Tangani pemanasan global secara agresif - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tangani pemanasan global secara agresif

Bencana alam seperti banjir berpunca daripada perubahan iklim dunia. - Gambar hiasan

Bencana alam yang berlaku di negara kita agak membimbangkan. Malah, puting beliung juga melanda buat kali pertama di Kampung Alur Besar, Pendang. Pada minggu yang sama empat dinding rumah terbang melayang di rumah pangsa Jalan Loke Yew. Nasib baik tiada yang cedera.

Di Kajang, banjir besar melanda kali ketiga dalam tempoh dua tahun menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit. Pada Disember 2013 di Kuantan, banjir menenggelamkan ibu negeri Pahang yang jarang berlaku sebegitu teruk.

Banjir juga melanda Penampang, manakala di Beufort, ia berlaku hampir setiap tahun. Perubahan mendadak daripada cuaca dingin yang dikaitkan dengan angin sejuk dari Hemisfera Utara pertengahan Januari lalu, disusuli kemarau di Semenanjung dan banjir besar di Sabah bulan lalu, dilihat sebagai fenomena cuaca yang agak luar biasa.

Banjir besar akibat perubahan iklim

Ramai mengakui keadaan sejuk dengan suhu mencecah hingga bawah 20 darjah Celsius di sesetengah lokasi, pertama kali dirasai tahun ini, manakala banjir besar di Sabah dianggap terburuk dalam tempoh 30 tahun. Sudah tentu ia berkaitan dengan perubahan iklim.

Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1, Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC), Prof Dr Fredolin Tangang, berkata perubahan iklim berlaku disebabkan pemanasan sistem iklim global dan ia perkara yang nyata.

Beliau berkata, kajian mendapati suhu global meningkat 0.85 darjah dalam tempoh seabad lalu dan dijangka terus meningkat dengan purata enam darjah Celsius dalam tempoh seabad akan datang.


Peningkatan suhu mencairkan ais di Artik, fenomena yang tidak boleh dipandang ringan kerana ia pastinya menjejaskan iklim dunia seluruhnya.

"Peningkatan suhu berbeza mengikut kawasan dan di hemisfera utara diramal meningkat sehingga 10 darjah Celsius dalam masa 100 tahun akan datang dan ini pasti mencairkan ais di Artik.

"Kesannya akan dirasai di seluruh dunia termasuk Malaysia sama ada dalam bentuk banjir, kemarau, cuaca sejuk, ribut taufan atau menenggelamkan kawasan rendah akibat kenaikan aras laut," katanya.
IPCC adalah badan penilai antarabangsa di bawah Program Alam Sekitar Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) dan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) yang bertanggungjawab menilai hasil kajian iklim di seluruh dunia sejak 1988.

Dr Fredolin yang juga Ketua Pusat Penyelidikan Sistem Perubahan Iklim Tropika (IKLIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata kesan dialami akibat perubahan iklim meliputi semua aspek kehidupan.

"Kemarau panjang, banjir besar dan kenaikan aras laut akan menjejaskan kawasan penempatan dan pertanian. Pengeluaran makanan terjejas dan akhirnya menyebabkan kekurangan makanan kepada penduduk.

"Walaupun ia tidak berlaku di tempat kita, contohnya di Thailand, ia tetap memberi kesan kerana kita mengimport beras dari negara berkenaan. Mahu atau tidak, kita semua perlu bersama-sama menangani perubahan iklim," katanya.


Keadaan rumah rosak teruk akibat ribut di Kampung Sungai Baru Tengah Jalan Kuala Sungai, Alor Setar. - Foto Sharul Hafiz Zam
Peningkatan karbon dioksida, gas rumah hijau

Punca utama perubahan iklim iaitu peningkatan karbon dioksida dan gas rumah hijau lain yang dikaitkan dengan penipisan lapisan ozon adalah perkara penting perlu diambil tindakan segera.
China dan Amerika Syarikat sahaja menyumbang kira-kira 40 peratus pelepasan gas rumah hijau global dan jika berterusan, ramal saintis, suhu bumi boleh meningkat enam darjah Celsius dalam tempoh seabad.

Di Malaysia, walaupun pengeluaran gas rumah hijau tidak sampai satu peratus, peranan kita dalam menangani pemanasan global tetap penting dan kita berterima kasih dengan komitmen kerajaan mengurangkan pelepasan karbon kepada 40 peratus menjelang tahun 2020.

Fredolin berkata, perubahan teknologi menerusi inovasi baharu yang lebih mesra alam perlu dilaksanakan bagi menggantikan pendekatan teknologi sedia ada untuk mengurangkan pencemaran gas rumah hijau. Untuk mengatasi masalah itu, usaha menangani pemanasan global perlu dilakukan secara lebih agresif. Kesedaran berkaitan perubahan iklim ada, tetapi malangnya kajian berkaitan isu itu belum banyak dilaksanakan. Ini menyukarkan kita memberi jawapan yang tepat.

Pemanasan sistem iklim adalah nyata, bukan perkara kecil yang boleh diabaikan malah manusia adalah punca gangguan sistem iklim dan paling ketara sejak pertengahan abad ke-20.

Mengurangkan kesan perubahan iklim perlu dilakukan dengan menurunkan kandungan gas rumah hijau (karbon dioksida, metana dan nitrus oksida) dalam atmosfera. Suhu global meningkat 0.85 darjah Celsius dari 1880-2012 dan diramal meningkat 6 darjah Celsius dalam tempoh seabad akan datang
Aras laut meningkat 0.19 meter dari 1901-2010 dan dijangka meningkat hingga satu meter pada tahun 2100.

Kandungan gas karbon dioksida dalam atmosfera meningkat 40 peratus kepada 391 ppm pada 2011 berbanding 320 ppm pada 1960. Permukaan laut mengalami pemanasan ketara antara 1971-2010 menampung 90 peratus tenaga

Teliti secara serius Laporan Perubahan Iklim IPCC

Sudah sampai masanya negara kita meneliti secara serius Laporan Perubahan Iklim IPCC 2013 ini. Sikap tidak peduli perlu dibuang kerana 'kemarahan' alam ini menyebabkan kita menanggung kerugian yang amat besar. Malangnya saban tahun, apabila berlaku banjir besar, rungutan dan masalah yang sama berlaku sehingga ada mempersoalkan apakah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang mereka gunakan sekarang benar-benar berkesan?

Dari sudut lain, bencana besar seperti ini sekali lagi memperlihatkan keprihatinan pemimpin, rakyat dan warga korporat di negara ini yang segera tampil memberi sumbangan kepada pelbagai tabung ditubuhkan khusus untuk mangsa banjir Pantai Timur. Bulan Oktober sudah berlalu dan kini masuk November, manakala Disember dan Januari bakal menjelang. Bencana alam bukan dalam bidang kuasa kita menentukannya, tetapi persediaan kita menghadapinya adalah perlu.


Related Post

0 Komentar untuk " Tangani pemanasan global secara agresif "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ