Gigih realisasi kek coklat idea arwah isteri - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Gigih realisasi kek coklat idea arwah isteri

Ramai orang kata, memulakan perniagaan makanan bukan mudah! Bagaimanapun ia langsung tidak jadi masalah bahkan Mohamad Fauzi Bahadim, 41, membuktikan keberhasilannya merentasi tanggapan itu apabila dia berjaya menapak sebagai usahawan kek coklat yang kini sedang merintis kejayaan melalui syarikatnya Fauzi Food Sdn Bhd yang diusahakan sejak Oktober 2011.

Mohamad Fauzi berkata, dengan modal permulaan RM500, sambil dibantu anaknya, Nurul Khalida Anum, 21, Fauzi Food pada mulanya perniagaan itu hanya diusahakan di kediaman miliknya.  

Bercerita lanjut, Mohamad Fauzi berkata, perniagaan itu adalah cetusan idea dan inspirasi arwah isterinya, Zuraidah Atan, yang sebelum ini mengusahakan kek coklat secara sambilan.

Menurutnya, selepas pemergian Zuraidah pada 23 Jun 2010 akibat barah paru-paru, dia berhasrat meneruskan usaha Zuraidah dan mendapat sokongan anak-anaknya.

“Pada awalnya kami beroperasi di rumah dan terima tempahan terhad.

 "Selepas tiga bulan, permintaan kek coklat makin meningkat.

“Jadi kami ambil keputusan untuk lebih serius dengan membuka sebuah kedai sebagai tempat memproses kek, pusat jualan dan pejabat,” katanya.

 Tambahnya, kesungguhan untuk mengembangkan perniagaan itu lebih kuat apabila melihat potensi masa depan perniagaan selain hasratnya mengetengahkan konsep produk menarik dan mudah untuk dimakan.

“Saya lihat produk ini boleh dalam saiz kecil atau 'segera dimakan' berbanding kek yang biasa dibuat dengan bentuk dan saiz besar. Ketika itu konsep ini belum popular dalam kalangan usahawan kek, jadi kami keluarkan,” katanya.

Bekas Naib Presiden II Sime Darby Holding Berhad itu berkata, produk Kek Coklat Cair diusahakan itu pada awalnya diproses secara tradisional.

 “Ketika itu kami belum mempunyai perkakasan dan peralatan canggih, kemudian bila perniagaan lebih maju kami perlukan satu produksi lebih sesuai setanding permintaan. Kami laburkan modal RM5,000 untuk membuka kedai tersebut dan membeli sedikit peralatan.

“Di situlah fasa yang lebih serius bermula dan saya melepaskan kerjaya demi meneruskan perniagaan ini.

"Alhamdulillah, apa saya lakukan membuahkan hasil. Kemudian bagi memastikan jenama Fauzi Food Sdn Bhd mampu menapak lebih jauh, pelbagai usaha dilakukan khususnya dalam memastikan pemasaran produk berjalan dengan konsisten dan terurus,” ujarnya.

 Mewah limpahan coklat

Coklat melimpah ruah, itulah keistimewaan Kek Coklat Cair yang dikeluarkan oleh Fauzi Food Sdn Bdn bagi memastikan produknya lebih sedap berbanding keluaran syarikat lain.

Memikul tanggungjawab sebagai Pengurus Produksi, Nurul Khalida Anum berkata, ramuan yang digunakan dalam pembuatan kek itu juga tidak menggunakan sebarang bahan pengawet bagi mengekalkan keaslian rasa.

“Itu antara kelebihan kek coklat kami di samping aspek pembuatan lain seperti sukatan bahan dalam ramuan dan teknik pengukusan yang digunakan.

“Selain itu, kita hanya fokus kepada pengeluaran satu produk iaitu Kek Coklat Cair. Jadi kita lebih mudah belajar dan dapat memberi tumpuan supaya setiap adunan ramuan sama untuk hasilkan rasa yang sama sedap,” katanya.

Sokongan Mada dan Anis Food

Dalam pada itu, sepanjang kira-kira empat tahun Fauzi Food Sdn Bhd beroperasi, Mohamad Fauzi berkata, pihaknya mendapat kerjasama dan bantuan daripada pelbagai pihak khususnya pengeluar produk makanan terkenal iaitu Anis Food Industries dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

Menurutnya, kerjasama dengan Anis Food Industries sedia terjalin ketika arwah isterinya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Melalui Anis Food Industries saya dan Nurul menimba ilmu selok-belok dunia perniagaan khususnya bagi strategi pemarasan produk dan pengurusan.

“Ini juga adalah salah satu sokongan moral dan inspirasi kepada kami dalam meneruskan perniagaan dengan perancangan penerokaan pasaran yang lebih luas,” katanya yang juga dilantik sebagai pengurus syarikat.

Di samping itu tambahnya, bantuan pihak Mada pula diberikan dalam bentuk kemudahan peralatan, khidmat nasihat serta pasaran.

“Kita turut menyertai program usahawan Mada dan berpeluang memasarkan produk melalui program anjuran Mada, agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta.

“Dengan ini, jenama Fauzi Food Sdn Bhd boleh tampil sebagai produk dari Kedah yang kini berjaya menembusi pasaran di beberapa negeri,” katanya.

Mengulas mengenai pasarannya, Kek Coklat Cair yang dikeluarkan kini dipasarkan secara meluas di Kedah dan Perlis serta sebahagian Pulau Pinang.

“Kita juga telah menembusi beberapa kawasan di Melaka, Perak dan Johor Bahru. Kini, kita dalam perancangan untuk memasarkan produk ke negeri-negeri lain termasuk menembusi pasar raya besar seluruh Malaysia.

“Strategi pemasaran yang kita gunakan adalah melalui pengedar-pengedar yang dilantik untuk suatu kawasan dan menjadi pembekal untuk pemborong yang membuat tempahan.

 "Setiap pengedar mempunyai pasaran tersendiri di kawasan masing-masing sekali gus penuhi hasrat kita untuk membantu peniaga lain menambah pendapatan mereka,” jelasnya yang turut mengalu-alukan peniaga menjadi pengedar produknya.

Pengalaman ditipu jadi pengajaran

Pada awal operasi dan sebelum penjenamaan produk kek coklatnya diperkukuh, Mohamad Fauzi berkata, dia pernah ditipu oleh pengedar yang mengambil kesempatan memasarkan Kek Coklat Cair keluarannya menggunakan jenama mereka sendiri.

Katanya, pengedar tersebut memborong produknya dan memasarkan dengan menggunakan jenama lain.

“Ketika itu kami rasa amat kecewa dan kesal dengan apa yang berlaku. Kami anggap ini sebagai ujian dan pengalaman untuk terus belajar serta lebih berhati-hati.

 “Daripada pengalaman itu kami mengambil langkah dengan melakukan penjenamaan yang lebih kukuh dan menggunakan label sendiri sebelum produk dipasarkan kepada peniaga dan pengedar.

“Alhamdulillah, masalah itu tidak berulang dan produk Kek Coklat Cair jenama Fauzi Food Sdn Bhd mampu berdiri sendiri setanding dengan keluaran syarikat lain,” jelasnya.

Pengiktirafan Kementerian Kesihatan dan Jakim

Sesuai dengan perkembangannya, jenamanya juga mendapat pengiktirafan daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Sijil Pengesahan Halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Alhamdulillah, dengan pengiktirafan yang dikeluarkan oleh KKM pada Februari dan Jakim pada Julai lalu, kami berharap produk keluaran syarikat kami lebih mendapat permintaan daripada pelanggan.

“Ini juga memberi perangsang dan semangat kepada saya untuk mengembangkan lagi perniagaan ini khususnya untuk menerokai pasaran lebih luas,” katanya yang kini meraih pendapatan sekitar RM40,000 hingga RM50,000 sebulan dengan sasaran jualan tahunan RM800,000.

0 Komentar untuk " Gigih realisasi kek coklat idea arwah isteri "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ