Putrajaya tidak harus tentukan kepercayaan umat Islam, kata Reza Aslan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Putrajaya tidak harus tentukan kepercayaan umat Islam, kata Reza Aslan

Reza Aslan berpendapat pihak berkuasa agama tidak perlu wujud secara berpusat di negara-negara yang mengamalkan ajaran Islam kerana ia umpama merampas kuasa daripada Nabi Muhammad. – Gambar wikimedia.org, 22 Disember, 2014.Putrajaya bertindakan seperti "ibu bapa" dan bukan kerajaan yang dipilih apabila mengharamkan penggunaan perkataan "Allah" di kalangan bukan Islam dan menetapkan bagaimana umat Islam Malaysia perlu mengamalkan kepercayaan mereka, kata ahli teologi terkemuka Iran-Amerika, Reza Aslan.

Bagi beliau, pihak berkuasa agama tidak perlu wujud secara berpusat di negara-negara yang mengamalkan ajaran Islam kerana ia umpama merampas kuasa daripada Nabi Muhammad.

"Islam membenarkan saya mengikuti mana-mana mufti yang saya suka. Kita tidak mempunyai pope, kita tidak mempunyai biskop yang memberitahu apa yang boleh kita lakukan.

"Tanggapan sekumpulan lelaki berusia boleh membuat keputusan untuk saya atau bagi anda, apa makna sebenar kepercayaan saya, ia sebenarnya bertentangan dengan sifat Islam," kata Reza kepada The Malaysian Insider dalam satu temu bual melalui telefon.
Beliau mempertikaikan mengapa Malaysia hanya membenarkan satu versi (mazhab dan pemikiran) Islam untuk rakyatnya sedangkan Islam terkenal dengan agama paling banyak versi di dunia ini.

Oktober lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menetapkan mazhab rasmi Islam di Malaysia adalah Shafie ekoran program "I want to touch a dog' yang kemudiannya didapati disukai sebahagian umat Islam.

Kesemua empat mazhab ahli Sunnah wal Jamaah mempunyai pandangan berbeza tentang menyentuh anjing tetapi Shafei menetapkan umat Islam tidak boleh menyentuhnya dengan sengaja tanpa tujuan kerana anjing adalah najis.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Osman Mustapha berkata, menjadi tugas jabatan itu untuk memastikan umat Islam di negara ini hanya mengamalkan Islam berdasarkan mazhab Shafei.

"Sesiapa yang berkata hanya ada satu versi tingkah laku atau ideologi atau prinsip moral Islam, mereka bercakap kerana kejahilan semata-mata," kata Reza.

"Buka mata dan lihat bagaimana setengah bilion umat Islam hidup di seluruh dunia. Lihatlah kepelbagaian budaya dan pentafsiran Al Quran, dan kemudian beritahu saya 99.9% daripada umat Islam yang tidak berfikir sebagaimana anda, yang tidak rasa apa yang anda rasa, bukan beragama Islam. Yang hanya anda dan versi anda sahaja yang betul.

"Saya mahu berada di sana apabila mereka menghadap Pencipta dan menerangkan kepadaNya kenyataan 99.9% daripada umat Islam adalah salah dan mereka sahaja yang betul."

Reza berkata, kerajaan tentu mempunyai idea sangat “dahsyat” daripada rakyatnya sendiri jika mereka terpaksa mengharamkan orang bukan Islam daripada menggunakan perkataan "Allah" kerana bimbang ia membawa kesesatan kepada umat Islam.

"Bahagian paling menyakitkan hati tentang keputusan mahkamah ini adalah pandangan umat Islam Malaysia tidak canggih, tidak matang dan kebudak-budakan sehingga penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian boleh menyebabkan seorang Muslim berhenti mempercayai Islam dan menjadi seorang Kristian." – 22 Disember, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/putrajaya-tidak-harus-tentukan-kepercayaan-umat-islam-kata-reza-aslan#sthash.UfB5K6jV.dpuf
0 Komentar untuk " Putrajaya tidak harus tentukan kepercayaan umat Islam, kata Reza Aslan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ