Malaysian Bar dalam mesyuarat agung tahunannya (AGM) pada 15 Mac 2014 telah meluluskan resolusi menghalang bekas-bekas Hakim Mahkamah untuk bertindak mewakili anak guam di mahkamah kerana tindakan ini adalah bertentangan dengan prinsip dan tradisi "by convention" Common Law.
Resolusi tersebut diluluskan berikutan cubaan Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan untuk bertindak sebagai peguam dalam satu kes Perlembagaan.
Tiba-tiba apabila Gopal Sri Ram bertindak mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan, Presiden Majlis Peguam bersikap hipokrit kerana hanya berdiam diri dengan tindakan Gopal Sri Ram dan Majlis Peguam telah gagal mematuhi resolusi yang mereka luluskan sendiri berkaitan isu ini.
Hasil daripada desakan banyak pihak termasuk kritikan daripada ahli-ahli Malaysian Bar berkaitan hipokrasi Majlis Peguam ini, selepas tiga hari berdiam diri, barulah Presiden Majlis Peguam mengeluarkan kenyataan media yang saya sifatkan sebagai kenyataan sekadar 'bagai melepaskan batuk di tangga' sahaja.
Ini kerana kenyataan lemah yang dikeluarkan oleh Presiden Majlis Peguam telah menyatakan bahawa Majlis Peguam tiada kuasa untuk menguatkuasakan resolusi AGM mereka selagi Parlimen tidak meminda Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan Majlis Peguam menjadikan satu keputusan mahkamah yang tidak melarang bekas hakim untuk bertindak mewakili anak guam sebagai asas untuk tidak berbuat apa-apa setiap kali melibatkan Anwar Ibrahim.
Persoalannya mengapa selepas resolusi berkenaan diluluskan, Majlis Peguam tidak bersungguh-sungguh menjelajah mengumpul tandatangan rakyat bagi mendesak Parlimen meminda Akta Profesion Undang-Undang 1976 seperti mana yang sedang Majlis Peguam lakukan dalam kempen mereka Mansuh Akta Hasutan seperti sekarang?
Selanjutnya mengapa ketika meluluskan resolusi AGM berkenaan, pihak Majlis Peguam tidak langsung menimbulkan isu menghormati keputusan mahkamah yang membenarkan bekas hakim untuk mewakili anak guam?
Persoalan yang lebih besar, jika Majlis Peguam konsisten bersetuju dengan apa jua keputusan mahkamah, mengapa Majlis Peguam pada 16 Oktober 2013 mengeluarkan kenyataan mengkritik keputusan Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes kalimah Allah?
Tindakan Majlis Peguam mengeluarkan kenyataan longgar dan tidak bermaya dalam isu tersebut tidak menghormati resolusi AGM mereka sendiri dan tidak seharusnya menutup hakikat bahawa sebenarnya Majlis Peguam bersikap selektif dalam melakukan atau tidak melakukan sesuatu.
Sikap hipokrasi mereka ini tidak boleh dilindungi dengan slogan mereka yang kononnya bertindak mengikut undang-undang tanpa sikap memihak dan pilih kasih.
Slogan yang lebih relevan dengan sikap selektif Majlis Peguam ini mungkin perlu diubah kepada "bertindak mengikut undang-undang dengan memihak kepada fahaman liberalisme."
Masanya telah tiba untuk rakyat bangkit menyedarkan Parlimen agar mengkaji semula penyalahgunaan kuasa-kuasa Majlis Peguam. Masanya juga telah tiba untuk 15,000 ahli Badan Peguam mengubah kepimpinan Majlis Peguam yang hanya diundi oleh 20 peratus ahli sejak 10 tahun yang lalu.
* PENULIS ialah Peguam Bela dan Peguam Cara.
0 Komentar untuk " Hipokrasi Majlis Peguam "