Menjadikan tokoh-tokoh tersebut sebagai inspirasi, seorang anak kepada mandur estet Sime Darby dari Kampung Sebatu, Merlimau, Melaka berusaha dengan gigih sehingga berjaya merubah kehidupannya menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya di negara ini.
Datuk Md. Nasir Ghani, 49, kini merupakan Pengarah Urusan Syarikat KV Resources Sdn. Bhd., yang terlibat perniagaan membekalkan enjin sangkut bot Honda, Yamaha dan Mercury serta menjadi ejen eksklusif kepada UES International Sdn. Bhd. (UES International) untuk memasarkan bot pemintas (interceptor) di rantau ASEAN.
UES International Sdn. Bhd., merupakan anak syarikat MB Holding Company LLC yang dimiliki bilionaire dari Oman, Mohammed Barwani. Syarikat itu mempunyai tiga kilang membuat bot pemintas iaitu di Oman, Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia iaitu di Ayer Keroh, Melaka. Md. Nasir turut memiliki syarikat ejen pengangkutan Worldtrans Freight Services Sdn. Bhd. dan beberapa buah syarikat perniagaan lain.
Sama seperti tokoh-tokoh korporat yang menjadi idolanya, Md. Nasir tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke menara gading disebabkan keadaan kepayahan hidup keluarganya. Beliau cuma mampu bersekolah sehingga tamat tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Abdul Rahman Yaakub, Merlimau, Melaka.
Selepas tamat tingkatan lima, Md. Nasir terus bekerja dengan membantu abangnya yang merupakan seorang kontraktor kelas F membuat kerja-kerja kontrak kecil-kecilan di kampung. Namun, selepas satu peristiwa menyedihkan yang memaksa beliau meminta gelang tangan emas ibunya untuk dijual bagi membayar gaji pekerja, anak bongsu daripada tujuh adik-beradik itu nekad mahu mengubah kehidupan keluarganya.
Kehilangan ibunya menghadap Ilahi setahun kemudian menguatkan lagi azam Md. Nasir untuk menjadi seorang yang berjaya. Dalam keadaan serba kekurangan, beliau mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur dan pernah menjadi kelindan lori sebelum bekerja sebagai penyelia operasi di sebuah syarikat ejen pengangkutan.
Semakin berkembang
Pada masa sama, Md. Nasir menyambung pengajiannya dalam bidang pentadbiran perniagaan di sebuah kolej di ibu kota. Namun, selepas setahun dua bulan bekerja di syarikat ejen pengangkutan itu, beliau berhenti kerja kerana masalah campur tangan keluarga pemilik syarikat tersebut.
Bersandarkan pengalaman selama 14 bulan di tempat kerja lamanya, Md. Nasir bersama abangnya dan seorang lagi rakan kongsi membuka sebuah syarikat ejen pengangkutan sendiri iaitu Lead Air Express (M) Sdn. Bhd., (Lead Air) pada 1987.
Tahun 1994 menjadi titik tolak perubahan besar dalam kemajuan perniagaan Lead Air apabila syarikat itu bekerjasama dengan sebuah syarikat ternama dari Jepun, Hankyu Express International Co. Ltd., yang mempunyai rangkaian perniagaan di seluruh dunia.
Hasil kerjasama itu, nama Lead Air ditukar kepada Hankyu Logistic (M) Sdn. Bhd. Syarikat itu mengembangkan perniagaannya dengan membuka cawangan di Johor Bahru, Pasir Gudang, Senai, Melaka, Pelabuhan Klang, Pulau Pinang, Bayan Lepas, Butterworth dan ibu pejabatnya di Subang Jaya.
“Keadaan perniagaan dengan Jepun ketika itu memang memberangsangkan. Saya mendapat banyak pelanggan terkenal dalam kalangan syarikat multinasional seperti Matsushita Group serta syarikat-syarikat di bawahnya seperti Sharp Manufacturing di samping Daihatsu Group dan Perodua Manufacturing. Perniagaan syarikat saya bermula dengan pantas dan bilangan kakitangan bertambah daripada lapan orang menjadi 150 orang,” katanya.
Pada 2010, Md. Nasir mengambil keputusan untuk bergerak sendiri selepas dua rakan kongsinya bersara. Beliau meneruskan perniagaan ejen pengangkutan dengan membeli syarikat Worldtrans Freight Services Sdn. Bhd. Pada masa sama, beliau membuka sebuah syarikat baharu, KV Resources Sdn. Bhd., (KV Resources) bagi membekalkan enjin sangkut.
“Apabila saya menceburi bidang baharu ini, saya nampak banyak peluang. Saya bersyukur kerana mendapat kepercayaan untuk membekalkan enjin sangkut kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Polis Marin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan beberapa agensi kerajaan yang lain,” ujarnya.
Rezeki Md. Nasir semakin murah apabila syarikatnya, KV Resources mengadakan perkongsian pintar dengan UES International selepas berjaya meyakinkan syarikat antarabangsa itu untuk membuka kilang membuat bot pemintas di Melaka dengan nilai pelaburan RM20 juta.
“Saya bermula dengan membekalkan sebuah bot pemintas untuk kegunaan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Semporna, Sabah. Saya juga telah menyiapkan lima buah bot pemintas untuk kegunaan Polis Marin dan dalam proses membina lima buah bot pemintas terkini untuk TLDM,” katanya.
Menurut Md. Nasir, beliau tidak pernah berbangga dengan apa yang dimilikinya pada masa ini kerana pernah melalui zaman hidup susah, menjadikan beliau seorang yang lebih matang. “Bagi saya, ini semua ketentuan Allah. Saya hanya berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah. Bagi saya, tidak ada apa yang mustahil dengan adanya izin Allah,” tambah beliau.
Meskipun telah mengecapi sebegitu banyak kejayaan, Md. Nasir sedikit terkilan kerana mengenangkan arwah ibunya tidak sempat berkongsi kejayaan dan kesenangan dengan beliau. “Namun, saya sempat berbakti kepada arwah ayah dan menghantar dia menunaikan haji bersama ibu tiri sebelum ayah meninggal dunia 12 tahun lalu,” katanya.