Tinggal politik perkauman kuatkan Melayu, kata Zaid Ibrahim - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tinggal politik perkauman kuatkan Melayu, kata Zaid Ibrahim

Datuk Zaid Ibrahim berkata pilihan politik yang diambil masyarakat Melayu amat penting bagi menentukan pembangunan demokrasi yang subur di negara ini dan perlu berani bersuara bagi menuntut kesederhanaan serta toleransi agama. – Gambar fail The Malaysian Insider, 21 Disember, 2014.

Orang Melayu di negara ini hanya akan menjadi lebih kuat apabila mereka bersedia meninggalkan politik berteraskan perkauman dan agama, kata bekas menteri Umno Datuk Zaid Ibrahim.

Melalui blog miliknya "The ZaidGeist", beliau berkata pilihan politik yang diambil masyarakat Melayu juga amat penting bagi menentukan pembangunan demokrasi yang subur di negara ini.

"Rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu perlu berani bersuara bagi menuntut kesederhanaan dan toleransi agama.

"Mereka tidak boleh hanya menantikan undang-undang autoritarian akan lenyap tanpa sebarang keberanian dan pengorbanan," katanya, dipetik laman blognya bertajuk "Good Friday di Jakarta."
"Kebebasan umpama sarapan pagi, ada harga yang perlu dibayar," tambahnya.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam dilaporkan berkata, perpecahan antara kumpulan Melayu melemahkan kedudukan bangsa itu dalam politik menyebabkan mereka terpaksa merayu daripada bangsa lain untuk terus kekal berkuasa.

Dr Mahathir berkata, meskipun komuniti Melayu membentuk sejumlah 60% daripada keseluruhan populasi di negara ini, bangsa itu seharusnya mempunyai kuasa politik untuk memerintah, namun kuasa itu katanya kini semakin lemah.

"Sekarang Umno, PKR, dan PAS terpaksa merayu kepada DAP untuk menang pilihan raya. Apabila kita menjadi pengemis, kita tidak lagi ada kuasa," katanya ketika berucap di Program Kepimpinan Belia di Kuala Lumpur, semalam.

Malah, beliau yang berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun turut memberi amaran, walaupun Malaysia mencapai status negara maju, Melayu akan terus ketinggalan dan itulah nasib bangsa tersebut hari ini.

Zaid berkata, jika orang Melayu berupaya membuat perubahan dan memilih parti yang menjadikan kerajaan memerintah lebih baik, berbanding cenderung memilih parti yang hanya mempertahankan kaum dan agama, mereka akan berjaya.

"Mereka perlu bersedia meninggalkan keselesaan parti politik berteraskan kaum dan agama, jika itu berlaku, ia menandakan pemulaan baru untuk kita," tambahnya.

Susulan kenyataan Dr Mahathir itu, veteran DAP Lim Kit Siang hari ini membuat cabaran terbuka kepada beliau untuk berdebat atas isu berkenaan kerana menurutnya, pemimpin yang masih berpengaruh dalam Umno itu khuatir, elemen "Mahathirisme" dalam Umno kini semakin berkurangan.

"Apakah Dr Mahathir bernar-benar percaya dengan sampah seperti itu, selepas 57 tahun pemerintahan kerajaan Umno dan enam perdana menteri Umno – dengan beliau memerintah selama 22 tahun atau 39% daripada 57 tahun ini sebagai perdana menteri keempat – Melayu kehilangan kuasa politik dan tepaksa mengemis di tanah air sendiri?" kata Kit Siang, dalam kenyataannya.

"Jika benar, itu adalah alasan kukuh orang Melayu dan rakyat Malaysia untuk menyingkirkan Umno dari Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14, supaya tiada lagi kegagalan selama 57 tahun ini," katanya.

Kit Siang berkata, beliau turut menantikan jawapan Dr Mahathir terhadap cabarannya itu kerana kenyataan beliau tidak selari dengan realiti hari ini.

Kit Siang dalam kenyataannya turut mengingatkan Dr Mahathir, sebagai mantan perdana menteri, beliau seharusnya memberikan pengaruh yang membina untuk kehidupan serta politik di Malaysia. – 21 Disember, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tinggal-politik-perkauman-kuatkan-melayu-kata-zaid-ibrahim#sthash.wRAEN0aK.dpuf
0 Komentar untuk " Tinggal politik perkauman kuatkan Melayu, kata Zaid Ibrahim "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ