Henti guna WhatsApp kongsi fitnah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Henti guna WhatsApp kongsi fitnah

MASA kecil-kecil, enam tujuh tahun selepas merdeka, saya kenal dua orang ustaz yang masuk kategori glamor.

Seorang datang ke masjid kampung saya di Pulau Pinang sebulan dua kali, tunggang motosikal Triumph.

Waktu sunyi-sepi, dari setengah batu sudah dengar deruman motosikalnya.

Yang sorang lagi juga datang dua minggu sekali, naik basikal Hercules.

Yang pertama selalu pakai jubah putih dan berserban; ceramah beliau berkaitan sejarah Nabi.

Yang kedua selalu berkemeja putih keras berkanji, tangan panjang dan berseluar warna coklat atau hitam serta bersongkok baldu. Yang ini banyak menekankan tentang fardu ain dan hadis.

Kedua mereka sangat dihormati dan kuliah mereka dinanti-nanti jemaah masjid kami kerana persembahan mereka menarik dan gaya bahasa mereka mudah kami faham.

Tak ingat pula masa itu ada atau tidak yang sindir-sindir kerajaan, pemimpin atau pihak berkuasa. Yang pasti, tekanan selalunya kepada umat Islam yang perlu tingkatkan fahaman dari segi rukun, hukum hakam dan ajaran al-Quran serta hadis.

Hari ini, saya tidak tahu berapa ramai ustaz yang masuk dalam kategori glamor, tetapi yang pasti memang  sangat ramailah hingga payah nak terkira.

Di semua masjid dan surau di seluruh negara ada sahaja pengajian hampir setiap malam; bayangkan berapa ramai ustaz yang ada, dan berapa orang daripada mereka dimasukkan ke dalam kumpulan glamor.

Yang lulus pengajian tinggi pelbagai bidang berkaitan agama dan yang hafiz Quran entah berapa ribu setiap tahun. Yang sudah menjadi penceramah dan pendakwah di negara kita pula entah berapa ribu lagi. Wallahualam.

Yang mana daripada beribu itu dikira termasuk dalam kategori glamor?

Apakah yang ceramah mereka dibanjiri ribuan pendengar? Yang kandungan ceramah @ kuliah mereka berapi-api? Yang suka belasah pemimpin dan parti politik tanpa berlapik? Yang buat tuntutan beribu ringgit untuk setiap ceramah selama dua jam?

Atau mereka yang tinggalkan dunia hiburan @ artis untuk menjadi ahli anggota parti dan badan bukan kerajaan? Wallahualam!

Pada saya, saya hargai, menghormati dan menyokong mereka yang melakukan apa sahaja yang menuju ke arah kebaikan. Noktah. Ikhlas atau tidak itu di luar kemampuan saya untuk menentukannya.

Siapa saya untuk mempersoalkan nawaitu mereka? Hanya ALLAH dan mereka sahaja yang tahu apakah mereka ikhlas atau ada udang sebalik batu!

Apa pun, mendengar ceramah ustaz-ustaz hari ini memang menarik. Kupasan ceramah yang disampaikan mereka memang dikaitkan dengan isu kontemporari.

Secara ringkas, ustaz-ustaz hari ini - dahulu pun begitu - dari ilmu dan maklumat yang mereka sampaikan, sah mereka buat kerja rumah, bukan main hentam keromo, cakap ikut nafsu, emosi atau sedap mulut.

Ada faktalah kata orang, bukan auta, tidak nampak macam mereka mahu cari glamor atau publisiti, atau semata-mata untuk kepentingan politik. Cuma terpulanglah kepada yang mendengar, mahu terima atau tidak.

Contohnya, ada Ustaz S yang ceramahnya saya dengar tidak lama dahulu; bercakap soal kontemporari, iaitu penggunaan teknologi canggih seperti WhatsApp dan laman sosial, yang menjadi ketagihan ramai orang masa kini.

Memang tepat katanya, kemudahan ini, seperti ubat batuk, jika digunakan dengan baik membawa manfaat, tetapi kalau diguna secara tidak baik, ia mendatangkan mudarat.

Mesej dan imej melalui WhatsApp, umpamanya, boleh beri pahala jika yang disebarkan mempunyai maklumat baik atau nasihat, tetapi ia menjadi sumber pengumpulan dosa bagi setiap penghantarnya jika berunsur tohmahan, fitnah, khabar angin, maksiat dan yang mendedahkan aib orang.

“Hati-hatilah. Jangan biar WhatsApp menjadi platform untuk sebar fitnah dan dedah aib orang. Benda tidak elok, janganlah forward kepada orang, apa lagi kita tidak tahu betul atau tidak,” kata Ustaz S.

Teknologi boleh merapatkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan. Ia juga boleh menghilangkan nilai kemanusiaan dan kemanisan hubungan antara ummah.

Kata ustaz saya, rata-rata anak ziarah ibu, tapi apabila cakap tidak lihat muka ibu kerana mata mereka tertumpu pada telefon bimbit, sedangkan melihat muka ibu itu dapat pahala. Wallahualam!

0 Komentar untuk " Henti guna WhatsApp kongsi fitnah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ