Sedia terima padah laksana hudud, kata Wanita DAP kepada Kelantan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sedia terima padah laksana hudud, kata Wanita DAP kepada Kelantan

Percubaan kerajaan PAS Kelantan melaksanakan hudud terus mendapat tentangan daripada pelbagai pihak termasuk sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat, DAP dan PKR. – Gambar fail The Malaysian Insider, 27 Disember, 2014.
Wanita DAP mengingatkan kerajaan negeri Kelantan agar bersedia menanggung akibat jika hudud dilaksanakan di negeri itu kerana tidak semua bersetuju dengan pelaksanaan hukum Islam itu.

Tanpa menyebut apakah padah yang bakal ditanggung Kelantan, ketuanya Chong Eng (gambar) mendakwa hudud ialah satu set perundangan yang tidak lagi sesuai diamalkan di zaman ini dan peruntukan undang-undang sedia ada sudah cukup memberi keadilan kepada rakyat Malaysia.

“Mereka ada hak dan kebebasan untuk membawanya ke Parlimen, tetapi mereka juga perlu bersedia menghadapi akibat. Apa jua yang dibuat pasti ada kesan.

“Kita sudah ada sistem perundangan yang boleh menjaga dan membela keadilan. Itu pun sudah cukup. Malaysia bukan sebuah negara yang semuanya Islam. Orang Islam pun bukan semua setuju,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insider di Subang Jaya baru-baru ini.
Minggu lalu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan akan mengadakan satu sidang khas pada Isnin bagi mengemukakan pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993.

"Pindaan ini semata-mata untuk melayakkan kita membawa Rang Undang-undang Persendirian ke Parlimen di mana kita merujuk kepada Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan.

"Mengikut Perkara 76A, kerajaan negeri boleh melaksanakan undang-undang berkenaan selepas mendapat kebenaran Parlimen," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Chong menyeru orang ramai menyatakan pendirian yang hudud tidak lagi sesuai diamalkan pada zaman ini.

Beliau juga berkata, dengan pelaksanaan hukum Islam itu, pengundi di atas pagar akan menyatakan pendirian mereka untuk tidak mengundi PAS pada pilihan raya akan datang.

“Semua yang berfikiran zaman ini tak sesuai untuk hudud. Mari kita sama-sama suarakan. PAS boleh menyuarakan hasrat mereka tetapi yang lain juga perlu menyuarakan hasrat yang tidak sama. Kita tengok siapa yang lebih banyak.

“PAS ikut PAS. DAP ikut DAP. Setiap parti ada penyokong masing-masing dan akhirnya yang menentukan ialah mereka yang tidak mengikut parti serta mengikut fikiran sendiri. Golongan ini tidak akan menyokong hudud,” katanya.

Sementara itu, Dewan Muslimat PAS berkata wakil kerajaan negeri Kelantan perlu bersedia memberi penjelasan kepada ahli Parlimen apabila rang undang-undang persendirian itu dibentangkan di Dewan Rakyat.

Timbalan ketuanya, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, hasrat kerajaan negeri Kelantan itu perlu dihormati namun lebih banyak sesi penerangan perlu diadakan agar pelbagai persoalan dapat dijawab.

“Kelantan perlu membentangkan keseluruhannya kepada ahli Parlimen untuk kita lihat dan perlu bersedia untuk menjawab soalan kami.

“Apa-apa proses perundangan pun, ia perlu jalan dulu. Kemudian kalau ada kelemahan, dipinda. Kita tidak boleh tolak terus begitu. Kita perlu dengar dan beri maklum balas. Apa-apa kekhuatiran, kita perlu luahkan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Mariah berkata, proses perundingan antara parti dalam Pakatan Rakyat (PR) sebenarnya tidak mencukupi.

"PR berkeras. Kelantan pula berasa mereka di luar tidak memahami apa yang mereka lakukan tetapi pada masa sama, Kelantan tidak mengambil usaha memberi penjelasan dan mengatasi ketakutan,” katanya.

Katanya, umat Islam perlu yakin yang hudud tidak menganiaya pesalah tetapi mereka yang menguatkuasakan undang-undang itu yang mungkin tidak mengikut garis panduan sebenar Islam.

Disebabkan kurang maklumat katanya, sayap wanita parti Islam itu mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum memberikan sebarang hujahan lanjut.

"Dalam hukum syariat Islam, tiada maksud menganiaya tetapi interpretasi dan kefahaman apa yang dikehendaki Islam, iaitu keadilan, mungkin ada kelemahan.

“Bila bercakap tentang undang-undang syariah, terutama undang-undang jenayah, ramai melihat ke Pakistan, Aceh dan Nigeria. Kita pun tak dapat keseluruhan gambaran apa yang berlaku di sana.

“Kita cuma dapatkan dalam akhbar atau berita dunia, satu kes dan itu laporannya. Kita tak dapat laporan daripada kedua-dua belah pihak,” katanya sambil mengakui beliau menghargai dan mendengar kerisauan wanita tentang kemungkinan berlaku penganiayaan. – 27 Disember, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/sedia-terima-padah-laksana-hudud-kata-wanita-dap-kepada-kelantan#sthash.30qWUegr.dpuf
0 Komentar untuk " Sedia terima padah laksana hudud, kata Wanita DAP kepada Kelantan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ