50 tahun perginya Singapura - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

50 tahun perginya Singapura

GEM bertemu Lee Kuan Yew dan beberapa orang dalam kepimpinan Singapura di sebuah hotel besar di Kuala Lumpur dalam tahun 2000. Beliau berkereta melalui Selat Tebrau kerana ingin tahu kebetapaan Lebuh Raya Utara-Selatan, di samping beliau dikatakan sudah lama tidak berkunjung ke sini.

GEM ialah kependekan Group of Ex-Ministers atau Grup Mantan Menteri, kira-kira 10 orang dalam kalangan kami,  yang diketuai Tengku Ahmad Rithaudin.

Saya tidak pernah bercakap dengan Lee sebelum itu walaupun secara fizikal pernah berdekatan. Sebelum menjawab soalan saya, Lee terlebih dulu merujuk kepada nota maklumat di hadapannya. Saya percaya beliau terlebih dulu ingin tahu siapa yang beliau lawan bercakap, dan ini dilakukan berulang-ulang apabila pertanyaan dikemukakan kepadanya. Ia membuktikan bahawa Lee membuat persiapan rapi sebelum datang.

“Tak kena saya dibandingkan dengan General MacArthur,” kata Lee, tersenyum. Sebenarnya saya mengutip kata-kata Presiden AS Richard Nixon dalam bukunya, Leaders, yang membandingkan stail bercakap General itu dengan Lee, bagaikan bertepatan letaknya koma, sengkang dan noktah. Bezanya, sebutan Lee tidak seperti lidah ibunda orang Amerika-Inggeris. Memang sepatutnya. Jika Lee ketika itu seorang Menteri Kanan Singapura, mendiang MacArthur ialah ketua tentera AS yang menerima ‘surrender’ Jepun selepas kalah Perang Dunia Kedua. Beliau juga panglima AS dalam Perang Korea awal 1950-an.

Lee baru menyambut usia 92 tidak berapa lama dulu. Dua tahun dulu anaknya Hsien Yang (57), adik Perdana Menteri Singapura, memberitahu saya, bapanya tidak mahu rumah keluarganya dikekalkan sebagai peringatan kerana mengenangkan banyak rumah demikian tidak terjaga dan menjadi usang selepas berlalunya si pemilik. Justeru, Lee ialah seorang yang realistik.

Beliau dianggap sinonim dengan Singapura moden sejak 1959 apabila parti PAP, pernah dipanggil Petir (Parti Tindakan Rakyat), memenangi pilihan raya Singapura. Kelahiran Malaysia pada 1963 membawa Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak dalam kandungannya. Jika tidak dianggap memainkan peranan penting, beliau tentu sekali amat lantang artikulasinya dalam kelahiran itu.

Jelas dalam mata-minda saya ucapan Lee dalam rapat raksasa solidariti Malaysia di padang Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada 1962. Penggunaan Bahasa Melayunya amat baik apalagi disokong suaranya yang garau dan jelas.

Apabila rapat itu menyahut laungan ‘merdeka!’ daripadanya, beliau tidak berpuas hati dan merangsangkan agar 10,000 hadirin melaung sekali lagi dengan lebih lantang. “Biar bergegar mikrofon ini,” kata Lee. Si remaja bernama ‘saya’ turut serta memecah tembolok!

Dalam pelbagai sudut dan warna, kehadiran Lee dalam pembentukan dan pengurangan Malaysia tidak boleh dinafikan. Pilihan raya pertama Malaysia ialah dalam tahun 1964 apabila partinya, PAP, memenangi satu kerusi di Kuala Lumpur. Kehadiran Lee di Parlimen di Kuala Lumpur ialah dari sebuah konstituensi di Singapura. Prestasinya di Parlimen diikuti rapat oleh media dan publik.

Suatu malam dalam tahun 1965 beliau hadir dalam sebuah forum di Universiti Malaya. Sebagai seorang siswa, saya amat kagum dengan pertikaman lidah – tajam cantas-mencantas - antara beliau dengan mendiang Tan Sri Tan Chee Khoon yang terkenal dengan panggilan ‘Mr Opposition’. Beberapa bulan kemudian, Singapura berpisah dari Malaysia.

Kedukacitaan itu sudah didahului tanda-tandanya. Mula-mula saya ikuti Radio Malaysia yang menyiarkan dialog antara Lee dengan Abdullah Bismih, penulis hal ehwal keislaman yang terkenal di Singapura.

“Kenapa hendak tangkap saya?” tanya Lee.

“Masya-ALLAH, saya tidak tahu,” jawab Abdullah. Ini membuka spekulasi luas, tetapi Lee tidak ditangkap.  

Dalam program Discovery di TV Astro yang disiarkan dekat dengan Persidangan Agung Umno 2013, terdapat kutipan kata-kata Lee yang bermaksud: “We wanted Malaysian Malaysia, not Malay Malaysia.” (Kita hendakkan Malaysia ala Malaysian, dan bukan Malaysia ala Melayu). Dipercayai ‘clip’ itu dirakamkan lama sebelum siaran itu.

Selepas Malaysia dan Singapura menjadi dua entiti, parti pemerintah Singapura, PAP, lenyap kehadirannya di Malaysia. Walaupun ada pihak yang menafikan bahawa DAP yang timbul kemudiannya ada kaitan dengan PAP, namun ada pihak lain yang memacakkan kebenarannya. Perbezaannya hanya terletak pada ‘P’ dan ‘D’ saja, kata mereka.

“Singapura sudah menjadi realiti atau kenyataan,” kata Tun Dr M. “Itulah hakikatnya.”

* Tan Sri Adam A Kadir ialah mantan Presiden Senat

0 Komentar untuk " 50 tahun perginya Singapura "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ