Kenapa ponteng solat Jumaat? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kenapa ponteng solat Jumaat?

SEPERTI yang diumumkan dalam Dun Terengganu 9 Disember, kerajaan negeri meluluskan penutupan premis pusat beli-belah di Negeri Penyu itu selama dua jam dari 12.30 tengah hari pada Jumaat.

Menurut Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman peraturan itu akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2015, dan pihak berkuasa tempatan akan meminda undang-undang kecil mengenainya.

Ada pihak tidak bersetuju dengan keputusan tersebut. Pengerusi Badan Perhubungan MCA Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw berkata, rancangan itu tidak adil untuk peniaga.

Katanya, seperti yang dilaporkan media: “Aktiviti perniagaan perlu diasingkan daripada keperluan agama. Selagi operasi perniagaan itu tidak mengganggu ibadah di masjid, ia seharusnya dibenarkan.”

Walaupun ditutup hanya dua jam, bagi peniaga bukan Islam, itu besar ertinya. Dalam masa dua jam mungkin boleh menjana pendapatan besar. Maka, wajarkah mereka dihalang berniaga ketika orang menunaikan solat Jumaat?


*SEPERTI yang dijelaskan sebelum ini, salah satu alasan kerajaan negeri meluluskan penutupan itu ialah bagi mengelakkan remaja ponteng daripada menunaikan solat Jumaat.

Tetapi apakah langkah itu betul-betul berkesan untuk menarik orang berjemaah di masjid?

Bagi mereka yang malas solat Jumaat, kalau tutup pasar raya pun mereka tidak ke masjid, sebab mereka boleh melepak di tempat-tempat awam lain seperti di tepi pantai, di stesen bas dan sebagainya.

Maka bersetujulah saya dengan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad bahawa pendekatan yang lebih baik untuk menangani isu belia melepak dan ponteng solat adalah mewujudkan kesedaran melalui pendidikan agama.

Apabila kita menutup pasar raya dan ternyata tidak mencapai apa yang kita ingini, apa yang kita akan tutup seterusnya?” tanya Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu.


*BELUM lambat untuk saya mengucapkan selamat pengantin baharu kepada pasangan Muhd Muaz Mislan dan Nur Izzati Amiera Ishak, yang diijab kabul hujung November lalu.

Pengantin dari Kluang, Johor ini mencatat sejarah sebagai antara pasangan paling muda mengakhiri zaman bujang – si suami baru berusia 15 tahun, sementara isterinya 17 tahun.

Masih dalam tempoh bulan madu, suka saya menyebut petua kerukunan rumah tangga kepada pasangan muda ini. Antara petua menarik itu – seperti yang disiarkan media – datangnya daripada seorang VVIP, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketika berucap pada satu majlis anjuran MCA baru-baru ini, isteri Perdana Menteri itu menasihatkan para isteri supaya menggunakan ‘pendekatan lembut’ dan kuasa memujuk untuk memikat suami.

Beliau berpesan: “Jangan minta banyak sangat. Jangan minta, saya mahu itu, saya mahu ini. Lelaki tidak suka, betul tak.”

Kata Rosmah lagi, isteri ada ‘senjata rahsia’ untuk memujuk suami: “Kita ada senjata rahsia, jadi gunakanlah sebaiknya...” Bukan sahaja untuk pasangan muda Muaz dan Izzati, pada hemat saya nasihat ikhlas Kak Ros tentang senjata rahsia itu boleh dicuba juga oleh pasangan tua. Jom!


*AKHIR kalam, sekarang ada cara mudah untuk mendaftarkan diri menjadi ahli Umno, iaitu menerusi dalam talian @ online. Rabu lalu Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan sistem pendaftaran keanggotaan secara dalam talian.

Pelancaran sistem itu, kata Najib yang juga PM, selaras dengan hasrat mentransformasi dan meremajakan Umno supaya ia dilihat sebagai parti yang segar, dinamik, progresif dan mengamalkan keterbukaan.

Sistem pendaftaran itu akan mengurangkan kerenah birokrasi selain dapat menyelesaikan segala kerumitan dan hambatan yang menjadi kekangan dalam proses pendaftaran anggota baharu.

Sebelum ini ada cerita borang hilang, cerita borang kena renyuk, cerita hantar borang tak diterima, cerita kena isi borang sampai dua tiga kali. “Kita dah letih (guna cara lama),” kata presiden.

Tentu sekali dengan sistem pendaftaran dalam talian ini akan membuka peluang yang lebih luas kepada generasi muda untuk menyertai Umno.

Remaja kita yang gila-gila IT dan terlebih bergajet-gajet memang suka benda-benda ‘online’. Mereka berkomunikasi secara online, membeli-belah cara online, hatta sesetengahnya berjudi pun online.

Tetapi belum dapat dipastikan apakah mereka juga tertarik untuk menjadi ahli parti secara online. Kita tengok hasilnya nanti...

0 Komentar untuk " Kenapa ponteng solat Jumaat? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ