Duka menjelang tahun baharu 2015 - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Duka menjelang tahun baharu 2015

*TIDAK syak lagi duka menyelimuti wajah dan perasaan sebahagian besar rakyat Malaysia menjelang beberapa hari kedatangan tahun baharu 2015. Banjir besar melanda negeri-negeri pantai timur...

Ketika rencana ini ditulis – Jumaat – lebih 100,000 orang telah dipindahkan di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Jabatan Meteorologi meramalkan hujan akan terus turun, banjir mungkin merebak ke negeri-negeri lain, termasuk Johor.

Perhubungan darat di kawasan terlibat terputus, ada jalan mendap, ada tanah runtuh. Banyak kawasan bergelap akibat bekalan elektrik terpaksa dihentikan untuk keselamatan.

Memang di pusat-pusat pemindahan mangsa banjir menerima pelbagai bantuan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Tetapi sentiasa ada kebimbangan – dan kecemasan – di jiwa mereka mengenangkan nasib rumah dan harta-benda yang ditinggalkan.

Bayangkan rumah dimasuki air, sesetengahnya hingga ke bumbung, perkakas dan semua dalam rumah musnah. Kenderaan terendam dalam air, dokumen dan benda-benda penting musnah. Malah, beberapa nyawa terkorban.

Detik-detik yang lebih mencabar – dan menyayat – ialah apabila bah reda dan mereka pulang ke rumah untuk melihat kemusnahan yang dijangka. Tempat tinggal perlu dibersihkan dari keladak dan lumpur. Barang-barang rosak perlu dilonggok untuk dimusnahkan.

Betapa mereka dengan segala jerih dan sedih akan memulakan hidup baharu dalam kemusnahan itu. Dari mana hendak dicari duit sekelip mata untuk memperbaiki yang musnah?

Tunjukkan simpati kita dengan menderma apa yang termampu. Doakan keselamatan, kesejahteraan dan kesabaran mereka menerusi solat hajat dan solat-solat lima waktu. Ini adalah hari berduka untuk kita semua.

Krismas murung, dan perayaan yang telah diatur untuk menyambut kedatangan tahun baharu semua telah dibatalkan. Ketika beratus ribu mangsa banjir dilanda duka nestapa, tidak wajar untuk kita bersuka-suka.

Lupakan pesta yang entah apa-apa, lupakan shopping, lupakan karaoke, lupakan bola, lupakan golf, lupakan politik... ini adalah masa untuk kita semua menginsafi dan menilai diri. Salah apakah yang telah kita lakukan selama ini sehingga ALLAH menurunkan bencana ini?

*SYABAS kepada Puteri Umno yang mengecam tindakan sebuah kedai permainan terkemuka di ibu negara kerana mengamalkan diskriminasi terhadap pekerja wanita bertudung.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menegaskan diskriminasi seperti itu menunjukkan masih terdapat golongan berfikiran sempit terhadap mereka yang memakai tudung dan ia bertentangan dengan hak asasi seorang Muslim.

“Alasan tidak diterima bekerja sebab bertudung atau arahan membuka tudung jika ingin bekerja adalah hanya alasan dangkal yang tiada kena mengena dengan tahap pencapaian seorang pekerja,” katanya.

Beliau mengulas luahan pelakon terkenal Datuk Rosyam Nor menerusi laman Twitter mengenai sebuah kedai permainan terkemuka yang didakwa meminta anak perempuannya membuka tudung sebagai syarat untuk bekerja di premis itu pada Khamis lepas. Kedai permainan tersebut telah mengeluarkan kenyataan memohon maaf.

*UNTUK pengetahuan Mas Ermieyati dan orang lain, ramai lagi pihak berfikiran sempit dan melakukan diskriminasi terhadap gadis dan wanita Islam yang memakai tudung.
Di Kuala Lumpur ada gedung membeli-belah yang melarang gadis Islam memakai tudung.

Petugas wanita di sesetengah hotel lima bintang juga tidak dibenarkan memakai tudung. Malah, ada sekolah elit swasta yang melarang pelajar perempuan memakai tudung.

Walaupun tidak dinyatakan dalam surat tawaran perkhidmatan, peraturan tidak bertulis ini sudah berjalan sejak sekian lama. Ada wanita Islam yang terpaksa mendedahkan rambut takut dibuang kerja. Habis waktu pejabat menutup semula kepala.

Masa sudah tiba untuk orang Islam menyedarkan pihak-pihak yang berfikiran sempit ini. Memakai tudung adalah hak peribadi seseorang, dan ia terbukti tidak akan menjejaskan prestasi kerja.

Tindakan perlu diambil ke atas mana-mana pihak menghalang wanita Islam menutup kepala.

*TIDAK hujan, tidak banjir, lantai seluas sembilan meter persegi di ruang legar Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Jalan Duta di ibu negara mengalami keretakan, minggu lalu.

Seperti yang disahkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, keretakan itu dipercayai akibat perubahan suhu tanah di bawah kawasan lantai itu berikutan perubahan cuaca.

Bangunan itu masih dalam tempoh jaminan kontraktor, baru empat tahun diduduki. Sebelum runtuh elok cari kontraktor berkenaan. Sudah banyak bangunan kita runtuh, tetapi kontraktor lepas tangan, buat ‘dhek’.

0 Komentar untuk " Duka menjelang tahun baharu 2015 "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ