Prospek dalam tahun baharu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Prospek dalam tahun baharu

KUALA LUMPUR 20 Disember: Dua belas hari lagi mata hari terbit menyambut Tahun Baharu Masihi 2015. Dalam tahun ini kita menyambut perayaan Maulud, hari keputeraan Nabi Muhammad SAW, dua kali - 3 Januari dan 24 Disember. Panjang umur saya 78 tahun 4 Julai; berdoa dapat hidup lama lagi dan sihat walafiat serta murah rezeki kerana banyak lagi urusan belum selesai.

Pada tahun 2014, kita telah menyaksikan beberapa peristiwa,  di dalam dan di luar negara - kebanyakan tidak menunjuk, tidak memperlihatkan masa depan yang cerah, namun dalam perasaan kecewa pun, saya tengok ada juga tanda kesejahteraan dan kegembiraan (joy) menanti kita jika dunia bertindak waras secara kolektif.

Buka peti televisyen, baca akhbar kita lihat dan dengar pemimpin tertentu saja menguasai dan mendominasi berita pada hal dalam alam juga di negara kita ramai rakyat jelata - mereka yang tidak terkenal, mereka yang tiada wajah atau yang faceless.

Mereka inilah sebenarnya cerita, kisah hidup; tanpa mereka tiada peristiwa, tiada kejadian, tiada story; merekalah mewarnakan kehidupan dan kematian atau life - and - death.

Golongan liberal Melayu Islam, disokong kuat oleh liberal, pelampau, chauvinis dan korporat bukan Melayu dengan segala kekuatan dan pengaruh mereka, mahu negara ini terus sekular dan kalau boleh sekularisme itu diperkuatkan lagi manakala kumpulan ulama dan konservatif Melayu Islam pula ingin sangat Malaysia ditadbir di bawah undang-undang syariah dan berperanan sebuah negara Islam kerana mengikut mereka 86 peratus Melayu Islam mahu demikian.

Lagipun penduduk Malaysia sekarang majoriti Melayu Islam. Kedua belah, nampaknya, bersemangat menegakkan pendapat dan pendirian masing-masing. Alangkah baiknya jika masa, fikiran, semangat dan enthusiasme yang sama ditumpu juga pada isu yang lebih relevan - amanah, cekap, bersih, jurang yang makin lebar antara kaya dan miskin; jenayah, rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan kedudukan ekonomi wilayah dan komuniti yang tidak seimbang.

Kekayaan negara terus jadi monopoli satu puak dan golongan tertentu sahaja.

Jika ketidakseimbangan ini, rasuah dan jenayah tidak dimusuhi secara serius dan adil serta tanpa takut dan segan, maka isu bangsa, agama dan ekonomi akan menjadi lebih tegang, makin kritikal, akhirnya meletup.

Kita telah melalui pengalaman pra Peristiwa 13 Mei 1969.  Bertindaklah dan menguruskan ini dengan baik sebelum terlewat. Isu hangat agama, liberalisme dan konservatisme, sekularisme dan fundamentalisme mesti diurus dan ditangani segera dan dengan cermat bagi menghindari kemungkinan peristiwa berdarah berlaku.

Sekarang, suka-duka, Malaysia dianggap oleh dunia sebagai sebuah model negara Islam moden walaupun ciri-ciri Islam tidak ketara dan nyata selain dari lahiriah - bertambah banyak bilangan masjid sebagai skyline serta architecture Moorish/Islam.

Bagaimana pula dengan keamanan, keadilan, pendidikan yang berkualiti, perkhidmatan awam yang cekap, amanah, bersih, adil dan saksama; kemudahan kesejahteraan rakyat yang sempurna dan bermutu, alam sekitar yang segar dan kebersihan sebahagian dari iman dan governance? Bagaimana pula dengan sifat yang intangible atau sifat yang tidak ada fizikal atau tidak kelihatan ketara?

Dari silam lagi hingga hari ini, hubungan orang Melayu dengan  Islam amat erat, tetapi majoriti orang kita dalam erti kata sebenar - maaflah saya berterus-terang - hanya Islam pada nama mengikut Perlembagaan dan dalam statistik! Kita gagal menghayati Islam atau dalam kata moden immersesasikan, yakni membenamkan diri sepenuhnya dalam ajaran dan tamadun Islam.

Diharap dalam tahun baharu Melayu Islam akan berubah, lebih berani membela agama, bahasa, tamadun dan kebudayaan mereka dalam konteks sebuah negara majmuk. Lebih rajin, lebih berusaha mengejar ilmu dan kesejahteraan hidup sesuai dengan tuntutan zaman dalam tanah air sendiri!.

Kedudukan ekonomi dunia dan juga Malaysia dijangka tidak begitu cerah tahun depan. Kalau isu agama dan bangsa terus genting, terus dipolitikkan tanpa had dan tidak diselesaikan segera, ekonomi kita akan terbantut, wang akan mengalir keluar dan modal luar tidak masuk. Rakyat susah kerana kehidupan jadi makin sempit.

Pada peringkat individu dan keluarga, saya suka lihat Melayu  Islam juga rakyat Malaysia keturunan lain berbaik sangka dan hidup harmoni antara satu sama lain, kerja kuat mencari rezeki, mendidik anak-anak secara serius dalam tiga bahasa - Melayu, Inggeris dan bahasa ibunda - untuk memberi mereka persediaan menghadapi cabaran masa kemuka yang makin kompleks. Mulalah dengan menukar minda dan hati dalam tahun baharu. Lebih positif dan lebih optimis.

Pada 14 Januari, Tun Razak, kalau beliau hidup umurnya 93 tahun, telah meninggalkan kita selama 39 tahun waktu berusia 54 tahun. Tunku Abdul Rahman Putra, kalau beliau hidup berusia 112 tahun, telah kembali ke Rahmatullah 6 Disember 1990 tatkala berusia 87 tahun.

Secara ikhlas saya bertanya berapa ramai rakyat Malaysia, bahkan pemimpin dan ahli Umno mengenang kedua tokoh agung Melayu/Malaysia ini? Sedih. Amat memalukan - tiada hari hol, tiada tahlil, tiada upacara peringatan oleh parti apalagi oleh negara.  Mohon sedekah  Al-Fatihah  kepada kedua tokoh Melayu Islam ini. AL-FATIHAH.

Dua buku baharu akan diterbitkan awal 2015 - Dr Mahathir’s Selected Letters to World Leaders, Volume 2 dan Conversation with Tunku. Sila ambil perhatian, terutama mereka yang suka membaca dan mahu mengetahui sejarah politik, diplomasi juga politik domestik moden kita. Semua yang disebut oleh Tunku tentang personaliti dan peristiwa belum pernah didedahkan lagi. Begitu juga surat-menyurat antara Lee Kuan Yew dan Dr Mahathir.


Seribu bahasa kita bicara
Masakan sama bahasa bonda - Usman Awang

0 Komentar untuk " Prospek dalam tahun baharu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ