Jalani hidup penuh keceriaan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jalani hidup penuh keceriaan

SUARA mereka kuat, jelas ke pendengaran. Wajah berseri dengan sedikit calitan mekap dan bibir tidak lekang mengukir senyum sambil sesekali ketawa riang.

Mereka begitu bersemangat, tiada rintihan apatah lagi air mata ketika berkongsi pengalaman sebagai pesakit kanser payudara di pejabat Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA), Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Chang Chu San, 51, seorang guru, memulakan perkongsian. Didiagnosis menghidap kanser payudara tahap dua pada tahun 2008 dan telah bebas daripada penyakit itu setahun kemudian setelah dia menjalani pembedahan mastektomi, 15 sesi radiologi dan enam kemoterapi.
Namun, nasib belum memihak kepada Chu San apabila Jun lalu, dia diberitahu oleh doktor sel kanser tersebut telah merebak ke bahagian hati pula.

Tetapi Chu San sambil tersenyum memberitahu, dia menerima takdir itu dengan positif, tidak mahu membawa kesedihan dalam keluarganya, terutama di hadapan anak-anaknya.

"Saya aktifkan diri dengan aktiviti riadah seperti bermain boling, sertai sukan air (dragon boat) dan zumba.

"Sekarang selepas jalani beberapa kali rawatan, sel kanser tersebut dah berkurangan dan keadaan saya bertambah baik, anak-anak dan keluarga banyak memberi sokongan," katanya.

Rakan senasib, Jessy Tai Siew Huah, 55, suri rumah, berasakan hidupnya sudah berakhir apabila disahkan menghidap kanser payudara tahap dua pada tahun 2007. Hatinya luluh, apatah lagi mengingatkan kakaknya yang meninggal beberapa tahun lalu akibat penyakit leukemia.

"Saya melihat kesengsaraan dan keperitan kakak semasa menjalani rawatan melawan penyakit itu, saya tidak mahu apa yang kakak alami berlaku pada saya," kata Jessy membongkar cerita duka keluarganya.

Jessy bernasib baik apabila diperkenalkan dengan BCWA, dia mula melihat sisi positif untuk melawan penyakit itu. Pernah menjalani pembedahan mastektomi dan rawatan kemoterapi, kini hidupnya berubah 360 darjah dengan lebih menitikberatkan pemakanan dan selalu bersenaman.

Bagi bekas pesakit, Molly Yap Ah Moi, 62, suri rumah, tidak ada masa untuknya memikirkan tentang kanser payudara yang dihidapi tahun 2009. Hidup mesti diteruskan, Molly tidak pernah mempersoalkan kenapa tuhan berinya penyakit itu, kenapa dia, kenapa tidak orang lain.

Molly kini banyak menumpukan terhadap usaha membantu golongan wanita yang senasib dengannya. Dia menyertai kumpulan sokongan di bawah BCWA bagi memberikan maklumat diperlukan oleh pesakit selepas menjalani pembedahan.

"Biasanya pihak hospital akan memaklumkan kepada kami jika ada pesakit baharu untuk diberikan sokongan emosi dan psikologi.

"Saya akan berikan mereka satu kit bantuan yang mengandungi bola tekanan, prostesis (payudara palsu) dan risalah berkaitan kanser payudara. Selain itu, berjumpa ahli keluarga mereka untuk menerangkan apa perlu mereka buat semasa dan selepas jalani rawatan," kata Molly.

Sokongan untuk wanita

Dalam pada itu bekas pesakit kanser payudara yang juga Presiden BCWA, Profesor Zaharah Aiyub, 51, menitipkan pesan agar sentiasa positif, jangan bersedih dan reda dengan setiap pemberianNya.

"Relaks dan aktifkan diri dengan aktiviti seperti senaman atau yoga. Jangan takut untuk hadapi realiti, lagi pun teknologi kini ada berbagai-bagai ubat dan kaedah untuk merawat kanser payudara," katanya.

Menurutnya, di BCWA terdapat kumpulan sokongan rakan sebaya kepada pesakit kanser payudara. Kumpulan ini memberi bantuan dari segi material seperti menyediakan prostesis sementara, risalah-risalah mengenai pengurusan diri semasa dan selepas rawatan serta
mengadakan sesi perkongsian antara pesakit pada hari Sabtu ketiga setiap bulan.
0 Komentar untuk " Jalani hidup penuh keceriaan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ