Bahasa Melayu ada kekuatan jadi bahasa antarabangsa, kata profesor - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bahasa Melayu ada kekuatan jadi bahasa antarabangsa, kata profesor

Seorang profesor di Beijing Foreign Studies University (BFSU) yakin bahasa Melayu yang dituturkan lebih 300 juta orang memiliki kekuatan untuk menjadi bahasa perhubungan antarabangsa yang penting.

Pengarah Pusat Pengajian China-Melayu BFSU, Prof Dr Wu Zong Yu berpendapat dalam konteks ekonomi, politik dan sosial, bahasa Melayu akan menjadi lebih penting khususnya di rantau Asia apabila projek kereta api Asean merentas China dari Nanjing ke Singapura dilaksanakan.

"Saya yakin apabila tender projek itu di China dilaksanakan, lebih ramai akan menggunakan bahasa Melayu sebagai alat perhubungan," katanya kepada Bernama semasa ditemui di Beijing, petang semalam.



Sebelum itu, Dr Wu bersama pemegang kerusi Pusat Bahasa Melayu BFSU, Prof Dr Mohd Taib Dora menyambut keberangkatan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk bertemu pelajar Malaysia yang menuntut di universiti itu.
Turut hadir Duta Besar Malaysia di China Datuk Iskandar Sarudin.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berpangkalan di Kem Bukit Keteri, Perlis mengetuai delegasi Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) dari 7 universiti awam (IPTA) di Malaysia melakukan lawatan Kerja Akademik dan Strategik Ketenteraan ke kem tentera dan universiti di Beijing bermula 14 November hingga 17 November ini.

Dr Wu berkata, bilangan petutur bahasa Melayu di China meningkat apabila kerajaan China mementingkan bahasa Melayu dengan mewujudkan Jabatan Pengajian Melayu di 10 universiti sejak 1961.

BFSU turut meningkatkan pengambilan pelajar China mengikuti jurusan pengajian Bahasa Melayu kepada 24 orang tahun ini berbanding 15 orang. Pengambilan itu dibuat sekali setiap dua tahun, katanya.

Beliau berkata, pada masa ini, 200 pelajar Malaysia mengikuti pengajian peringkat ijazah Bahasa Mandarin di BSFU, tidak termasuk di beberapa universiti lain.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah pelajar Malaysia di China sentiasa bersyukur, berfikiran terbuka dan bercampur gaul dengan masyarakat tempatan.

"Adik-adik semua janganlah hidup dalam kelompok sendiri saja jika mahu memperluaskan jaringan malah hendaklah bercampur gaul dengan pelajar antarabangsa," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin menasihatkan pelajar supaya sentiasa berhubung dengan ibu bapa atau penjaga mereka dengan menggunakan pelbagai medium aplikasi yang memerlukan kos minimum.

Dalam lawatan itu, pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian Bahasa Mandarin mempersembahkan dikir barat dalam bahasa Mandarin manakala pelajar China yang mengikuti pengajian Bahasa Melayu mempersembahkan beberapa nyanyian dalam bahasa Melayu dan tarian Melayu.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang diPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) menyampaikan sumbangan MAIPs dan YSTP masing-masing RM1,000 kepada 4 pelajar anak Perlis yang belajar di BFSU. – Bernama, 16 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bahasa-melayu-ada-kekuatan-jadi-bahasa-antarabangsa-kata-profesor#sthash.SQog71MB.dpuf

Related Post

0 Komentar untuk " Bahasa Melayu ada kekuatan jadi bahasa antarabangsa, kata profesor "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ