CAMERON HIGHLANDS - Tasik Ringlet di Lembah Bertam, di sini, yang melimpahkan air sehingga menyebabkan banjir lumpur dan mengorbankan empat nyawa serta merosakkan lebih daripada 100 buah rumah setahun lalu, masih dipenuhi dengan sampah dan enapan, meskipun pelbagai usaha giat dilakukan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk membersihkan tasik berkenaan.

Dengan keadaan musim tengkujuh dan hujan yang turun lebih kerap sekarang, wujud kebarangkalian kemungkinan tragedi sama boleh berulang.

Tinjauan Bernama di sekitar kawasan berkenaan mendapati aktiviti pertanian galak dilakukan di lereng-lereng bukit kawasan sekitarnya, malahan ladang-ladang baharu turut dibuka.

Penduduk yang berjaya menyelamatkan diri selepas banjir lumpur itu berlaku telah kembali mendirikan rumah di atas tanah rizab dan membuka penempatan di sepanjang tebing Sungai Bertam, lupa akan bahaya besar yang mengancam mereka.

Berdasarkan keadaan semasa di dalam Tasik Ringlet, adalah sangat jelas bahawa banyak lagi harus dilakukan oleh pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengelakkan tragedi seumpamanya daripada berulang.

Banjir lumpur melanda kawasan itu pada awal pagi 23 Oktober tahun lalu apabila air Sungai Bertam melimpah susulan pelepasan air dari Empangan Hidroelektrik Sultan Abu Bakar, yang berusia 50 tahun.

Tasik Ringlet yang berfungsi untuk menakung air bagi menjana elektrik di empangan itu, sebenarnya sudah 'tenat' dan tidak mampu lagi menampung kapasiti sebagaimana ia mula-mula beroperasi.

Di mana silapnya?

Kerja pengorekan tasik tambah baik Lembah Bertam Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Bahagian Penjanaan TNB Ir. Azman Talib berkata, dianggarkan TNB perlu mengorek dan mengeluarkan 750,000 meter padu enapan dan sampah menjelang hujung tahun ini dengan kos RM40 juta – perbelanjaan tahunan paling tinggi berbanding RM180 juta yang dibelanjakannya untuk kerja-kerja pengorekan empangan Ringlet sejak tahun 2001.

“Kerja-kerja pengorekan ini memang rumit dan melibatkan kos yang tinggi.

“Selagi aktiviti membuka tanah dan perladangan tidak terkawal terus berjalan di kawasan huluan, selagi itulah kami perlu terus melakukannya" katanya.

Menurut Azman, kapasiti Tasik Ringlet untuk menakung air tinggal satu pertiga sahaja kerana dari kapasiti asal 6.2 juta meter padu, dua pertiga dipenuhi sampah dan enapan.

"Sekiranya dilonggokkan sehingga paras rumah dua tingkat, kami memerlukan kawasan seluas 100 padang bola untuk menempatkan kesemua kotoran ini," katanya.

Antara sampah seberat dua tan metrik yang dibawa keluar dari empangan tersebut setiap minggu, sebahagiannya adalah botol, perkakas elektrik, peralatan kayu, perabut, atap plastik dan bangkai binatang.

Punca banjir lumpur

Mengulas lanjut, Azman berkata, jumlah sampah domestik dan pertanian yang dibuang penduduk telah melonjak 10 kali ganda berbanding 50 tahun lalu.

“Ketika tahun 1960an, enapan yang memasuki tasik hanyalah kira-kira 30,000 meter padu setahun.

“Kini ia telah meningkat antara 300,000 hingga 500,000 meter padu," jelasnya.

Mengimbau kembali tragedi tahun lalu, Azman berkata satu-satunya laluan air keluar dari Tasik Ringlet iaitu terowong air telah tersumbat sepenuhnya disebabkan peningkatan jumlah enapan dan sampah, seterusnya mengakibatkan paras air di empangan naik mendadak.

"Hujan lebat luar biasa dan banjir kilat di pekan Ringlet pula memburukkan lagi keadaan.

"Akibatnya, air terpaksa dilepaskan secara manual bagi mengelakkan kerosakan yang lebih buruk sekiranya pintu alur limpah terbuka secara automatik apabila tahap air empangan naik ke paras 3,513 kaki," kata Azman lagi.

Menceritakan pengalamannya, mangsa banjir lumpur, Mohd Faizal Mohamed, 32, berkata, sebaik mendengar bunyi siren amaran, beliau terus mendukung bayi serta isterinya yang masih dalam pantang menuju ke tingkat tiga bangunan kuarters guru yang terletak hampir dengan Tasik Ringlet. Beliau yang juga guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Valley berkata, ketika kejadian paras air naik dengan begitu cepat.

"Apabila melihat air begitu deras, saya dan isteri segera menyelamatkan diri.

“Penduduk lain turut menyelamatkan diri ke tingkat tiga bangunan kuarters," katanya.
  
Tingkat keselamatan penduduk    

Azman berpendapat kawasan rizab sungai berhampiran empangan perlu dikosongkan daripada sebarang penempatan atau aktiviti ekonomi kerana terdapat risiko jika air dari empangan terpaksa dilepaskan semasa hujan lebat luar biasa.

Sebagai peringatan, TNB katanya telah memasang dua jenis papan tanda amaran yang tertera maklumat amaran dan kawasan bahaya di sekitar Lembah Bertam.

Selain itu, 35 tanda amaran dipasang di sepanjang kawasan sungai dan jalan berdekatan, dengan kos perbelanjaan RM35,000.

Setiap papan tanda dipasang pada jarak 500 meter dengan yang lain. Papan tanda tersebut dipasang sehingga sejauh 10 kilometer (km) dari kawasan empangan.

TNB turut memasang empat siren amaran (semboyan) baru dengan kos RM380,000 dalam lingkungan enam km dari Tasik Ringlet.

“Bunyi dan warna lampu amaran daripada semboyan berkenaan telah dipersetujui oleh agensi tempatan dan wakil penduduk Lembah Bertam.

“Siren amaran ini mempunyai tiga jenis iaitu amaran pertama berjaga-jaga yang mana siren berputus-putus dan lampu berwarna jingga; amaran kedua bahaya, siren berterusan dan lampu berwarna merah; manakala amaran ketiga ialah air dilepaskan dengan siren berterusan, lampu warna merah dan lampu jingga," katanya.

Azman mendedahkan bahawa TNB and TNB Research Sdn Bhd sedang membangunkan sistem amaran awal bagi Tasik Ringlet dengan kos RM1.9 juta.

Sistem ini dapat menyalurkan maklumat awal berkenaan jumlah dan kederasan air yang mengalir ke tasik bagi membolehkan ramalan dibuat mengenai aliran luar biasa, sekali gus memberi amaran awal pelepasan air dari empangan kepada penduduk.

TNB juga melakukan pemantauan melalui telemetri bertujuan untuk memantau jumlah hujan yang turun di dalam kawasan tadahan serta mengukur kederasan kemasukan air ke dalam empangan, katanya.
  
Beri kesedaran penduduk

Bagi memberi kesedaran dan persediaan kepada penduduk Lembah Bertam menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak diingini, TNB juga menyediakan pelbagai program dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara.

Antaranya taklimat kesedaran empangan kepada penduduk termasuk murid serta guru di SJKC, latihan pengungsian dan limpahan air dari empangan selain latihan 'Desktop Drill'.

Sebelum insiden banjir lumpur tahun lepas, program kesedaran seumpamanya diadakan namun kurang mendapat sambutan penduduk.

Bagi Tan Soo Ngau, 40, beliau kini lebih memahami dan tahu apa yang perlu dilakukan bila semboyan berkenaan berbunyi.

“Terima kasih kepada TNB kerana melatih penduduk apa yang perlu dibuat apabila mendengar bunyi siren.

“Sebelum ini kalau siren dibunyikan, saya tak tahu apa yang perlu dibuat," katanya.

Lim Yew Lee, 58, dan Fatimah Ahmad, 42, pula berpuas hati dengan penambahan papan tanda amaran dan sistem semboyan yang dilakukan.

Penduduk Lembah Bertam kini lebih peka terhadap sebarang bunyi siren amaran setelah mengikuti kempen dan latihan kesedaran yang dianjurkan TNB, demikian menurut mereka.

Menyambut baik inisiatif yang diperkenalkan TNB, Ketua Kampung Lembah Bertam, Wong Sok Chai, 57, berkata penduduk kini lebih bersedia dan mengambil langkah berjaga-jaga.

"Kerajaan negeri juga perlu memainkan peranan dengan mengawal pembukaan tanah dan agensi berkaitan pula sepatutnya mendalamkan lagi Sungai Bertam," kataya. - Bernama