Kerajaan negeri Kelantan mempertimbangkan menggunakan Gilotin - peralatan yang digunakan untuk memotong kepala Raja Perancis Louis XVI dan permaisurinya Marie Antoinette ketika zaman Revolusi Perancis 1793 untuk hukum hudud yang bakal diperkenalkan mereka, lapor portal Mstar Online .
Menurut portal berkenaan, Jawatankuasa Teknikal Hudud negeri itu dikatakan menghadapi kesukaran untuk mencari kaedah paling sesuai untuk memotong anggota badan seseorang yang disabitkan kesalahan mencuri dan mini gilotin ini menjadi pilihan, kata pengerusinya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Amar berkata kepada portal berkenaan, beliau mungkin akan mencadangkan kepada ahli panel agar menggunakan mesin yang tidak memerlukan pakar bedah mengendalikannya tetapi jawatankuasa itu masih memikirkan idea walaupun menerima reaksi negatif mendapatkan pakar bedah bagi memotong kaki dan tangan pesalah.
"Pertamanya, pakar bedah mesti bersetuju menjalankan prosedur tetapi itu mungkin akan membangkitkan kemarahan Persatuan Perubatan Malaysia kerana ia melanggar 'Hippocratic Oath' (sumpahan untuk menegakkan piawaian profesional dan mengamal perubatan secara etika)," lapor Mstar Online hari ini.
Bagaimanapun, jenayah dan hukuman terletak di bawah bidang kuasa kerajaan pusat dan bukannya kerajaan negeri.
Amar berkata, alat pemenggal kepala itu lebih cepat berkesan dan hanya memerlukan seorang saja untuk menarik tuil, dua orang memegang pesalah dan doktor untuk memastikan orang yang dihukum itu tidak mengalami sebarang kejutan dan hakim menjatuhkan hukuman itu juga perlu hadir.
"Saya akan membuat kajian yang menyeluruh kepada kaedah yang digunakan semasa Revolusi Perancis pada abad ke-18 apabila gilotin digunakan untuk memenggal kepala sebagai hukuman mati," katanya.
Ironinya, alat pemenggal kepala Perancis itu yang diperkenalkan berabad-abad sudah dihapuskan kerana hukuman dianggap tidak berperikemanusiaan.
Peralatan berat itu digunakan sempena nama Dr Joseph Ignace Guillotine yang memperkenalkannya biarpun peralatan itu bukan hasil ciptaannya.
Alat pemenggal kepala itu kali pertama digunakan di Place de Greve di Paris ke atas perompak bersenjata Jacques Nicolas Pelletier pada 1792.
Manakala orang terakhir dijatuhkan hukuman menggunakan alat ini ialah Hamida Djandoubi pada 1977 yang dikaitkan dengan pembunuhan.
Lelaki Tunisia itu didapati bersalah membunuh bekas kekasihnya, Elisabeth Bousquet.
Bagaimanapun Perancis memansuhkan hukuman mati pada 1981.
Amar berkata, kaedah kemungkinan untuk menjatuhkan hukuman termasuk memotong anggota badan pesalah mengikut Kanun Jenayah Syariah II 1993, dibincangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Ahli Parlimen Kota Baru Datuk Takiyuddin Hassan, baru-baru ini.
Beliau yang tidak hadir pada mesyuarat itu kerana menunaikan ibadah haji berkata, antara yang hadir pada mesyuarat itu ialah 8 mufti dan beberapa doktor.
"Saya akan hadir pada mesyuarat seterusnya dan memberi cadangan mengenai alat pemenggal kepala mini ini dengan lebih terperinci," katanya kepada Mstar.
Kelantan bercadang membentangkan Rang Undang-undang Persendirian (hukum hudud) di Parlimen bagi mendapatkan kebenaran melaksanakannya hukum itu pada tahun depan.
Bagaimanapun tindakan ini tidak dipersetujui rakan Pakatan Rakyat (PR) DAP yang mengatakan gabungan tersebut akan berakhir sekiranya PAS berdegil memperkenalkan hudud di Kelantan.
Mstar Online melaporkan Timbalan Pengerusi MCA Kelantan Tan Ken Ten berkata, rancangan untuk memperkenalkan alat pemenggal kepala mini itu sebagai tidak masuk akal.
"Saya tidak tahu apa lagi yang mereka akan timbulkan selepas ini.
"Mereka menjadi kreatif dengan idea sehingga timbul untuk menjalankan hudud di negeri ini.
"Seluruh kisah ini seperti jenaka. Dengan menggunakan alat dari abad ke-18, mereka akan menjadi bahan ketawa seluruh dunia,” katanya. – 16 November, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/gilotin-jadi-pilihan-hudud-kelantan-lapor-portal#sthash.YYY0Dm7O.dpuf
0 Komentar untuk " Gilotin jadi pilihan hudud Kelantan, lapor portal "