dinasihatkan membenarkan pekerja beragama Islam pergi solat Jumaat.

Toh yang bersetuju dengan Raja Kamarul berkata masalah ini bukan dengan peniaga dan isu belia melepak tidak akan diselesaikan dengan menutup premis pusat beli-belah semasa waktu solat.

"Isunya ialah pendidikan, mereka perlu diberi kesedaran tentang kewajipan agama.

"Kerajaan negeri tidak boleh memaksa pengendali perniagaan menutup kedai mereka dengan harapan ia akan menghalang belia daripada melepak. Ia tidak adil," kata Toh.

Presiden Dewan Perniagaan Cina Terengganu, Datuk Low Kian Chuan mahu meletak jawatan, bagaimanapun maklum balas negatif kepada kerajaan negeri mengubah fikirannya.

Katanya, penutupan itu perlu diterima untuk memenuhi keperluan penduduk majoriti Islam.

"Terengganu adalah negeri majoriti Islam, dan pada waktu solat mereka, mereka mahu menghentikan aktiviti lain supaya orang Islam boleh ke masjid.

"Kita perlu menghormatinya, ini adalah pendapat peribadi saya," katanya.

Low berkata beliau akan mendapatkan maklum balas daripada ahli dewan itu sama ada peraturan itu akan menjejaskan perniagaan mereka atau tidak. – 18 Disember, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/terengganu-tutup-kedai-waktu-solat-jumaat-tidak-adil-pada-perniagaan-pelanc#sthash.S5nULVeV.dpuf
0 Komentar untuk " Terengganu tutup kedai waktu solat Jumaat tidak adil pada perniagaan, pelancongan, kata peruncit "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ