Kita yang memahalkan harga barang - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kita yang memahalkan harga barang

SEKARANG ini, kita selalu bercakap mengenai kenaikan harga barang. Setelah naik, tidak mahu turun, meskipun harga minyak mula menggelongsor.

Apabila harga barang semakin naik, kita marah kepada kerajaan. Kita lepaskan perasaan secara tulisan di laman sosial, secara lisan kepada sesiapa sahaja kita temui mahupun ingin berarak dengan sesiapa yang berkempen mahukan harga barang turun.

Tetapi, setelah menulis, bercakap serta bertindak dan harga barang tidak turun juga… apa yang kita nak buat?

Sebenarnya, banyak pihak yang menyumbang kepada kenaikan harga barang. Di antaranya ialah sikap pemerintah yang tidak mahu kalah dengan negara lain. Kemajuan dinilai dengan pembangunan fizikal melalui suntikan wang pinjaman.

Kita bangga kerana diberi hutang yang besar, kononnya kemudahan itu diyakini kerana mempunyai daya maju, sedangkan peminjam pula lihat mereka bakal mendapat untung besar dengan memberi pinjaman itu. Kita bangga dengan segala ranking itu, ranking ini mengikut pengiktirafan dunia, bukannya menurut tahap kita sendiri. Apabila mengukur baju di badan orang, mana mungkin ia boleh muat ditubuh sendiri?

Mereka yang diamanahkan untuk mengurus belanjawan pula menggunakan wang yang diperoleh seolah-olah duit itu mereka yang punya.

Saban tahun, Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mengesahkan berbilion ringgit perbelanjaan mengalir kerana kelemahan dan salahlaku pengurusan kewangan. Ia menjadi acara tahunan bilamana jumlah pembaziran kian meningkat. Ia menaikkan kos mengurus.

Golongan pengeluar, pengedar dan peniaga juga tidak mahu kalah dengan strategi dan helah untuk menaikkan harga barang. Apa sahaja barangan kegunaan semakin meningkat harganya.

Pergilah ke mana-mana pasaraya mahupun kedai-kedai biasa dan kita akan dapati hampir kesemua barang keperluan naik harganya. Yang pasti, tiada pun barang yang turun harganya.

Di peringkat diri kita sendiri, apakah kita sedar yang kita turut menyumbang kepada kenaikan harga? Ia terjadi kerana kita mempunyai persepsi yang tidak betul bahawa yang mahal itu mestilah lebih baik.

Yang murah itu tiada kualiti. Padahal, ada barang murah yang baik. Ada juga barang yang mahal itu sebenarnya murah jika kita tahu di mana untuk mendapatkannya.

Berbelanja sudah menjadi gaya hidup. Justeru, kemewahan dan kehidupan penuh stail yang kita amalkan itu bukannya taraf hidup. Ia adalah imej yang kita cuba kejar, sedangkan kemewahan material itu umpama fatamorgana.

Ia kelihatan hampir, tetapi apabila kita mendekatinya ia menghilang dan muncul lebih jauh di ufuk sana.

Kerana pengaruh iklan dan mereka di sekeliling, kita juga berbelanja di sepanjang masa. Padahal, kita seharusnya berbelanja pada masa-masa tertentu dan berkira dalam banyak ketika. Tetapi oleh kerana ingin terus bergaya, kita akhirnya tidak berdaya lagi.

Apabila membeli nasi lemak untuk sarapan di pejabat pun, kita tambah dengan telur mata lembu dan sotong kerana mereka yang berkunjung ke gerai juga meminta lauk tambahan.

Oleh kerana segan meminta nasi lemak ‘biasa,’ kita tambah lauknya. Esoknya kita beli mihun berlaukkan kerang dan paru pula.  Akhirnya ia menjadi tabiat harian kerana ingin mengikut menu orang lain.

Padahal, kita boleh kenyang bila makan nasi lemak atau mihun yang dibungkus dengan daun pisang. Makanan yang kita beli dengan penuh gaya itu biasanya bukannya habis, malah terbuang begitu sahaja. Pada hari kerja, makan yang sedikit sudah mencukupi.

Ramai juga mempunyai lebih daripada sebuah telefon bimbit pada satu-satu masa. Itu belum termasuk telefon lama yang tersimpan di dalam laci, yang sebenarnya masih boleh digunakan.

Telefon yang pada asalnya digunakan untuk berkomunikasi atau mengirim mesej sudah menjadi smartphone yang berfungsi komputer, kamera mahupun televisyen.

Apakah kita masih kerap gunakan komputer di rumah, selalukah kita gunakan kamera yang dibeli dua tahun lalu atau berapa saluran televisyen yang sebenarnya kita tonton dalam satu-satu hari apabila kita sudah ada telefon pintar?

Jika kita mengkritik projek gajah putih kerajaan, jangan lupa, kita pun ada anak-anak gajah putih di rumah! Ada banyak pinggan mangkuk, pakaian, mainan dan peralatan yang kita simpan dan tidak digunakan walaupun kita beli dengan harga yang mahal!

Apabila membeli ikan pun, kita mahu bergaya. Dengan berpakaian lip-lap pun, kita boleh dapatkannya di pasaraya walaupun lebih mahal. Tetapi kerana tidak mahu harungi suasana becak dan berbau hanyir, kita sanggup membeli ikan yang sudah merah matanya walaupun harganya jauh lebih tinggi daripada harga di pasar tani atau pasar basah.

Apabila memilih sayur pun, kita pilih yang import, bukan jenis yang biasa kita makan. Yang import tentulah lebih mahal daripada yang diperoleh di sekeliling kampung.

Hukum ekonomi menentukan apabila ada permintaan, maka adalah penawaran. Apabila tinggi permintaan, maka tinggilah harganya.

Justeru, apabila kita sendiri memilih barang yang berharga mahal, maka yang mahal itu akan meningkat lagi harganya. Ini semua tidak akan ada akhirnya selagi kita tidak memahami bahawa kita juga menyumbang kepada meningkatnya harga barangan.

*Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel sebelum ini.

Related Post

0 Komentar untuk " Kita yang memahalkan harga barang "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ