Selagi hidup tiada persaraan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Selagi hidup tiada persaraan

SUATU pagi seminggu yang lalu, saya telefon seorang rakan, tanya khabar. ALLAH menetapkan supaya berjumpa hari itu juga. Rakan saya memberitahu dia sedang bersiap untuk ke pejabat dan itu adalah hari terakhir dia bekerja kerana dia sudah memilih untuk bersara awal.

Saya mengambil peluang untuk menemuinya di pejabatnya hari itu, tetapi apabila tiba di kawasan bangunan pejabatnya, saya dapati rupa-rupanya yang bersara awal bukanlah dia seorang.
Ramai rakan lain turut bersara awal.

Mereka adalah antara hampir 500 staf yang bersara hari itu di bawah satu skim di mana mereka diterima berhenti kerja dengan dibayar majikan berdasarkan tempoh perkhidmatan masing-masing.

Ada yang saya dengar terima bayaran hampir setengah juta ringgit. Saya diberitahu beberapa orang baru sahaja berkhidmat selama kira-kira tiga tahun pun diterima untuk berhenti. Mungkin mereka ini tidaklah terima sebanyak mana. Wallahualam.

Banyaklah cerita saya dengar tentang rancangan masa depan daripada rakan-rakan yang berhenti itu sebelum dan selepas majlis perpisahan tersebut.

Ada yang, setelah berkhidmat lebih 30 tahun, mahu melancong sambil melupakan soal kerja, ada yang mahu tunaikan umrah, ada yang menanam azam menyusun jadual supaya dapat menggunakan waktu kualiti dengan keluarga, ada yang berhasrat menumpukan kepada perniagaan yang sudah diwujudkan sebelum bersara, ada yang berhenti kerana masalah kesihatan dan ada pula yang masih tidak tahu apa yang mahu dilakukan selepas itu.

Apakah mereka akan mencapai apa yang mereka cita-citakan, wallahualam. Makhluk hanya mampu merancang dan berusaha, ALLAH yang menentukan segala-galanya.

Apa pun, saya tumpang bergembira, berdoa dan berharap mereka berjaya dalam menempuh cabaran serta ujian yang bakal mereka tempuhi. Kata orang, sahabat itu seperti sebuah buku. Anda perlukan beberapa saat sahaja untuk membakarnya, tetapi mengambil masa panjang untuk menulisnya.

Sebenarnya, apa yang rakan-rakan saya lalui itu sudah pun saya alami 10 tahun lalu. Saya pun menanam azam selepas berhenti, mahu guna waktu secara berkualiti, mahu tunai umrah, mahu buat itu dan ini. Cuma yang saya tidak mahu buat kononnya adalah bekerja dalam tempoh yang singkat; maknanya mahu cuti panjang.

Seminggu masih ok lagi, berjoging selepas Subuh, balik kampung tiga empat hari, ziarah saudara-mara dan kawan-kawan lama di kampung; lupa hal kerja dan yang berkaitan dengannya buat seketika.

Tetapi rupa-rupanya, saya tidak boleh bertahan lama. Empat belas hari selepas berhenti kerja, saya hubungi seorang sahabat di sebuah agensi. "Dua minggu melepak, aku dah rasa bingung. Kalau dua bulan, rasanya aku boleh jadi gila," saya merungut, separuh bergurau, separuh serius. Keesokan harinya, saya sudah berada di pejabat sumber manusia agensi itu.

Beberapa rakan anggap saya gila kerja dan ada yang tuduh materialistik. Apa-apa sajalah! Yang menjadi perhitungan sebenarnya adalah saya dan sesiapa sahaja perlu persiapkan diri kerana masing-masing akan berhadapan dengan ALLAH untuk menjawabnya.

Yang paling utama adalah saya perlu membentangkan di hadapan-NYA apa yang saya lakukan. Tiada yang mampu membantu apabila sampai masanya.

Apakah waktu yang ALLAH berikan patut digunakan untuk berehat di rumah? Berulang-alik ke masjid dan surau lima kali sehari? Melancong melihat ciptaan ALLAH, terus mencari rezeki untuk keluarga dan membantu mereka yang memerlukan sekadar mampu?

Apakah perlu bersara untuk melakukan amal kebaikan? Atau apakah dengan terus bekerja masih dapat memberi khidmat dan sumbangan? Sebenarnya, dunia ini bukan tempat bersara.

Teringat sebahagian daripada apa yang dikatakan ahli teologi Imam Hasan al-Basri: "Mari terus berbuat baik, berniat baik, berkata yang baik-baik, meskipun tidak ramai yang mengenali-mu dan tidak suka dengan nasihat-mu.

Cukuplah ALLAH yang mengenali-mu lebih daripada makhluk." Antara apa yang dikatakan oleh Ibnu Mas'ud ra: "Sahabat-sahabatku, waktu yang ku kesali adalah jika pagi hingga matahari terbenam, amal ku tidak bertambah sedikit pun, padahal aku tahu saat ini umur ku semakin kurang!"

0 Komentar untuk " Selagi hidup tiada persaraan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ