Jangan tiru produk usahawan lain - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jangan tiru produk usahawan lain

DEWASA ini, dapat dilihat perniagaan di Malaysia mengikut trend dan bermusim. Bila sesuatu produk itu mendapat tempat di kalangan pengguna, tidak lama selepas itu pasti muncul produk serupa tetapi menerusi jenama dan syarikat berlainan.

Bermula dengan jamu, pemutihan, kolagen, susu kambing sehinggalah produk makanan dan minuman seperti jeruk asam boi, boleh diperoleh dengan mudah di Facebook.

Tidak dinafikan ia persaingan sihat di kalangan peniaga. Namun, sejauh mana perniagaan sesuatu produk itu mampu bertahan dan adakah ia boleh dianggap menutup periuk nasi peniaga lain?

Manakala daripada sudut pencipta asal sesuatu produk, adakah merasakan produknya ditiru?

Untuk berjaya dalam perniagaan, antara salah satu resipi ialah tidak perlu meniru produk ciptaan usahawan lain.

Demikian pesanan peneraju jamu tanah air, Jamu Mak Dara.  

Siapa tidak kenal dengan peneraju jamu tanah air, Jamu Mak Dara sejak 2004 dan kini mempunyai 36 produk serta antara jamu pilihan pengguna.

Pengarah Urusan Jamu Mak Dara Sdn Bhd, Syed Muhammad Gaddafi Syed Ali menyarankan bakal usahawan memulakan perniagaan mengikut kepakaran masing-masing.

"Untuk berjaya kita tidak boleh ikut apa orang suruh atau buat. Kita perlu jadi unik dan lain daripada lain, kita tidak boleh meniru produk usahawan lain.

"Jangan tengok kejayaan orang itu buat jamu, kita pun mahu jual jamu, orang buat produk putih, kita pun mahu jual produk putih," katanya.

Menurutnya, berniaga ini seperti sekeping kek, jika ada empat jenama kita kena bahagi empat, kalau ada 100 jenama kita kena bahagi 100 dan pada akhirnya kita akan dapat sedikit.

Namun, Syed Muhammad Gaddafi bersyukur dengan kelainan dan keunikan jenama Jamu Mak Dara,menjadikan jenama itu bertahan dan menjadi pilihan pelanggan.

Katanya, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu produk sebelum mengeluarkan sesuatu produk dan kalau sudah berada di pasaran syarikatnya tidak akan buat.

"Biar orang ikut kita, jangan kita ikut orang. Biar kita unik, kalau sama sudah pasti tidak ada bezanya.

"Oleh itu, saya selalu ingatkan usahawan muda supaya mengubah pemikiran untuk buat produk sendiri," katanya.

Sementara itu, Syed Muhammad Gaddafi berkata, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang mampu menghasilkan produk berinovatif supaya dapat membangunkan perniagaan berdaya saing dalam pasaran tempatan serta luar negara.

Menurutnya, ia bertujuan membolehkan usahawan mampu bertahan lama.

Tegasnya, untuk menjadi usahawan berjaya, PKS perlu menghasilkan produk kreatif, inovatif dan lain daripada lain.

Usahawan kena yakin produk dijual

Pengarah Urusan AT Cupcakes & Bakeri, Abdul Razak Osman berkata, trend perniagaan ini menjadi salah satu semangat kepadanya untuk terus berusaha dan maju.

"Bagi saya ia adalah satu persaingan baik, saya tidak boleh selesa pada kedudukan sedia ada dan bekerja dengan lebih kuat lagi," katanya.

Menurutnya, sebagai peniaga kita tidak perlu takut dengan trend perniagaan seperti ini malahan perlu jadikan ia sebagai salah satu semangat untuk terus ke hadapan.
Abdul Razak tidak menafikan, ada peniaga lain menjual produk sama.

Katanya, namun untuk berjaya seseorang peniaga itu perlu yakin terhadap produk yang dijual dan tidak perlu terikut-ikut dengan kejayaan orang lain dalam perniagaan.

"Peniaga perlu berusaha bersungguh-sungguh dan jangan buat kerja separuh jalan.

"Benda ini biasa, ada yang mahu berniaga tetapi tidak ada idea serta mahu 'mencuba-cuba' perniagaan," katanya.

Mengulas berhubung sejauh mana peniaga ini mampu bertahan, Abdul Razak berkata, peniaga yang tergolong dalam kategori ini tidak akan bertahan lama bagi setiap produk.

"Mereka akan ikut produk lain apabila melihat produk lain mendapat permintaan yang tinggi.

"Pengguna pula akan tetap mencari peniaga lama kerana peniaga baharu perlu membina kepercayaan pelanggan dan nama untuk dikenali ramai," katanya.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, AT Cupcakes & Bakeri kini telah menerokai semua pasar raya Aeon di seluruh Lembah Klang.

Dalam pada itu menurutnya, bermula tahun depan, syarikatnya bersama Aeon akan melakukan siri jelajah ke Utara sehingga Selatan menjelang akhir 2015.

Cari idea unik elak syok sendiri

Bijak menggunakan teknologi terkini bukanlah tiket untuk terus berjaya. Pelbagai cabaran terpaksa dilalui Pengasas dan Pengarah Eksekutif JelitaSARA Corporate Sdn Bhd, (JelitaSARA), Wan Zaki Wan Taib untuk menjadi usahawan maya berjaya.

Wan Zaki berkata, fenomena menjual barang dan perkhidmatan mengikut trend adalah budaya sihat kerana ia salah satu faktor jualan khususnya bagi peniaga baharu.

Malah dalam ‘niche ‘ itu sendiri, JelitaSARA mengkaji trend terkini melibatkan rekaan, material dan corak mendapat permintaan tinggi.

“Ini penting supaya kita tidak ‘seronok sendiri’ menjual barang yang tidak mengikut trend terkini. Paling penting ialah sesuatu jenama perlu sentiasa mengkaji dan dapatkan respons pelanggan,” katanya.

Wan Zaki mengakui rekaannya juga ditiru dan dijual pihak lain untuk mendapat keuntungan cepat.

Katanya, perniagaan mengikut trend boleh berjaya dan bertahan lama dengan syarat sesuatu perniagaan itu harus cepat ‘adapt’ dengan perubahan trend dan merevolusikan produk mengikut trend semasa selain kompetitif.

Bagi memastikan JelitaSARA menjadi pilihan pelanggan, syarikatnya akan menggunakan idea sendiri supaya berlainan.

“Kita buat perniagaan online dengan guna platform teknik pemasaran di internet yang sebenarnya.

“Kami bukan blogger tapi kami guna kaedah pengiklanan melalui platform Google Adword dan teknik ‘Mailing List’. JelitaSARA sahaja yang guna teknik ini pada ketika itu 2009” katanya.

“Terbaru, kami guna aplikasi JelitaSARA khas buat pelanggan iOS dan Android, pelanggan boleh muat turun aplikasi JelitaSARA melalui Apple Store dan Google Apps Store.
JelitaSARA merupakan Jenama Tudung Online Pertama Di Malaysia, sedia aplikasi untuk kemudahan pelanggan,” katanya.

Tidak perlu ikut trend

Usahawan yang terlibat dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan mengikut trend perlu melihat produk tersebut pada masa depan.

Pengarah Urusan Ebunda Sdn Bhd, Sofiya Arshaf berkata, mereka perlu melihat kepada hala tuju perniagaan yang dihasilkan dengan mencipta identiti sendiri supaya bertahan lama.

“Perniagaan mengikut trend akan mewujudkan daya saing yang sihat kerana menunjukkan usahawan tersebut mengikut peredaran masa,” katanya.

Bagaimana pun Sofiya berkata, perniagaan mengikut trend juga memberikan implikasi besar kepada peniaga sekiranya mereka hanya mengikut perniagaan orang lain.

“Perniagaan mengikut trend yang melibatkan pengedar juga menimbulkan masalah kerana mereka akan dikecewakan oleh usahawan yang sentiasa mencipta produk baharu mengikut peredaran masa,” katanya.

Tambahnya, tidak salah mempunyai produk yang sama tetapi usahawan perlu kreatif menghasilkan produk mereka.

“Perniagaan mengikut trend adalah positif dan tidak menimbulkan masalah sekiranya mencipta keunikan tersendiri,” katanya.

0 Komentar untuk " Jangan tiru produk usahawan lain "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ