Menerapkan tanggungjawab sosial - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Menerapkan tanggungjawab sosial

MEMBANTU memudahkan urusan individu atau pihak yang memerlukan antara fokus Pertubuhan Pembela Nusa Kuala Lumpur & Selangor atau nama ringkasnya Bela Malaysia.

Bela Malaysia ditubuhkan kira-kira dua tahun yang lepas iaitu (9 September 2013) di bawah Akta Pertubuhan 1966. Walaupun, Bela Malaysia boleh dikatakan masih di usia muda, namun banyak aktivitinya menjurus dalam menerapkan budaya tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat selain turut menyokong usaha kerajaan dalam strategi lautan biru kebangsaan menerusi aktiviti tanggungjawab korporat.

Bela Malaysia dirasmikan oleh bekas perdana menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamed tanggal 12 Oktober 2013.

Bantu jana pendapatan

Bela Malaysia juga mempunyai teras untuk membangunkan sosio ekonomi dan pendidikan insan istimewa seperti fakir, miskin, orang kurang upaya (OKU), anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal, pesakit kronik, gelandangan dan lain-lain.

Presidennya, Abdul Halem Mat Som berkata,  selain daripada memberikan bantuan kewangan, Bela Malaysia turut berperanan dalam memberikan khidmat nasihat perniagaan kepada ibu tunggal dan pihak serta individu yang mempunyai potensi dalam bidang perniagaan.

"Khidmat yang diberikan sukarelawan Bela Malaysia adalah untuk menjana pendapatan golongan ini sekali gus membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih baik dari semasa ke semasa.

"Perkara yang dilakukan ini adalah sebahagian daripada inti pati diusahakan Bela Malaysia khas untuk golongan sasar ini meningkatkan taraf hidup mereka," katanya kepada Rehal.

Menurutnya, selain melaksanakan program kemasyarakatan dan bantuan kepada golongan yang memerlukan, Bela Malaysia juga komited dan fokus dalam  memperkenalkan serta menghasilkan satu set lengkap pengurusan jenazah yang dikenali sebagai infaq-kembali.

Set lengkap pengurusan jenazah adalah untuk memudahkan pihak masjid, jawatankuasa khairat kematian atau pihak hospital dalam menyediakan segala keperluan pengurusan jenazah agar menjadi lebih mudah cekap dan sempurna menerusi penglibatan syarikat korporat, organisasi atau individu yang berminat untuk menginfaqkan sebahagian daripada harta dengan cara membeli set lengkap pengurusan jenazah untuk disumbangkan kepada masjid, surau mahupun hospital dalam memenuhi tuntutan fardu kifayah.

Platform artis bergabung

Bela Malaysia turut dianggotai golongan selebriti terdiri daripada artis popular tanah air seperti Harun Salim Bachik dan Datuk Nash yang turut berperanan sebagai duta rasmi kepada pertubuhan bukan kerajaan ini.

"Bela Malaysia memberi peluang kepada golongan ini untuk turut menyumbang  dan memberi sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat yang memerlukan. Keadaan ini sekali gus mencerminkan golongan selebriti bukan hanya pandai menghiburkan tetapi turut menyokong dan berkongsi keperitan pihak dibantu.

"Tanggapan artis hanya pandai bergaya dan bermacam lagi sebenarnya salah sama sekali. Sebenarnya artis boleh dikatakan turut menyumbang banyak kepentingan kepada Bela Malaysia. Dengan menyertai Bela Malaysia mereka berganding bahu untuk meringankan beban golongan sepatutnya," kata Abdul Halem lagi.

Menurutnya, masyarakat terutamanya peminat tega seseorang artis itu pasti akan meniru setiap perbuatan yang dilakukan bintang pujaan mereka. Kerana itu, setinggi mana pun pencapaian seseorang selebriti, sepatutnya dia perlu tunduk bak kata pepatah bawa resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

0 Komentar untuk " Menerapkan tanggungjawab sosial "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ