Selangor dua kali kaya - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Selangor dua kali kaya

SELANGOR ialah negeri yang kaya dan kaya. Sememangnya, ia dua kali kaya – dalam erti kata sebenar dan tamsil ibarat. Ia paling maju sejak dulu dan paling berjaya dalam banyak hal.

Pada suatu masa dalam 1960-an dan 1970-an, dua pertiga pemain bola Malaysia terdiri daripada pemain Selangor.

Kebanyakan orang paling kaya dan berbakat juga terdapat di Selangor.

Sebaliknya dalam politik, kerusi Menteri Besar Selangor terbukti panas sejak pilihan raya negeri dimulakan pada 1959. Datuk Abu Bakar Baginda,
Datuk Harun Idris, Datuk Hormat Rafei, Datuk Ahmad Razali, Tan Sri Muhammad MuhammadTaib, Dr Khir Toyo dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hampir semua mereka mengalami bahang kepanasan kerusi ini, kalau tidak di awal atau di tengah penggal, ia berlaku di penghujung.

Disebabkan ciri-ciri pembahagian dan tebaran kaum dalam kalangan penduduknya, maka hasil pilihan raya di Selangor sering susah diduga. Pilihan raya 1969 bukan saja mencetuskan letusan 13 Mei tetapi juga mengeluarkan keputusan kusut: Parti Perikatan (pendahulu BN) mendapat sama banyak kerusi dengan parti bukan Perikatan.

Disebabkan keengganan Tan Sri Tan Chee Khoon dan partinya, maka pakatan menubuhkan kerajaan alternatif kepada Perikatan terkandas. Justeru, Harun kekal menjadi MB dan memimpin kerajaan Perikatan.

Apa yang disebutkan di atas mendefinisikan ‘kaya’ seerti dengan banyak harta, dan 'kaya' yang seerti salutan penyedap roti, sekeluarga dengan mentega dan jem.

‘Kaya’ yang kedua ini kerap membuatkan perut sakit. Akibatnya kehidupan dalam sehari dua atau beberapa hari menjadi terjejas, tidak normal. Ini saya sedari sejak kecil.

Jem dan mentega yang diimport terbukti kebersihannya, tetapi ‘kaya’ yang dibuat pekedai Malbari dan Pulaikat, kini dipanggil Mamak, tidak. Tanpa pengawalan kualiti, ‘kaya’ begini boleh dibolot bakteria dan boleh mengakibatkan keracunan. Maka inilah ibaratnya yang dilalui Selangor: kemajuan yang sentiasa berisiko keracunan.

Lebih 40 tahun dulu saya bertugas sebagai eksekutif di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang beribu pejabat di Jalan Sultan, Petaling Jaya. Ketika itu rata-rata Shah Alam merupakan senario tanah merah.

Membuka Shah Alam adalah tugas utama dan terpenting PKNS. Pada 1971, bangunan paling besar tersergam ialah Institut Teknologi Mara atau ITM (kini UiTM). Solo.

Tersendiri. Dalam kekosongan itu ternampak di kejauhan bangunan Kilang Wang Bank Negara atau The Mint, kini bersebelahan dengan Kompleks PKNS, sebuah pusat beli-belah yang terkenal.

Memandang ke arah Kuala Lumpur, tempat paling membangun ialah di sebelah kanan Lebuh Raya Persekutuan di mana kilang-kilang bertapak. Paling terserlah, kilang bir Carlsberg.

Kebetulan tahun itu MSA (kependekan Malaysia-Singapore Airline) berpisah menjadi Malaysia Airline (MAL) dan Singapore International Airline (SIA).

Setahun kemudian MAL menjadi MAS (Malaysia Airline System) memandangkan ‘mal’ bererti rosak atau cacat dalam bahasa Perancis. Orang Malaysia yang bekerja di ibu pejabat MSA dan lapangan terbang Singapura terpaksa pindah ke Kuala Lumpur.

Tanggungjawab menyediakan perumahan untuk mereka terjatuh ke atas bahu PKNS – dan petugasnya ialah penulis sendiri. Sebagai pemaju terbesar di Malaysia, PKNS mengambil inisiatif membina rumah teres yang selari dan tidak jauh dari Lebuh Raya Persekutuan.

Siapnya rumah itu berkebetulan dengan kepulangan mereka. Mereka ditawarkan rumah itu dengan sewaan RM120 untuk rumah tengah dan rumah tepi RM140 sebulan.

Daripada sewaan itu, 25 peratus dikira wang muka, kiranya mereka membuat keputusan membeli rumah yang mereka duduki. Justeru dalam satu jangka yang pendek perumahan itu dipenuhi kakitangan MAS.

Saya tidak tahu siapa dan berapa orang yang terus kekal dan memiliki rumah di situ hingga sekarang. Wallahualam.

Demikianlah peranan Selangor menerusi kerajaan dan lokasi yang amat baik. Dengan dua bandar raya (city), Petaling Jaya dan Shah Alam, Selangor menghasilkan GDP (keluaran kasar) berjumlah sesuku GDP Malaysia.

Pendapatan per kapitanya sama ada sama atau mengatasi sesetengah negara di Eropah, seperti Greece dan Portugal. Itu sebabnya Selangor dirujukkan sebagai dunia pertama dalam dunia ketiga.

Kepanasan kerusi MB mencerminkan bebanan tuntutan ‘dua kali kaya’ yang dianalogikan di atas. Dua pilihan raya dulu, kaya yang beracun meranapkan kerajaan BN.

Melihat apa yang berlaku kepada kerusi MB akhir-akhir ini, nampaknya kaya ini sedang keracunan dalam anatomi kerajaan PR pula.

* Tan Sri Adam A Kadir ialah bekas Presiden Senat

0 Komentar untuk " Selangor dua kali kaya "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ